Anak Apak Ke Rihlah Ilmiah

Ini merupakan bahagian 1 daripada 1 dalam siri Kemilau Publika

Entah mengapa mutakhir ini sering benar saya berdamping dengan memoir. Saya membaca memoir orang kecil, orang ternama mahupun ilmuan.

Ada memoir anak tok guru.

Ada memoir penuntut ilmu.

Masing-masing bukan sahaja merakam pengalaman hidup di 3 ranah berbeza, bahkan mewarnainya dengan sudut pandang yang jarang diketahui orang. Ada yang gagal memenuhi impian bapanya, ada yang merintis denai ilmu, ada juga yang menitip pandangan tajamnya yang mencerahkan masyarakat.

Anak Apak
Pak Subky Abdul Latif saya kagumi gaya penulisannya, lebih berharga pengetahuannya mengenai sejarah siasah tanah air. Sangat menghairankan apabila seorang aktivis PAS dan bekas wartawan Utusan ini memilih untuk menulis mengenai keluarga dan zaman persekolahannya. Rupanya di situlah kunci yang mencorakkan pemikiran dan hari depan anak muda ini.

Kegawatan ekonomi gara-gara Perang Korea membantutkan hasrat Apak untuk menghantarnya ke pondok. Mengapa apak beria benar ingin menghantarnya ke pondok? Titik ini menyerlahkan bakat mengarang Pak Subky mengungkapkan pemikiran pada waktu itu, seputar sekularisasi dalam pendidikan orang Melayu-Islam. Hasil daripada proses pendidikan sebegini yang melahirkan pembuat dasar-dasar penting negara yang meminggirkan Islam secara terancang, antaranya membuang tulisan Jawi yang turut dicatat di hujung memoir ini.

Tambah menarik, beliau turut mencatatkan pengalaman bersama tokoh-tokoh seperti Tun Abdullah Ayob orang kampungnya dan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang bergiat bersamanya dalam GPMS. Bakat mengarangnya sudah dikenal pasti oleh guru sekolah Melayu lagi, namun apak enggan tunduk dengan desakan guru besar untuk menghantarnya ke MCKK. Sesudah lulus SRP, Pak Subky cuba-cuba memohon jawatan guru tetapi Apak memujuk abangnya memohon jawatan Tok Penghulu bagi pihaknya. Beliau bersyukur tidak lama menjadi guru dan tidak terpilih menjadi Tok Penghulu, kerana kerjaya kewartawanan telah membawanya ke pelbagai negara, akan beliau huraikan dalam memoir jilid seterusnya bertajuk Propagandis Zaman dan ditutup dengan Manis-Manis Politik kelak.

Kata Apak, ” Orang muda yang bergaul dan berkawan dengan orang tua cepat dewasa.” Fikiran dan sikapnya akan seperti orang tua juga. Jika orang muda tidak berkawan dengan orang tua, dibimbangi mudah terlajak dengan cara remaja dan anak mudanya. Bahagialah orang muda yang berkawan dengan orang tua, dan rugilah anak muda yang menjauhi orang tua.

Anak Apak Memoir Politik Kewartawanan
Published by: Kemilau Publika
ISBN: 978-967-361-032-7
Available in: Paperback

Rihlah Ilmiah
Pada pandangan pertama saya menyangka ini memoir ‘berat’ untuk dihadam, melihat kepada latar belakang akademik beliau sebagai anak murid 2 ilmuan Islam ternama, Fazlur Rahman dan Prof. Syed Muhd Naquib Al-Attas. Perguruan beliau dengan 2 tokoh ini diabadikan pada tajuk memoir ini ‘Rihlah Ilmiah: Dari Neomodernisme ke Islamisasi Ilmu Kontemporer‘.

Menyentuh bab perjuangan, Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud pernah terlibat aktif dalam gerakan pelajar di Amerika Syarikat. Menuntut dalam bidang biologi di peringkat sarjana muda, beliau menyedari bahawa pengetahuan sains ini sarat berisi falsafah dan nilai Barat (seperti Darwinisme) yang bertentangan dengan aqidah. Atas saranan Hj. Bukhari Lubis, beliau memilih Fazlur Rahman sebagai guru dan penyelia PhD, tokoh yang mengenalkannya kepada kehebatan ilmu Prof. Syed Muhd Naquib Al-Attas.

Memoir sebegini amat menarik dan disusun dalam bentuk soal jawab. Dr. Wan Mohd Nor bukan sekadar memberi jawapan bahkan menyertakan surat mahupun kertas kerja yang berkaitan. Dokumentasi begini amat penting apatah lagi Prof. Syed Muhd Naquib Al-Attas telah ‘ditendang keluar’ dari institusi hasil usaha dan buah fikirnya iaitu ISTAC dan sebelumnya IBKKM (kini ATMA). Ia membangkitkan rasa ‘izzah dan tsiqah (kepercayaan) kita kepada ulama’ dan ilmuan Islam yang menjadi helang ilmi di langit tinggi.

Seorang alim masih boleh menghidupkan ekonomi bangsanya walaupun setelah ratusan tahun meninggal dunia; ramai ahli politik membunuh ekonomi bangsa walau memerintah satu penggal.

Rihlah Ilmiah Dari Neomodernisme ke Islamisasi Ilmu Kontemporer
Published by: Penerbit UTM
ISBN: 978-602-19985-1-9
Available in: Hardcover

N.B Ada satu lagi memoir, lebih kepada catatan travelog seorang ilmuan tanah air. Akan saya tintakan kemudian. Salam Aidilfitri semua.

8 thoughts on “Anak Apak Ke Rihlah Ilmiah

  1. Faizal

    Assalamualaikum saudara, alhmadulilah perkongsiaan yang menarik. Saya membaca buku memoir Dr. Sidek Baba, memang menarik, Banyal ilmu yang boleh kita ambil. Akan cuba cari buku-buku yang saudara kongsikan itu.

    Terima kasih.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>