27 Mac 2012
Beberapa hari menjelang acara Spring Moment with IluvIslam UK-Eire (S.M.I.L.E) Sabtu ini. Satu salinan makalah saya terima, sesuai dengan peranan moderator bagi sesi Malaysia dan Islam: Ini Sejarah Kita.

“Siapa Prof. Ahmat Adam ini?” monolog naïf seorang pelajar tahun satu.

Saat itu komuniti Malaysia di United Kingdom bertuah menerima kehadiran Dr. Asri Zainal Abidin  yang bercuti sabatikal di Oxford. Pelbagai program diatur dan dipromosi atas nama beliau sebagai penarik pengunjung.

Daripada carian Internet saya menjumpai beberapa maklumat mengenai Prof. Ahmat Adam. Beliau ialah seorang profesor sejarah, bermula di UKM kemudian berpindah ke UMS sebelum bersara dan dikurniakan gelar Prof. Emeritus.  Beliau bersama Dr. Asri dan Ustaz Marwazi (Timbalan Mufti Kedah) merupakan felo pelawat di Oxford Centre for Islamic Studies, yang turut dianggotai oleh Dr. Afifi Al-Akiti.

31 Mac 2012
Berbekal maklumat yang sangat asas ini, saya tersilap ketika memperkenalkan beliau kepada hadirin. Gugup mungkin, kerana bas kami dari Nottingham tiba agak lewat di Warwick padahal saya perlu mengendalikan sesi pertama. Langsung sahaja saya ditegur sepintas lalu ketika sharahannya, dan beliau menyampaikan sharahannya tepat mengikuti waktu yang ditetapkan penganjur.

Saya kagum, walaupun tajuk yang diperkatakan ialah topik yang sulit.

Sejarah, yang biasa membuatkan kita tidur, menjadi menarik dengan sharahan beliau. Ada beberapa fakta misalnya yang terkandung dalam Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin, beliau bentangkan dan mencabar kami untuk menilainya dari perspektif berbeza. Peristiwa pertanyaan persoalan agama oleh Sultan Melaka ke Pasai membuatkan kami berfikir bagaimanakah sebenarnya perkembangan ilmu pada zaman kesultananan Melaka itu.

Continue reading