Menjadi Seorang Lagi Melayu di Kota Inggeris

Aku Melayu di Kota Inggeris
Muhaimin Sulam
Kemilau Publika
2013
277

Sekarang menjadi Melayu di kota Inggeris bukanlah sesuatu yang aneh. Sudah disurahkan sejarah, ‘anak-anak terpilih’ akan dihantar ke bumi Inggeris untuk belajar dari bumi penjajah ini. Cuma dahulu anak-anak ini dari golongan bangsawan, kini yang ditaja kerajaan mahupun tabungan sendiri.

Tetapi mengapa Melayu, bukan sebagai Muslim atau orang Malaysia?

Persoalan itu sudah tentu lebih diketahui oleh Dr. Muhaimin Sulam, mengapa beliau memakai tajuk Aku Melayu di Kota Inggeris sebagai tajuk blog, seterusnya travelog ini. Mungkin padang ragut yang luas terbentang di Wales mengingatkan beliau (dan saya juga!) akan bendang di kampung halaman.

Banyak yang beliau nukilkan ialah ragam dan kerenah yang wujud dalam lingkungan pelajar Malaysia khususnya Melayu yang merantau ke UK ini. Dalam rancak ceritanya tidak pula bertujuan mengangkat hal-hal peribadi. Matanya mungkin memandang pinggan mangkuk Pyrex dan Royal Albert keluaran Stoke-on-Trent tetapi hati budinya sayu mengingatkan perusahaan labu sayung di sepanjang jalan ke Parit. Perihal budaya bersopan dan terurusnya orang tempatan sedikit sebanyak disentuh oleh beliau. Sekadar catatan daripada pemerhatian beliau tentang beberapa perkara:

  1. Kupasan mengenai peribumi malas, antaranya disebabkan sistem sokongan kebajikan rakyat yang dikenali sebagai welfare state di sini.
  2. Budaya ‘please’ dan ‘thank you’ (manis mulut) masyarakat di sini.
  3. Perihal kemudahan perpustakaan di UK.

Tuntasnya travelog ini ialah catatan-catatan ringan daripada pemerhatian penulis. Ada yang mengharap penulis memperincikan lagi perjalanan akademik beliau, sudah tentu dalam kesinambungan buku ini jika ada. Sempat juga dibisik kritik pada kita, supaya cermat memanfaatkan keberadaan di bumi Allah ini:

Lebih malang, ada dalam kalangan mereka yang mendapat elaun atau biasiswa kerajaan lebih banyak menghabiskan wang untuk membeli pinggan mangkuk mewah ini daripada membeli buku rujukan. Walhal ada elaun khas untuk pembelian buku-buku dan jurnal tetapi ada sesetengah tidak menggunakan sepenuhnya. Akhirnya, mereka kembali ke tanah air dengan kelulusan pengajian mereka dan pinggan mangkuk mewah. Sesetengahnya begitulah, tidak semua.

Facebook Comments
Latest posts by Muhammad Fakhruddin (see all)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.