Beberapa Rumusan How To Read A Book

Muhammad Fakhruddin
Latest posts by Muhammad Fakhruddin (see all)

Rumusan ini ditulis oleh Yusra Hulaimi, pembicara siri How To Read A Book anjuran PKPIM Gombak.

 

Siri 1: Mengapa kita membaca?

Sebelum pergi kepada kaedah-kaedah membaca yang dimahukan, kami terlebih dahulu cuba menjawab persoalan “apakah bentuk kemajuan yang mahu kita capai sehinggakan kita tidak ada cara lain melainkan dengan membaca?” dan “apakah masalah yang kita ingin tangani sehinggakan kita tidak ada cara lain melainkan dengan membaca?”

Saya kongsikan pendapat saya bahawa sekurang-kurangnya kita ada tiga sebab yang paling mendasar mengapa perlu kepada membaca.

Pertamanya, kita mempunyai masalah dalam perkara-perkara usul. Ramai orang ingin terus terjun untuk menyelesaikan perkara-perkara furū’ (isu), akan tetapi menggunakan tapak yang selalu berubah-ubah. Kadang kala isu yang sama, tapi justifikasi yang berlainan. Ini selalunya paling jelas terjadi dalam politik. Jadi, untuk mengkejapkan akar pemikiran, seseorang perlu membaca dengan cergas.

Kedua, kita hidup dalam zaman di mana teknologi mengambil alih banyak aktiviti manusia seperti yang terlihat dalam bidang industri. Sehinggakan, kapasiti berfikir kian diambil alih sedikit demi sedikit oleh teknologi maklumat. Maka, selain mengekalkan kemahiran berfikir, membaca juga mampu menjadi alat saringan untuk menerima maklumat yang perlu dan membuang yang selainnya.

Ketiga, kita dikelilingi oleh kelompok yang Alexander Pope gelarkan sebagai “bookful blockheads”. Mereka membaca, tetapi dengan salah faham yang sangat dahsyat. Sehinggakan mereka merasakan seakan-akan sudah melaksanakan aktiviti intelektualisme, padahal hakikatnya mereka cumalah syok sendiri. Maka, membaca dengan betul mampu menyelamatkan seseorang daripada mentaliti sebegini.

Selepas menjawab persoalan “mengapa”, barulah kemudiannya kita mampu menggariskan apakah definisi membaca yang kita mahukan dan bahan bacaan apakah yang perlu kita baca.

Siri 2: Memahami tatasusun sebuah buku

Semalam saya berkongsi satu lagi sebab mengapa perlu membaca. Dan kali ini sebabnya bukan untuk menyelesaikan apa-apa masalah, tetapi untuk menggariskan bentuk kesempurnaan yang kita ingin capai sebagai manusia. Kesempurnaan yang kita maksudkan ini ialah kesempurnaan yang melampaui segala bentuk kesempurnaan keduniaan. Kesempurnaan tersebut ialah al-Hikmah.

Al-Hikmah pula hanya terdapat pada seorang insān yang kāmil. Maka, usaha membaca hendaklah dihalakan ke arah mencapai status ‘insān kāmil’ tersebut.

Kemudian kami beralih pula kepada langkah pertama dalam memahami apa-apa sahaja jenis buku, iaitu memahami tatasusun (struktur) sesebuah buku. Dan tatasusun tersebut boleh dikenal pasti mula-mulanya melalui judul buku itu sendiri.

Siri 3: Memahami kandungan sebuah buku

Kali ini saya kongsikan satu lagi sebab perlunya membaca, iaitu keperluan untuk mengetahui letak duduknya bidang pengkhususan kita berhubungan dengan ilmu-ilmu lain yang ada.

Dalam pendidikan formal yang kita duduki, kita diletakkan untuk mempelajari bidang yang khusus. Keadaan ini, jika tidak didampingi dengan pembacaan yang meluas dan sistematik, tidak akan memperlihatkan kepada kita akan hubungan antara bidang kita dengan bidang lain.

Hubungan antara ilmu-ilmu ini membentuk sebuah hierarki, yang mana suatu disiplin ilmu menduduki keutamaan yang lebih tinggi berbanding disiplin ilmu yang lain. Kerana disiplin ilmu yang di bawah berperanan sebagai batu loncatan kepada ilmu yang lain. Dan setinggi-tinggi ilmu – yang juga merupakan matlamat akhirnya- ialah ma’rifatullāh.

Hakikat ini, jika tidak disedari, akibatnya terjadinya democratization of knowledge. Ianya keadaan yang mana semua ilmu dinilai sebagai menduduki keutamaan yang sama, lalu semua ilmu dipelajari tanpa tujuan yang lebih tinggi.

Siri 4: Mengulas dan mengkritik sebuah buku

Semalam (sesi terakhir) kami berkongsi tentang mekanisme hubungan dalaman antara ilmu-ilmu dan bagaimana hubungan tersebut membentuk sebuah hierarki.

Dan kemudian kami beralih kepada ‘intellectual etiquette’ yang harus dipatuhi oleh sesiapa sahaja yang ingin mengkritik sebuah buku- iaitu ‘teachability’, ‘positional responsibility’, dan ‘rhetorical reciprocity’.

Akhir sekali kami berkongsi tentang langkah-langkah yang betul untuk mengkritik sebuah buku dengan mulanya membezakan antara pendapat peribadi penulis dan ilmu yang tulen. Kemudian, dalam ilmu yang bukan sekadar pendapat peribadi tersebut, kita boleh menunjukkan di mana silap-silap penulis melalui beberapa kaca mata penilaian- iaitu ‘soundness’ dan ‘completeness’.

How to Read a Book Book Cover How to Read a Book
Mortimer J. Adler, Charles Van Doren,
Language Arts & Disciplines
Simon and Schuster
1972
426

Analyzes the art of reading and suggests ways to approach literary works


Posted

in

,

by

Comments

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.