Tag: syura

  • Fiqh Siasah: Risalah mengenai Syura

    Perbahasan tentang Islam dan politik, walaupun menarik dalam konteks semasa tetapi satu yang telah lama saya tinggalkan buat beberapa ketika. Salah satunya disebabkan banyak penulisan tema berkenaan masih berada pada teoritikal dengan merujuk kepada amalan sewaktu zaman keemasan Islam, yakni zaman Rasulullah S.A.W serta zaman pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidun.

    Kebanyakan literatur Islam dan politik yang sempat saya tekuni menanggapi syura sebagai satu konsep yang hampir dengan konsep demokrasi yang diamalkan masa kini, sedangkan konsep demokrasi itu sendiri mempunyai sejarah dan perkembangannya yang tersendiri hingga membawa kepada pelbagai kaedah demokrasi yang diamalkan pada kebanyakan negara bangsa moden kini.

    Demokrasi boleh difahami sebagai kaedah untuk mengabsahkan kekuasaan sesuatu kerajaan yang memerintah, pada masa yang sama turut difahami sebagai kaedah bagi melibatkan sekelompok besar masyarakat dalam pembentukan hala tuju dan dasar sesebuah negara menerusi perwakilan kuasa di parlimen. Melihat kepada nuansa konsep demokrasi itu sendiri, Dr. Muhammad al-Mukhtar al-Shinqiti membahaskan dengan lebih terperinci konsep syura, dengan mengkategorikannya kepada syura dan musyawarah.

    Cita Pemimpin Sempurna

    Pemimpin yang sempurna seperti digariskan oleh Al-Quran mempunyai keseimbangan antara sifat amanah dan quwwah. Dalam erti kata lain, pemimpin yang mempunyai sifat peribadi yang unggul dan berintegriti, pada masa yang sama cekap dan mahir dalam menguruskan tugasan dan organisasi. Namun begitu hanya segelintir sahaja yang berjaya mengimbangi dua sifat kepimpinan tersebut seperti mana tinjauan terhadap sirah para sahabat R.A oleh Dr. Mukhtar. Misalnya Abu Zarr al-Ghifari yang dikenali seorang yang warak dan jujur, namun Nabi S.A.W tidak melibatkan beliau dalam urusan kepimpinan menerusi hadis mengenai hal meminta jawatan.

    Justeru menurut Dr. Mukhtar, prinsip syura dan prinsip musyawarah memberikan ruang praktikal bagi umat untuk memilih pemimpin yang mempunyai keseimbangan cita pemimpin sempurna tersebut. Tambah beliau, prinsip syura ini mengelakkan pemimpin bermasalah yang diangkat menerusi kaedah pewarisan atau kaedah majoriti.

    (more…)
  • al-Shura: Perbahasan Demokrasi dan Islam

    Urusan berkaitan politik (siyasah) dan pentadbiran digolongkan dalam perbahasan ilmu fiqh muamalat, melibatkan urusan dan perhubungan sesama manusia. Kefahaman mengenai kedudukan perbahasan ilmu ini penting bagi memahami dalil dan kaedah fiqh dalam perbahasan berkaitan politik, seterusnya menonjolkan sifat Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin.

    Antara kaedah fiqh yang terpakai secara umum dalam perbahasan muamalat ialah ‘hukum asal bagi urusan muamalat ialah harus melainkan ada dalil mengharamkan’. Hal ini difahami para ulama’ apabila Allah dan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam telah menetapkan beberapa prinsip yang kekal – juga disebut sebagai thawabit – dalam urusan muamalat, namun kaedah pelaksanaan urusan tersebut boleh berubah mengikut masa, tempat dan keadaan.

    Walau bagaimanapun, perubahan pelaksanaan hukum mestilah dirujuk dan dipantau oleh ulama’ yang berkelayakan bukanlah dirombak mengikut nafsu dan kepentingan tertentu semata-mata. Hadith Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menyebut:

    Kamu lebih mengetahui urusan dunia kamu (riwayat Muslim)

    Kefahaman para sahabat radhiyallahu ‘anhum daripada hadith ini membolehkan mereka mencipta atau mengadaptasi kaedah dan mekanisme dalam urusan politik dan pentadbiran, seperti mana yang banyak dilakukan oleh Saidina Umar Al-Khattab.

    (more…)