Saya jarang sekali bercerita perihal dunia penulisan yang saya ceburi. Saya sedar, sudah lama saya tidak menulis mahupun menghantar apa-apa tulisan ke media cetak. Saya tidak segigih rakan-rakan sebengkel satu ketika dahulu, ada antara mereka kini sudah menghasilkan beberapa novel.
Pun begitu orang masih bertanya “Mengapa tidak ambil sastera sahaja?”

Jujur, kecenderungan itu timbul begitu lewat sekali dan hadir dengan cara yang begitu aneh. Sewaktu di menengah atas, saya terpesona dengan asas-asas ilmu balaghah yang dipelajari dalam Bahasa Arab. Pesona itu yang meniupkan keyakinan untuk menggores pena, menghantar karya pertama ke media. Sangat lambat, berbanding rakan-rakan yang sudah berkarya seawal sekolah rendah lagi.
