- Iakah Malapetaka Iklim? – 21/01/2024
- Buku dan Debu Kehidupan Kota Kaherah – 06/09/2023
- Beberapa Ingatan daripada Penat – 24/01/2023
Siapa yang tak kenal buya HAMKA, ulama’ Minang dari tanah seberang. Namun, beliau tidak sunyi daripada dugaan yang merintangi perjalanan dakwahnya. Difitnah dan ditahan di bawah regim Orde Lama Soekarno, perselisihan beliau dengan Sahibus Samahah Mufti Johor Dato’ Syed Alwi Bin Tahir al-Haddad mewarnai sejarah hidupnya.
Dari Hati Ke Hati merupakan koleksi kolum tulisannya dalam majalah Panji Masyarakat dari tahun 1967 hingga tahun 1981. Meletakkan Islam sebagai dasar dan maksud penulisannya, beliau berjaya mengupas pelbagai isu yang menyelubungi masyarakat Indonesia seawal zaman pra-kemerdekaan Indonesia hingga tertubuhnya Orde Baru di tangan Jeneral Suharto. Sayangnya tiada catatan khusus mengenai tarikh rencana-rencana tersebut ditulis dan diterbitkan yang boleh memberi gambaran dan kemudahan buat pembaca yang berminat dengan sejarah negara serumpun tersebut.
Tulisan HAMKA dibahagikan kepada empat bahagian yang mendukung tema seperti Agama, Angkatan Muda Islam, Kerukunan Umat Beragama dan Politik. Di balik kelembutan dan kehalusan bahasa, ia menyerlahkan ketajaman kritik dan keteguhan pendiriannya sebagai Muslim yang merasai zaman pertembungan ideologi (ghazwatul fikrah) antara Islam yang diperjuangkan gerakan Masyumi, Komunis dan Soekarno sebagai oportunis yang akhirnya menjadi boneka Partai Komunis Indonesia.
Menerusi buku ini, kita dibawa penulis menyorot kembali jasa ulama’ dan syuhada’ yang menunjangi gerakan kemerdekaan. Ia menceritakan bagaimana Komunis mendapat tempat di hati Soekarno hingga berupaya menghapuskan seteru mereka iaitu Parti Masyumi dan juga angkatan tentera menerusi peristiwa Lubang Buaya, namun dipatahkan dalam Gestapo 30 September.
Membaca coretan buya HAMKA seolah-olah imbasan kembali terhadap peristiwa penting yang berlangsung dalam gerakan Islam, politik dan isu agama di tanah air sejak awal tahun 1990-an hingga kini. Beliau mengkritik secara terbuka pemerintah yang bernama Muslim namun mengabaikan keperluan melaksanakan Islam di segenap bidang pentadbiran negara. Ia terakam dalam rencana bertajuk Mengapa Mereka Masih Ribut? (Mari Kita Berpahit-pahit, Kaum Muslimin Belum Puas Atas Kemerdekaan Ini) yang jelas ditonjolkan dalam penutup tulisan tersebut:
Mari kita berpahit-pahit, kaum Muslimin belum pernah merasa puas dalam kemerdekaan negeri ini kalau kewajipan menjalankan Syariat Islam dalam kalangan pemeluknya seperti tercantum dalam UUD 1945 belum menjadi kenyataan.
Beliau juga tak lepas meluahkan kekecewaan kepada umat yang berbangga dengan ideologi, sistem dan budaya Barat yang terbukti celaru identiti. Gejala sosial yang berleluasa dek pembukaan pub, disko dan kelab malam atas alasan menggalakkan pelancongan serta budaya jilatisme orang bawahan terhadap dasar-dasar korup lagi berbahaya oleh pihak atasan menjadi sasaran kritikannya yang utama.
Sesungguhnya coretan kolum Dari Hati Ke Hati beliau di majalah Panji Masyarakat lahir dari jiwa tulus seorang patriot, kerana patriot ialah orang yang faham dan taat beragama, lagi menyayangi negara dan ummah daripada dijajah sekali lagi oleh jahiliah.
Leave a Reply