#BacaMerdeka: Batu Bersurat Terengganu Menurut Prof Ahmat Adam

Muhammad Fakhruddin
Latest posts by Muhammad Fakhruddin (see all)

Prof Ahmat Adam mungkin dikenang oleh khalayak peminat sejarah dan sejarawan untuk dua perkara. Pertama, pandangan beliau mengenai Hang Tu-Ha dan seterusnya perbezaan pandangan beliau mengenai tarikh dalam Batu Bersurat Terengganu dengan pandangan Prof. Syed Naquib Al-Attas. Kebetulan ketika polemik-polemik ini mulai tumbuh sewaktu beliau menjadi Karyawan Tamu Jabatan Sejarah UM, saya mengikuti pembentangan beliau seputar polemik tersebut dan perbahasan akademik yang ditimbulkan oleh rakan sejawat beliau.

Prof bersama buku edisi bahasa Melayu dan Inggeris di PBAKL 2017. (Sumber Foto:Twitter)

Walaupun demikian, tulisan ini tidak menolak wujudnya bukti-bukti kedatangan awal Islam di Asia Tenggara lebih awal daripada zaman Melaka. Selain daripada batu bersurat ini, turut dinyatakan bukti-bukti lain seperti kubur di Campa (431H/1039M), Gresik (475H/1082H) serta Aceh (398H/1007M). Yang dipermasalahkan beliau ialah andaian bahawa batu bersurat ini ditulis sepenuhnya dalam bahasa Melayu tanpa adanya kemungkinan pengaruh Jawa dalam pemahatannya.

Dengan menggunakan kaedah filologi dan analisis sejarah, beliau cuba menunjukkan terdapat kesilapan pemahaman di beberapa bahagian batu bersurat ini, yang menyebabkan kesilapan dalam menentukan tarikh batu bersurat ini. Beliau menyandarkan kesimpulan ini kepada dapatan beliau bahawa wujud perkataan bahasa Kawi atau Jawa Kuno yang digunakan oleh pemahat batu bersurat ini.

Pada beberapa tempat, perkataan Kawi ini mempunyai pengaruh daripada fahaman Buddha yang menjadi pegangan masyarakat pada zaman pra-Islam. Pemilihan perkataan tersebut seperti sasanakala dan dharma adalah untuk menunjukkan elemen perintah agama atau undang-undang, agar difahami masyarakat pada waktu itu.

Selain itu, penggunaan perkataan Kawi tersebut dalam menerangkan masa juga menunjukkan penggunaan sistem kalendar Jawa kuno, yang cuba disesuaikan dengan kalendar Hijirah. Prof menunjukkan bahawa bacaan beliau pada frasa-frasa berbahasa Kawi tersebut sesuai dengan kiraan kalendar Jawa Kuno dan tarikh kalendar Hijriah yang dinyatakan (Jumaat di bulan Rejab di tahun Saratan).

Prof menutup buku ini dengan beberapa persoalan yang layaknya perlu dijawab oleh lingkungan sejarawan tempatan. Sekiranya kita menerima andaian yang diguna pakai dan kesimpulan Prof, apakah pengaruh bahasa Kawi terhadap bahasa dan sastera masyarakat di Semenanjung, khususnya dalam konteks Terengganu ini? Seterusnya, sejauh mana pengaruh kebudayaan Jawa dalam konteks ini – atau Siam dan Khmer dalam konteks yang lebih luas – membentuk pemikiran Melayu terhadap astronomi, sistem kalendar, ilmu tilik dan astrologi Melayu?

Adakah terdapat bukti-bukti sejarah baik dalam bentuk prasasti, tinggalan arkeologi atau manuskrip yang dapat merungkai persoalan-persoalan besar yang timbul daripada perdebatan beberapa baris tarikh yang terpahat di seketul batu. Dalam perkataan Prof. Abdullah Zakaria Ghazali dalam satu makalah, bahan-bahan sejarah yang ‘bisu’ ini akan terus mencabar pemahaman sejarah yang mendasari negara bangsa ini.

Batu Bersurat Terengganu: Betulkah Apa yang Dibaca Selama Ini?
Ahmat Adam
Strategic Information and Research Development Centre SIRD
2017
Hardcover
98

Comments

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.