Kembara Oxford:Pulang Mencari Cahaya

Ini merupakan bahagian 5 daripada 10 dalam siri Dagang Eropah

Menghantar sahabat-sahabat Manchester pulang ke tanah air, saya melewati jejak-jejak awal saya di UK. Lapangan terbangnya, terminal basnya…namun tiada satu pun yang lebih mengharukan daripada menjejaki semula tanah air walaupun diuji zaman edan siasahnya. Tika ini tiada yang mahu tekun menuntut ilmu yang benar buat pedoman kehidupan, dilemaskan isu bertali arus yang menguras masa dan tenaga kita membangunkan ummah. Justeru usai peperiksaan berakhir saya menuju bandar ilmu Oxford bertemu Prof. Ahmat Adam, pengkaji Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang tekun . Sudah tentu saya mahu mengetahui lebih lanjut kajiannya seputar salah satu naskhah salinan daripada 32 salinan Sulalatus Salatin yang masih wujud.

Sejarah Melayu, A Samad Ahmad

Peri penting kajian manuskrip sebegini kerana ia merakam sejarah penting masyarakat Nusantara khususnya perihal kemajuan dan ketamadunan nenek moyang kita. Antara peristiwa yang penting ialah isu kedatangan Islam ke Nusantara yang ribut dek Dr. Faisal Tehrani menyuguh hipotesis bahawa Islam di Nusantara berasal dari Parsi yang pernah saya catat seputar novel Sebongkah Batu di Kuala Berang. Isu sebegini perlukan jawapan autoriti ilmu seperti sejarawan untuk mengoyak tabir kesangsian akhirnya menyerlahkan cahaya kebenaran.

Menyentuh soal kedatangan Islam, Prof. berpendapat bahawa penerimaan Islam oleh masyarakat didorong oleh fahaman Hindu yang menyatakan bahawa Tuhan bersifat transcendence, yang mirip kepada faham tasawuf yang tiba di Nusantara. Dapatan beliau juga menunjukkan bahawa terdapat banyak unsur-unsur Syiah yang terakam dalam manuskrip Melayu, namun tiada rekod menunjukkan wujudnya kerajaan Syiah di Nusantara.

Adapun demikian, pandangan sebegini sudah lama ditolak dan dijelaskan oleh gurunya Prof. Dr. Syed Naquib Al-Attas. Dalam syarahan perdananya di UKM yang kemudian menjadi buku ‘Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu’ telah menolak teori autoktoni ini. Teori autoktoni ini hanya terpakai untuk menjelaskan penerimaan masyarakat Nusantara yang kuat animismenya terhadap agama Hindu dan Buddha sejajar dengan dapatan Prof. Ahmat. Namun Prof. Al-Attas berhujah, masakan falsafah Hindu menurut pandangan Vedanta dapat disamakan dengan ajaran tasawuf bersumberkan Al-Quran! Tiadalah saya bermaksud memanjang perbahasan Prof. Al-Attas dalam entri ini, yang boleh dirujuk menerusi salinan syarahannya milik Penerbit UKM.

Di samping itu, sempat juga saya melontarkan beberapa isu kontemporari yang saya temui dari Intellectuals in Developing Societies karya Prof. Dr. Syed Hussein Alatas antaranya perihal golongan elit dominan (dominant elites). Beliau membetulkan kefahaman saya bahawa tiada berdosa menjadi kalangan elit yang berkuasa baik dari segi siasah, ekonomi mahupun intelektual tetapi mesti sentiasa bersikap jujur dan telus. Barulah sistem yang ada dapat beroperasi tanpa penyelewangan, yang menurut beliau berkembang biak sejak tahun 1970 dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan. Dasar ini, menurut beliau jalan bagi menguntungkan Bumiputera ‘terpilih’ yang disukai pimpinan dan sangat menepati kritikan Prof. Syed Hussein Alatas terhadap DEB. Saya hanya mampu tersenyum mendengar kata-katanya yang juga seorang aktivis mahasiswa dekad 70-an yang terserlah pada gaya provokatifnya.

Mendampingi intelektual seperti Prof. Ahmat Adam mengajar kita erti kerendahan hati dan kejujuran sebagai penuntut ilmu. Walaupun beliau tidak popular di media massa dan semakin dimamah usia, beliau masih gigih menekuni dan menguasai ilmu sejarah yang banyak dipandang sepi oleh pemuda. Molek juga direnung pesan-pesannya yang provokatif ini:

Jangan selalu berbangga menjadi Melayu, tetapi ambillah sifat-sifat yang baik dari amalan orang Melayu.

Sambungan bahagian berikutnya<< Warkah Andalusia: Sejenak di GibraltarBeberapa Catatan Musim Panas >>

8 thoughts on “Kembara Oxford:Pulang Mencari Cahaya

  1. nurlavender

    Sejarawan yg kene perbetulkan diri dulu..kalo dh sesama sendiri pon xsependapat mcm mana nak dapat kata sepakat..:) Saya keje bahagian sejarah taw.wat research melalui ekskavasi arkeologi nak cari bukti sejarah kat Mesia ni..:)

    Reply
    1. Muhammad Fakhruddin Post author

      Baru saya tahu siapa pembaca blog kerdil ini :)

      Tak salah jika tak sependapat. Yang jadi masalah, tak mahu menulis dan mencerahkan masyarakat. Hanya tahu mengejar KPI untuk kenaikan pangkat.

      p/s: kalau ada penemuan menarik kongsi2 ya

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>