- Iakah Malapetaka Iklim? – 21/01/2024
- Buku dan Debu Kehidupan Kota Kaherah – 06/09/2023
- Beberapa Ingatan daripada Penat – 24/01/2023
Dalam satu kuliah, Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam pernah meluahkan rasa betapa institusi pengajian agama seperti pondok dipandang remeh oleh masyarakat kini. Usahlah kita mengimpikan untuk melahirkan ulama’ terbilang seperti Dr. Yusuf Al-Qaradawi sekiranya kita mengkastakan pelajar cemerlang ke kelas sains manakala yang lain memenuhi bidang sastera, sains sosial bahkan agama.
Walaupun kecewa dengan pelaksanaan dasar pendidikan sebegini, saya temui kebahagiaan dalam novel yang diinspirasikan dari kisah hidup penulisnya, A Fuadi. Mengkhayalkan dirinya sebagai Alif di dalam novel, ia bertitik tolak dari harapan ibu yang bertentangan dengan cita-cita si anak. Alif mengimpikan dirinya bakal menjadi jurutera sehebat BJ Habibie, sedangkan ibunya mengharapkan anaknya mengikut jejak langkah Buya HAMKA. Dalam rasa terpaksa, beliau membawa hati ke Pondok Madani.
Di sana beliau bertemu dengan 5 orang sahabatnya yang lain. Menempuhi pelbagai pengalaman yang memberi erti kepada seorang anak remaja lantas mereka menanam mimpi saat awan-gemawan petang berarak di kaki langit. Pondok mereka istimewa. Semuanya bisa berbahasa Arab dan Inggeris hatta mengigau dalam tidur!
Cerita Ikhlas, Kisah Yang Gigih
Mas A Fuadi begitu kreatif melakar kisah hidupnya di pesantren. Kisah yang jarang-jarang didengari masyarakat, malahan beliau begitu bijak meletakkan unsur-unsur humor dalam novel ini. Perhatikan tajuk beberapa bab seperti Maradona Hafal Quran dan Agen 007 yang memancing minat pembaca.
Namun, novel ini meletakkan falsafah hidup yang besar berpaksikan kata hikmah Man Jadda Wajada (Barang siapa berusaha, dia akan berhasil). Kegigihan sebegitu tidak akan berhasil jika tidak dimulai dengan keikhlasan, yang ditunjukkan oleh para guru di Pondok Madani atau secara realitinya Pondok Moden Gontor. Alif juga menyaksikan keistimewaan para gurunya, walaupun mereka bergelar Kiyai bertaraf alim ulama’ mereka juga menguasai bidang lain seperti sukan dan juga muzik. Inilah keistimewaan pondok yang sebuah ini dengan kiyai mereka mampu beraksi lincah di padang bola!
Novel ini mengajar kita bahawa siapa dan latar belakang kita bukanlah penentu masa depan, sebaliknya usaha yang kita anyam daripada cita-cita kita yang melangit. Beranilah bermimpi menggapai bintang tertinggi dengan bekerja seikhlas hati kita!
Leave a Reply