Haram Haramkah @OhBuku

Ini merupakan bahagian 9 daripada 12 dalam siri PTS

Apakah rasional di sebalik pengharaman biografi negarawan dari pulau seberang?

Itu yang harus dijawab Jawatankuasa Penapisan Bahan-bahan Penerbitan Berunsur Islam JAKIM. Keputusan ini bukan sahaja mengejutkan umat Islam, bahkan masyarakat bukan Islam tanah air. Akan tercetus polemik yang lebih mendasar, mengenai nama jawatankuasa itu sendiri. Bagaimanakah sesuatu bahan penerbitan itu dikategorikan sebagai berunsur Islam? Adakah buku-buku tulisan ateis – God Delusion karya Richard Dawkins misalnya bakal menerima nasib yang serupa?

Antara kelemahan yang berlaku ialah JAKIM sendiri bergantung kepada kelulusan Kementerian Dalam Negeri untuk mewartakan dan menguatkuasakan keputusan ini. Ia mengingatkan saya kepada fatwa ESQ dan tarian poco-poco, tanpa niat untuk meremehkan keilmuan kedua-dua Sahibus Samahah Mufti. Apabila isu sensitif seperti agama bertemu dengan jurang pelaksanaan polisi, ia menambahkan kusut dan serabut dalam pemahaman masyarakat terhadap Islam terutamanya rakan bukan Muslim kita.

Isu pengharaman novel Sebongkah Batu di Kuala Berang terbitan PTS bukanlah perkara baru dalam arena sastera tempatan. Novel Shit karya salah seorang Sasterawan Negara juga pernah diharamkan atas sentimen politik. Namun kita sedia maklum sentimen simpati kepada Syiah sudah lama wujud dalam karya Faisal Tehrani, bahkan beliau sudah punya peminat tersendiri. Sekiranya pengharaman biografi tokoh seberang menimbulkan tanda tanya masyarakat, pengharaman novel tersebut membawa kesan yang lebih dahsyat.

Pengharaman hanyalah publisiti percuma buat sesebuah buku. Secara peribadi, novel Faisal Tehrani yang terkini itu tidaklah sehebat novel-novelnya yang terdahulu melainkan pada perbincangan mendalam mengenai seni dan Islam. Ia satu kritik sosial kepada industri seni negara yang mendapat sokongan kerajaan, namun berakhir dengan keuntungan pihak penerbit semata-mata tanpa menyedari impak kerosakan moral daripada filem-filem mereka. Pokok kontroversi dalam novel ini apabila beliau mengusulkan hipotesis bahawa mazhab Ja’fari atau Syiah Imamiah terlebih dahulu sampai ke Nusantara sebelum golongan Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Di sinilah peranan ahli Majlis Profesor Negara kluster sejarah, warisan dan sosiobudaya menulis di media massa untuk memahamkan masyarakat, bukannya mengeluarkan kenyataan media yang menambah kekeliruan pada sejarah tanah air.

Tidak dinafikan bahawa sesebuah buku dapat memberi kesan kepada masyarakat yang membacanya. Komunisme bermula dengan tulisan Marx dan Hegel manakala Syiah dengan Usul Min Al-Kafi, yang membenarkan kata-kata Wardina…

You are is what you read

Namun tindakan mengharamkan sesuatu buku bukanlah pilihan yang terbaik. Apabila pemerintah Indonesia mengharamkan karya-karya Pak Pramodeya seperti novel Bumi Manusia, tulisannya terus dicari orang secara sembunyi bahkan diseludup keluar dan diterjemah ke bahasa Inggeris.

Sudah tiba masanya golongan sasterawan berfahaman Ahlu Sunnah bergiat dalam arena sastera dan terus berkarya bagi menandingi tulisan Faisal Tehrani daripada terus-terusan mengkritik tanpa menyediakan alternatif kepada masyarakat.

Sambungan bahagian berikutnya<< Blog + Google Adsense = DuitBersediakah Kita Untuk Baca @ Ramadan? >>

8 thoughts on “Haram Haramkah @OhBuku

  1. ahmadyani

    Mereka yang mempunyai kefahaman yang diterima pakai banyak orang di negara ini, tidak menulis dengan giat. Rasanya mereka yang berada dalam ‘kumpulan’ yang menilai dan mengharamkan ini tidak menulis pun.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>