Entah mengapa mutakhir ini sering benar saya berdamping dengan memoir. Saya
membaca memoir orang kecil, orang ternama mahupun ilmuan.
Ada memoir anak tok guru.
Ada memoir penuntut ilmu.

Masing-masing bukan sahaja merakam pengalaman hidup di 3 ranah berbeza, bahkan mewarnainya dengan sudut pandang yang jarang diketahui orang. Ada yang gagal memenuhi impian bapanya, ada yang merintis denai ilmu, ada juga yang menitip pandangan tajamnya yang mencerahkan masyarakat.
Anak Apak
Pak Subky Abdul Latif saya kagumi gaya penulisannya, lebih berharga pengetahuannya mengenai sejarah siasah tanah air. Sangat menghairankan apabila seorang aktivis PAS dan bekas wartawan Utusan ini memilih untuk menulis mengenai keluarga dan zaman persekolahannya. Rupanya di situlah kunci yang mencorakkan pemikiran dan hari depan anak muda ini.