Manuklon: Fiksyen Sains dan Politik

Muhammad Fakhruddin
Latest posts by Muhammad Fakhruddin (see all)

Darko Suvin sudah lama mengimpikan sai-fai yang begini. Dia Marxist, daripada prakata buku teorinya mengenai sai-fai, Metamorpheses of Science Fiction, sudah dapat kita telah hasrat ini. Dia mengimpikan sai fai yang bicara perihal realiti masyarakat lewat jargon-jargon seperti cognition, estrangement dan novum yang sulit untuk kita fahami. Sebagai pembaca, saya tak boleh marah-marah, tapi sabar mengikuti huraiannya yang berdikit-dikit mengenai istilah ini.

Tetapi membaca Suvin dan novel-novel lama Dr. Rahmat Haroun seumpama takdir. Perkenalan dengan novel Panggil Aku Melaju membuatkan saya cuba mengenali bumbu-bumbu siasah dalam beliau. Ada dua karakter yang melambangkan karier si penulis, keterujaannya dengan teori-teori psikologi (Freud atau Jung) serta ketajaman pemerhatiannya untuk melukiskan semula peristiwa-peristiwa masyarakat, secara halus atau terus-terang.

Dalam banyak novel Dr Rahmat Haroun, akan ada wataknya yang bermimpi, berkhayal hatta berdelusi. Di situ akan ada huraian dan sisipan yang berbaur psikologi, agakan saya kerana saya bukan peneliti bidang ini. Dalam delusi itu pun, dia membantah PPSMI seperti yang tercatat dalam Panggil Aku Melaju. Namun bukan novel ini yang menjadi maksud bicara saya.

Novel Manuklon lahir pada tahun lahir saya, dua tahun sesudah novel Di.Ar.Ti oleh penerbit yang sama. Manuklon tidak dimulakan dengan cerita manuklon itu sendiri, tetapi mengenai sebuah bangsa yang sudah hilang kemerdekaannya di negara sendiri, bangsa Melayu. Cerita tidak bermula di istana dan kota, sebaliknya gerila di belantara. Orang biasa menjadi tentera, seterusnya ditugas sebagai pengintip antara mahasiswa. Dari titik ini barulah kita mengenali apa itu manuklon (manusia klon), manubot (manusia robot) dan megakom (mega komputer).

Rencana-rencana yang diatur manuklon terhadap Melayu serasa bagai berada di negara ciptaan Orwell pada tahun 1984, segalanya hanya untuk kepentingan dan kelangsungan manuklon. Sememangnya pergerakan watak Azizi, kemudiannya Khairil Marzuki, dan teman-teman TENAMA dari mula untuk merebut kembali makna kewujudan mereka daripada penguasaan manuklon ini.

Novel Manuklon ini walaupun masih berjejak di bumi Malaysia, penulis cuba membina bayangan dunia masa hadapannya sendiri. Hal ini dapat kita kesan daripada perbezaan teknologi yang dihuraikan dalam cerita, antaranya senjata dan kelengkapan TENAMA dan TENREP.

Bahkan raja-raja dibayangkan sudah hapus pada masa itu, dan Malaysia sudah bergelar republik. Politik di hujung tahun 1980-an dan awal 1990-an penuh dengan geloranya tersendiri. Secara halus kita dihidangkan dengan bagaimana TENAMA dan PETA boleh wujud, seterusnya wujudnya gerakan yang lebih bernuansa Islam, iaitu Ajima. Pada masa yang sama, dua watak yang digambarkan sebagai adik-beradik, Abimah dan Irca juga dicatatkan. Abimah bekerjasama dengan agen TENAMA, khususnya Khairil, begitu juga Irca di hujung cerita ini. Irca pula lebih suka ber-ana ente.

Persenjataan yang dilukiskan oleh pengarang berakar umbi daripada teknologi Perang Dingin, salah satunya bom nuklear. TENREP mempunyai senjata lebih canggih dan baik, bukan sahaja punyai bom nuklear mini malahan penembak anti-matter yang melenyapkan apa sahaja tanpa meninggalkan kesan. Sebagai pembaca pada tahun 2015, sudah tentu banyak teknologi yang diceritakan dalam novel ini sudah pun wujud dan dibuat ahli sains masa kini. Membiakkan daging dalam tabung uji, anti-matter, dan pengklonan itu sendiri sudah menjadi berita sains yang dinantikan ramai orang.

Saya hanya dapat mengagak bibit-bibit siasah lewat beberapa nama yang saya sebutkan tadi. Tidak pula dapat saya agak nama-nama watak lain juga membawa signifikan yang serupa atau tidak. Novel ini yang sarat dengan elemen siasah dan sains pun mengingatkan kita, manusia murni, manusia klon ataupun manusia robot, kita tetap manusia yang punya kemuliaan dan harga diri yang perlu dijaga dan dihormati.

Manuklon Book Cover Manuklon
Rahmat Haroun
Malay fiction
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
1991
230

Posted

in

by

Comments

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.