Memilih Untuk Menjadi Intelektual

Representations of the Intellectual Book Cover Representations of the Intellectual
Edward W. Said
Literary Collections
Vintage
1996
121

Six lectures discuss what it means to be an intellectual and the role of intellectuals in society

Ketika baru menginjak ke Tingkatan 5, sudah ada teman-teman yang rancak berbual isu-isu semasa. Berkat ajaran guru-guru kami, supaya kami yang muda lekas bersikap walaupun baru mahu kenal dunia di luar lingkungan sekolah.

Sesudah berjinak-jinak dengan pesta buku di ibu kota, saya mula kenal istilah intelektual lewat tulisan Prof. Syed Hussein Alatas, Intelektual Masyarakat Membangun, dan karya Raja Ahmad Aminullah, Minda Tertawan: Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa. Namun ia bukannya perjalanan yang mudah, saya ditimpa Edward Said, Edward Shil, Julien Benda serta Antonio Gramsci. Segalanya asing buat anak muda setahun jagung.

Antara dua buku awal ini, tulisan Prof. Syed Hussein Alatas lebih membekas. Beliau melihat intelektual daripada kaca mata sosiologi, bagaimana individu dan kelompok intelektual ini sepatutnya berfungsi dengan contoh-contoh nyata. Pada masa yang sama, beliau mengutarakan fenomena anti-intelektual yang dinamakan sebagai bebalisme yang berterusan membiarkan masyarakat terus berada dalam budaya pembodohan.

Walaupun belum sempat menelaah karya penting Edward Said seperti Orientalism, akhirnya Allah memberi peluang membaca Representations of the Intellectual ketika sedang menghitung hari keberadaan di bumi Inggeris ini.

Maksud Baik Kita untuk Siapa?

Raja Ahmad Aminullah dalam kumpulan eseinya turut berusaha meletakkan ciri-ciri tertentu kepada individu dan kelompok intelektual ini, namun terlalu bergantung kepada definisi yang diletakkan oleh tokoh-tokoh Barat tadi.

 Pada masa yang sama, Edward Said memulakan syarahan ini (Reith Lecture 1993) dengan definisi yang diletakkan oleh Benda dan Gramsci dan menyimpulkan bahawa ciri-ciri intelektual organik Gramsci semakin mendapat tempat pada zaman moden ini. Menurutnya, sesiapa sahaja yang terlibat langsung dalam bidang penghasilan dan penyebaran ilmu termasuk dalam kategori intelektual organik tersebut.

Intelektual meliputi kerjaya wartawan membawa kepada ahli akademik di universiti dan penggubal dasar di parlimen. Masalah kelompok besar ini, peranan mereka boleh disempitkan sekadar kerjaya untuk mencari makan. Beliau juga sedar bahawa pandangan-pandangan ini lahir daripada latar Eropah tanpa mengambil kira pelbagai latar ketamadunan lain, justeru membawa beberapa contoh yang terkandung dalam bidang kesusasteraan.

Dalam siri syarahan pertama yang bertajuk Representations of the Intellectual ini, Edward Said meletakkan bahawa seorang intelektual dengan keupayaan untuk  mewakili sesuatu idea yang diyakini nuraninya, perlu mengambil sikap demikian dan istiqamah dengan nilai-nilai kebebasan dan keadilan untuk semua insan. Intelektual sewajarnya mewakili mustadh’afeen — yang terpinggir dan tertindas — dan mempunyai keberanian melawan pandangan dogmatik dengan pertanyaan-pertanyaan yang kritikal. Memetik kata-katanya:

The intellectual’s representations, his or her articulations of a cause or idea to society, are not meant primarily to fortify ego or celebrate status. Nor are they principally intended for service  within powerful bureaucracies and generous employers. Intellectual representations are the activity itself, dependent on a kind of consciousness that is skeptical, engaged, unremittingly devoted to rational investigation and moral judgement; and this puts the individual on record and on the line. Knowing how to use language well and knowing when to intervene in language are two essential features of intellectual action.

Memilih untuk Setia dengan Kebenaran

Menyedari peri penting untuk memilih sikap, pilihan untuk menjadi seorang intelektual seperti mana yang dikehendaki Edward Said membawa kepada dilema-dilema besar. Apakah memilih menjadi intelektual bermaksud perlu menjadi aktivis yang sentiasa turun ke jalanan dan bertindak langsung?

Beliau menjawab dengan teratur dilema-dilema ini dalam siri syarahan berikutnya seperti Holding Nations and Traditions at Bay dan Professionals and Amateurs. Sudah tentu cabaran utama bagi beliau dan seangkatannya ialah terus menyuarakan kebenaran walaupun masih lagi berkhidmat dalam institusi tertentu yang punyai kepentingan tersendiri.

Misalnya dalam syarahan Holding Nations and Traditions at Bay, beliau menegaskan perlunya sikap konsisten dalam menentang kezaliman yang dilakukan baik oleh musuh mahupun negara kita sendiri. Beliau turut menegur mereka yang memilih jalan selamat terutamanya dalam kalangan ahli akademik, menurutnya sikap inilah yang bakal mematikan keinginan intelektual seseorang. Menyuarakan kebenaran kepada kekuasaan bagi Edward Said, ialah menimbangkan pelbagai alternatif yang wujud, memilih alternatif terbaik untuk memberi kesan yang membawa kepada perubahan positif.

Sebagai khatimah, beliau memilih tajuk Gods That Always Fail yang menimbulkan tanda tanya. Walaupun mengakui menulis dari sudut pandang seorang intelektual sekular, ‘Tuhan-tuhan’ yang dimaksudkan di sini ialah kiasan kepada penguasa yang menjadi tempat sesetengah intelektual ini carma. Apabila berganti dengan penguasa yang baru maka intelektual ini akan mengikut rentak dan arahan sesuai dengan ‘tuhan baru’ mereka.

Edward Said memilih pendekatan yang keras, beliau tidak pernah menyertai mana-mana parti politik mahupun terlibat dalam mana-mana jawatan kerajaan sebagai tanda solidariti bersama perjuangan Palestin dari kejauhan Amerika. Pilihan yang menurut beliau, tetap setia dengan kebenaran daripada bersama ‘tuhan-tuhan’ yang sentiasa gagal.

Muhammad Fakhruddin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.