Alif Lam Lam Ha Mencetak Keresahan Anak Muda

Muhammad Fakhruddin
Latest posts by Muhammad Fakhruddin (see all)

Pagi Ahad itu Dr. Azhar Ibrahim membuka panggung Simposium Anak Muda UTAM dengan persoalan-persoalan. Menurut beliau ada beberapa hal yang perlu diwacanakan anak muda, bahkan sesetengahnya amat kurang diberi perhatian. Mengutip daripada kertas kerja Ke Arah Cita Pemuda Yang Menjadi, persoalan tersebut merangkumi:

  1. Pendidikan lambak dan manusia lambak
  2. Kecenderungan beragama yang bermajlisan
  3. Budaya pengawetan dan romantisan
  4. Ekonomi pasaran neoliberal
  5. Demokrasi yang diperaga dan diperbadankan

Usai ucaptama beliau, simposium itu seolah-olah dikuasai tema Islam dan Islamis dari pagi sampai ke petang. Zikri Rahman dari Buku Jalanan cuba melontarkan persoalan-persoalan di luar lingkungan tersebut namun tidak mencetuskan ghairah pada ahli panel lain mahupun hadirin. Begitu juga kehadiran Yuva dari Sosialis Alternatif kurang memancing perhatian hadirin.

Saya kira lebih banyak manfaatnya menekuni sendiri kertas-kertas kerja yang dibentangkan daripada saya menjejerkan butir-butir peristiwa yang terjadi pada hari kejadian. Saya lebih berminat pada Alif Lam Lam Ha, karya kru UTAM sendiri.

Ada Apa dengan Alif Lam Lam Ha?

Pertama, ini bukan buku cerpen ataupun esei. Boleh jadi ia merangkumi kedua-duanya, seperti membaca Balai Maqamat yang memerlukan mod bacaan baru. Mungkin juga ada beberapa tulisan yang boleh dikatakan espen (esei-cerpen) yang dilontarkan oleh Mohd. Affandi Hassan.

Satu kepastian, cerita mahupun esei yang dikumpulkan dalam Alif Lam Lam Ha bernada falsafi dan mengajak pembacanya berfikir. Kalau kita ingin mengetahui apa yang diresahkan anak muda pada 2014, buku ini perlu dibaca.

Memperkatakan kiprah UTAM mengingatkan saya betapa pesimisnya Fathi Aris Omar terhadap gerakan anak muda dalam Patah Balek. Ironinya tulisan-tulisan berkenaan dikelompokkan dalam bab Cinta Anak Muda.

Ketika mengatakan anak muda tidak mungkin berwacana, yang cuba disentuh ialah sikap bermajlisan atau formalistik — turut disentuh Dr. Azhar dalam hal beragama — dalam menggerakkan wacana. Menurutnya, wacana bermula dengan pengamatan, perenungan dan peresahan sebelum dituang ke medium-medium lain, baik di bilik empat segi, meja-meja warung mahupun tulisan dan ucapan.

Rasa untuk tidak sanggup menampung keresahan batin lebih lama. Lalu, kita pun bertemu, berdiskusi, berdebat dan berwacana. Idea akan sangat rancak tingkah-meningkah, seolah-olah kerinduan lama yang baru terubat. Dalamnya idea untuk seorang muda harus seperti dalamnya cinta.

Alif Lam Lam Ha secara halus menggetarkan keresahan-keresahan ini yang banyak berakar pada isu-isu semasa dan politik tanah air. Misalnya cerpen-cerpen Adilla, peminat Faisal Tehrani yang masih beraqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, sangat kuat rujukannya pada suasana politik Malaysia.

Beberapa tulisan pula lebih terus terang dengan dilema peribadi masing-masing, seperti Ini Dunia Melayu, Ini Dunia Cina tulisan Ooi Kok Hin; Intelektualisme dan Anak Muda catatan Hazman Baharom; dan Sebuah Perjalanan karya Shuhaib R-Rumy. Kemuncak daripada keresahan yang rencam ini saya kira disimpul elok dalam tulisan Mesin Cetak, Alif, Lam, Lam, Ha. Ha Ha Ha. Esei yang dimulakan dan ditutup dengan bercanda, namun isinya menyinggung persoalan penting lagi kontroversi berlatar isu penggunaan nama Allah dalam media cetak.

Apa yang lebih penting, hakikat sesuatu sudah semakin kabur sehingga kita tidak mengenal yang manakah tanda, manakah pula makna. Hal ini sudah merentas pelbagai lapangan kehidupan kita dalam dunia yang dikatakan ‘moden’ dan menuju ‘pasca moden’. Di manakah Malaysia, atau lebih khusus anak muda, dalam dunia yang semakin rencam akan datang?

Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM) sekurang-kurangnya telah meletakkan titik dalam garis sejarah yang masih berjalan ini.

Alif lam lam ha Book Cover Alif lam lam ha
Kru Universitas Terbuka Anak Muda
Dubook Press
2014
182

Posted

in

by

Comments

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.