Aku, Buku dan Cinta

Aku, Buku dan Cinta
Aidh Al-Qarni
Al-Hidayah
2009

Saya kurang pasti tajuk asal buku berbahasa Arab karangan Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni ini, namun tertulis dalam aksara Arab perkataan “Asyik”. Pernah membaca sebahagian karya bestseller beliau La Tahzan, saya dapati bahawa gaya bahasanya sangat indah dan berbunga, sesuatu yang jarang didapati dalam karya berbentuk bukan fiksyen.

Buku ini dimulakan dengan sebuah cerita seorang pencinta ilmu dan liku-liku yang ditempuhinya. Sudah tentu, selain daripada belajar daripada sekian banyak guru, seorang pemburu ilmu sangat akrab dengan makhluk bergelar buku, book, kitab atau apa sahaja namanya dalam pelbagai bahasa.

Beliau juga menyatakan, alangkah ruginya orang yang memilih kegemaran selain daripada membaca serta mereka yang dilalaikan dengan dunia. Dinukilkan sebaris syair kekesalan ditujukan untuk para pemuda:

Ku meratapi masa muda dengan titisan air mata

Tetapi, apalah ertinya air mata penyesalan!

Seandainya saja masa muda itu, suatu hari boleh kembali,

Akan kuceritakan bagaimana khabar orang yang sudah beruban ini

Tidak lengkap kiranya bercerita mengenai ilmu dan keghairahan penuntutnya tanpa mengisahkan kegigihan, ketekunan serta kebijaksanaan ulama’. Selain memperkenalkan pembaca kepada ulama’ fiqh seperti Malik Bin Anas, Muhammad Bin Idris As-Syafie, Sufyan As-Thauri, terdapat pelbagai ulama’ dengan kepakaran mereka yang tersendiri seperti Imam Muslim Bin Al-Hajjaj, Ibn Hazm,Ibn Taimiyah, Az-Zahabi dan As-Syaukani.

Bagi peminat dan penuntut bidang agama, buku ini menyenaraikan beberapa kitab yang mesti dibaca menurut keutamaan pada pandangannya. Seperti contoh bidang tafsir Al-Quran, beliau menyarankan kita agar membaca tafsir Ibnu Jarir At-Thabari, seterusnya Tafsir Ibnu Kathir dan Tafsir Al-Qurthubi. Begitu juga dengan bidang hadis, fiqh, usul fiqh, biografi para perawi hadis, sirah dan sejarah, matan dan syarah serta aqidah.

Sebagai seorang pembaca, saya memahami bahawa penulis buku ini berfahaman Salafi bermazhab Hanbali. Sekiranya anda membaca buku ini secara teliti, anda akan menemui di beberapa tempat penulis buku ini menyinggung fahaman Asy’ariyah dan Maturidiyah yang merupakan sebahagian daripada golongan Ahlu Sunnah wal Jamaah.

Walau bagaimanapun, buku ini telah memotivasi dan membimbing kita agar terus bergelumang dalam lautan ilmu di planet buku. Beliau juga menyarankan agar para pembaca tidak membataskan diri membaca hanya pada topik dan bidang tertentu. Antara amalan beliau yang boleh kita manfaatkan ialah membahagikan hari-hari seminggu untuk membaca beberapa topik seperti berikut:

  • Isnin: kitab Tafsir
  • Selasa: kitab Hadis
  • Rabu: kitab Nahu
  • Khamis: kitab Sastera
  • Jumaat: kitab Sejarah
  • Sabtu: kitab Aqidah
  • Ahad: kitab Fiqh

Bacalah kehidupan dan alam ciptaan Yang Maha Esa. Kita akan menyedari betapa kerdilnya diri seorang hamba, betapa ceteknya ilmu di dada, tanda-tanda kebesaran-Nya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.