Muhammad Fakhruddin
Latest posts by Muhammad Fakhruddin (see all)

Pada mulanya, saya hendak menahan diri daripada membeli kumpulan cerpen Nisah Haron ini, beserta buku Bagaimana Saya Menulis hasil usaha beliau dan Dr. Mawar Shafie menghimpunkan cerpen-cerpen penulis muda bersama proses berkreatif mereka. Barangkali saya kurang sabar menanti Pesta Buku tidak lama lagi, saya menempah 2 buku ini menerusi Ujana Ilmu.

Ada yang aneh mengenai 16 cerpen dalam Rindu Seorang Rafik ini. Pertama, ia ‘tewas’ dari segi ketebalan jika dibandingkan dengan kumpulan cerpen Tiga Kali Seminggu. Hal ini disebabkan Faisal Tehrani memuatkan novelet Kegawatan sepanjang 58 muka surat.

Kedua, usai membaca beberapa kumpulan cerpen Nisah Haron seperti Impian Tsu-Ryi, saya dapati cerpen seperti Impian Tsu-Ryi juga terkandung dalam kumpulan cerpen ini. Secara peribadi saya menganggap pilihan ini untuk menonjolkan kekuatan beliau sebagai penulis dengan latar belakang perundangan.

Nisah Haron begitu bijak menyusun cerita dan menyisipkan fakta dan ilmu bantu, khususnya mengenai dunia perundangan dan adat Perpatih amalan masyarakat di Negeri Sembilan.

Selain Impian Tsu-Ryi, cerpen-cerpen beliau yang berkisar adat Perpatih sering menggondol anugerah sastera tanah air. Antaranya Pusaka Cendana yang memperkenalkan pembaca kepada bongai, satu seni persembahan yang semakin hilang ditelan zaman.

Konflik timbul apabila si peniup seruling mahu mewariskan bongai kepada cucunya yang ditentang waris lain. Adakah bongai sekadar satu kesenian abstrak yang tidak boleh diwasiatkan menurut Islam atau ia lebih daripada konflik perebutan harta pusaka? Semuanya akan dijawab oleh peguam Cendana Mulyahati.

Pada Anugerah Sastera Perdana Malaysia 08/09, giliran cerpen Lemang Nan Sebatang pula meraih anugerah untuk kategori cerpen eceran. Juadah wajib setiap kali lebaran tiba ini menyimpan satu falsafah kekeluargaan yang dilupakan oleh Angah, gara-gara pembahagian harta pusaka yang bersifat matrilineal dalam adat Perpatih yangmemihak kepada Busu. Mujur kedegilan anak beliau sedikit sebanyak merungkai kekusutan yang timbul.

Pulutnya adalah kejeleketan antara ahli keluarga.

Beliau juga tidak ketinggalan menyinggung isu semasa lewat cerpen-cerpennya. Hubungan sahabat di dua negara berjiran disentuhnya secara halus menerusi watak Rosa dan Rafik Mustaqim.

Kisah dilema saudara baru ditonjolkan oleh Naim @ Naresh dalam cerpen Antara Dua Pusara. Secara tidak langsung, beliau menyatakan bahawa keluarga bukan Islam masih boleh mendapatkan hak mereka wajar setelah kematian orang tersayang yang memeluk Islam. Sememangnya mekanisme hibah jarang diperkatakan oleh masyarakat kita dalam menyelesaikan perbalahan tuntutan harta pusaka terutamanya melibatkan anak angkat dan bukan ahli waris.

Sebagai penggiat sastera dan dunia buku tanah air, beliau meluahkan rasa hati dalam cerpen Sayap-Sayap Kecil di Graha Jentayu serta siri Resepi Dari Istana. Cerpen pertama dalam susunan kumpulan cerpen ini merakamkan perbualan Anum dengan seorang sasterawan yang dipanggil ayahanda.

Ia mengingatkan saya kepada keazaman SN Dato’ A. Samad Said agar buku-bukunya dicetak dan dijual secara bermaruah, hingga sanggup menarik balik hak penerbitan dan percetakan daripada badan ulung hal ehwal bahasa dan sastera tanah air.

Dalam Resepi Dari Istana I dan II, saya menanggapi maksud pengarang yang menyentuh isu dunia sastera tempatan. Bagaimana gemparnya persada itu pada satu ketika apabila pengarang novel pop dipilih mewakili negara ke bengkel sastera serantau.

Isu kandungan Komponen Sastera (KOMSAS) dipaparkan dalam Resepi Dari Istana II seperti isu teks KOMSAS dikatakan terlalu berat dan banyak hingga membebankan pelajar atas desakan pihak sekolah yang mahu melahirkan ribuan pelajar lulus cemerlang (kononnya) hingga mengabaikan kepentingan dan tujuan sebenar dunia pendidikan.

Rindu Seorang Rafik
Nisah Haron
Al-Ameen Serve Holdings
2011

Posted

in

by

Comments

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.