Nyaman angin petang sepoi-sepoi bahasa dirasa berbahang gara-gara usikan seorang rakan…
“Rasanya buku-buku atas meja tu lagi mahal kot,” katanya selamba merujuk kepada ‘Menara Warisan’ yang saya bina tanpa belanja 5 billion di atas meja.
Dia pendamping gajet teknologi terkini.
Sebagai gamer, dia sudah punyai komputer riba Alienware tempahan khas berukir namanya sendiri. Alang-alang menjadi pelajar di sekolah angkat Apple, sebuah iPad dengan storan 32GB telah dimiliki. Ke mana-mana sahaja dia akan menjaja perihal BlackBerry yang sedia lengkap dengan jaringan internet daripada server selenggaraan Reseach In Motion sendiri.
Kata orang, kita ialah apa yang kita baca. Saya masih mencari kerelevanan kata-kata tadi di era blog, Facebook dan gajet menjadi pilihan dan tatapan anak muda.
Saya terdiam menghitung.
Hasil window shopping saban bulan di ruang Mutiara Minda MPH Midvalley, saya berhasil merembat dua tiga buku dengan purata RM50-60 dalam satu belian (selepas hampir sejam berlegar di situ memuaskan nafsu mata memandang cover buku yang semakin menawan dan memilih mengikut belanjawan). Tabiat yang kurang sihat untuk poket seorang pelajar ini tidaklah menjadi amalan mingguan, jauh sekali harian. Setelah puas bergelumang dalam text books endorsed by University of Cambridge International Examinations, barulah ketagihan saya datang dua minggu ataupun sebulan sekali jika berselang cuti dan kesibukan atas urusan lain.
Oh, saya juga peminat setia majalah khususnya berpangkat Dewan di depan. Istimewa untuk majalah, ia tergolong dalam perbelanjaan keluarga dan dibiayai ibu bapa saya. Ayah pengikut majalah Al-Islam dari dulu, ibu pula dengan majalah kewanitaan. Tak kurang juga adik dengan majalah remaja. Tuntasnya, ditambah kos pengangkutan dan makan minum jika ada, melayanglah RM100 setiap bulan untuk nafsu saya terhadap makhluk bernama buku.
Khabarnya, harga iPad yang dibelinya sekitar RM2K. Jangan cerita Alienware, sudah mencecah RM5K (agaknya berapa buku yang dapat saya beli dengan jumlah begitu). Akhirnya saya tersedar, bahawa hobi membaca buku bukanlah satu hobi yang elitis dan ekslusif untuk golongan berada sahaja. Jika tidak, masakan penulis jutawan PTS bertambah menjadi empat, abaikan kes Borders yang muflis di Amerika.
Belian Dalam Talian
Walaupun saya ketinggalan bas dalam bab ini, saya mengakui beberapa kebaikan membeli buku menerusi pesanan di Internet. Eksperimentasi saya bersama Ujana Ilmu dan Book Café mengesahkan pujian ramai orang terhadap servis yang mereka sediakan. Selain kepantasan perkhidmatan penghantaran, pihak webmaster Ujana Ilmu tidak culas melayan emel pelanggan beserta pantun …
Cincin delima ikat suasa,
Permata biru susah dicari;
Tuan membaca kami bahagia,
Di ujana ilmu kami menanti.
Beberapa hari lepas setelah membuat pembelian di Book Café kepunyaan PTS, saya dapati jumlah harga diskaun buku-buku yang saya beli hampir menyamai kos penghantaran yang dikenakan. Berbaloi-baloi!
Untuk sahabat itu saya nukilkan, alat teknologi luput bersilih ganti, namun ilmu di dada buku bisa abadi.

ayat standard parents if saya nak beli buku.. mahal lah, membazir lah blablabla .
nasib baek ad library sekolah yg agak bgus jg buku die, dapatlah lepaskan keinginan membaca. pelik jga dgn parents ni, asik suruh anak2 baca buku belajar je, naik tepu otak ni
Tak salah baca buku teks/ yang berkaitan silibus pelajaran.
Yang silapnya kalau membaca disinonimkan dengan buku teks semata-mata.
Ya, saya juga berterima kasih kepada perpustakaan sekolah lama saya yang berjaya memupuk minat membaca dalam diri ini