Di samping Al-Quran, saya sebenarnya mengejar waktu mengkhatamkan beberapa buku Ramadan kali ini. Mohon maaf kepada pengunjung yang mendapati tiada kemas kini baru, saya menumpukan usaha kepada siri vlog Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri. Ada beberapa sebab yang mengehadkan fokus saya kepada blog ini:
1) Saya terlibat dengan beberapa program pre-departure untuk junior yang bakal menjejakkan kaki ke bumi UK-Ireland. Terasa baru semalam saya menjadi peserta, sudah diamanahkan sebagai salah seorang pembikin modul dan fasilitator program.

‘Mahal’ harganya mahu berguru dengan Abang Amin
Program apa? Wonderful Overseas Weekend a.k.a WOW (silakan lihat galeri fotonya di ILuvIslam UK-Eire).

2) Ada juga beberapa pertemuan dengan junior, yang turut melibatkan ibu bapa. Di sini saya menyelami perasaan ibu bapa, dari pelbagai latar belakang. Ada nada risau, namun tenang melihat kehadiran kami menganjurkan program dan berhubung dengan anak-anak mereka. Dalam satu majlis iftar, seorang ibu mengungkapkan satu ayat yang tak dapat saya lupakan:
Sebelum ini, makcik tengok ja hotel ni dari jauh. Baru hari ini dapat merasa masuk, makan kat hotel begini.
Mungkin inilah yang dikatakan orang sebagai ‘rezeki anak-anak’ yang baru saya mengerti.