- Iakah Malapetaka Iklim? – 21/01/2024
- Buku dan Debu Kehidupan Kota Kaherah – 06/09/2023
- Beberapa Ingatan daripada Penat – 24/01/2023
Membicarakan seseorang tokoh adalah sesuatu yang sukar, terutamanya tokoh berkenaan masih lagi hidup. Rupanya membicarakan allahyarham Tan Sri Asri Muda juga ada kesukaran tersendiri, untuk mengesahkan atau menidakkan persepsi pelbagai pihak terhadap allahyarham.
Sabtu lalu (31/1/2015) Akademi Politik Budiman menganjurkan seminar bukan sekadar untuk mengenangnya, tetapi untuk mendalami strategi-strategi politik, penulisan mahupun peribadi beliau. Tiga pembentang pada seminar berkenaan ialah Dr. Kamarul Zaman Yusoff, Puan Ratna Inzah Mohd Asri (salah seorang anaknya) dan Dr. Mustafa Ahmad.
Sekurang-kurangnya kita mendapat manfaat daripada kaca mata akademik, anak negeri (Dr. Kamarul dan Dr. Mustafa asal Kelantan) dan keluarganya sendiri.
Penulis, sebelum ahli politik
Walaupun tidak pernah hidup pada zamannya, saya berkesempatan membaca memoirnya Memoir Politik Asri: Meniti Arus terbitan Penerbit UKM. Buku yang beliau tulis sewaktu menjadi karyawan tamu di UKM, dan dalam prakata (tidak ingat siapa yang menulis setepatnya) ada diceritakan penglibatan beliau dalam kegiatan bahasa dan penulisan sebelum aktif dalam bidang siasah.
Inilah kekuatan yang jarang kita dapati pada ahli politik masa kini berbanding generasi terdahulu mereka. Ahmad Boestamam, Dr. Burhanuddin Al-Helmi, Dr. Zulkifli Muhammad, Dato’ Asri Muda (beliau sinonim dengan gelar ini, kerana antara pimpinan PAS pertama yang bergelar) dan Tun Syed Nasir semuanya berkait dengan dunia persuratan dan bahasa Melayu, baik sebagai penulis atau orator.
Maka pada tokoh yang dibicarakan ini terhimpun dua kekuatan, kekuatan penulisan dan pengucapan yang memikat kawan dan lawan.
Walaupun kekurangan catatan rasmi sewaktu beliau aktif dalam PAS melainkan ucapan-ucapan dasar sewaktu muktamar (waktu itu dipanggil kongres), Dr. Kamarul Zaman berjaya menarik perhatian hadirin dengan analisis terhadap kertas kerja sulit bertajuk Khittah Perjuangan Kita. Dari satu sisi analisis beliau bertumpu kepada kaedah yang diambil oleh TS Asri Muda dan PAS menyuarakan dan mengkomunikasikan mesej-mesej yang didokong PAS.
Dr. Kamarul Zaman bukan sekadar menostalgiakan sejarah, bahkan sewaktu slot soal jawab beliau turut menyentuh isu-isu semasa seperti tahaluf siyasi. Menurut beliau dokumen yang disediakan oleh Majlis Syura Ulama’ (MSU) ini perlu disebarkan ke akar umbi untuk dibincangkan, seterusnya dinilai kesesuaiannya.
Sekiranya ada perkara yang berbangkit, beliau mengusulkan agar muktamar khas diadakan bagi membincangkan dokumen penting ini. Sebelum wujudnya MSU, muktamar khas diadakan bagi membincangkan kemasukan PAS ke dalam Perikatan seperti dinukilkan allahyarham dalam memoirnya.
Pendidikan Politik bukan Propaganda
Uniknya panggung dibuka dengan ucap utama oleh Dato’ Mustapha Ali, antara beberapa tokoh yang sempat bekerja bersama TS Asri Muda. Ada beberapa perkara yang cuba diterangkan oleh beliau menyentuh tahun-tahun krisis 1981 membawa ke kongres 1982 di mana TS Asri menulis surat ‘menyerahkan kedudukannya kepada kongres’ pada ketika itu.
Kehadiran beliau ke seminar ini disalah tafsir sebagai satu usaha menggalakkan kerjasama PAS-UMNO, khabar yang agak kencang bertiup pada ketika ini. Saya kira kebijakan siasah Tan Sri Asri Muda tidak cukup diingati hanya pada penggabungan dua parti Melayu ini semata-mata. Penggabungan ini setidak-tidaknya menjadi model bagi PAS sendiri untuk mengusahakan kerjasama politik pada era sesudah beliau.
Antara yang disebut-sebut sewaktu seminar ini ialah sifat kebapaannya terhadap pimpinan muda. Kita yang hidup pada era Internet menyaksikan ramai pemuda yang bersuara dan aktif dalam pelbagai lapangan masyarakat. Namun kita ketandusan pemimpin yang bersifat bapa yang bukan sahaja menaungi, malah menjadi ‘coach’ agar golongan muda pergi lebih jauh.
Satu hal yang patut direnungi ialah apakah hala tuju program pendidikan politik yang kini digiatkan oleh pelbagai parti politik. Kegiatan ini boleh dijadikan ruang dialog terbuka merentas kelompok dan berguna sebagai maklum balas kepada parti. Namun saya mengira adalah lebih penting pendidikan politik ini dijalankan dalam bentuk ‘internalisasi’ nilai.
Nilai seperti mencintai ilmu dan kebenaran serta keterbukaan perlu diamalkan bukan sekadar dipropagandakan. Datuk Dr. Muhammad Abu Bakar dalam sesi wacana GATERA pernah membangkitkan bahawa wacana-wacana masa kini hanya menjadi tumpuan kelompok tertentu, tanpa penglibatan dan interaksi daripada kelompok berbeza.
Ditambah dengan beban sejarah yang digalas pimpinan politik, tanpa nilai yang betul pimpinan muda masa kini mungkin tidak dapat pergi jauh.
Leave a Reply