Mengapa Ali Shariati?

What Is To Be Done (The Enlightened Thinkers and an Islamic Renaissance) Book Cover What Is To Be Done (The Enlightened Thinkers and an Islamic Renaissance)
Ali Shariati
Institute for Research and Islamic Studies
1983
180

Menyebut hal aktivisme, kita tidak akan lari dari memperkatakan sosok Dr. Ali Shariati. Lebih tepat, ramai yang merujuk kajiannya mengenai peranan intelektual dalam masyarakat seperti mana kajian oleh Edward Said dan allahyarham Dr. Syed Hussein Alatas. Ada juga tokoh-tokoh Barat yang turut membahaskan mauduk yang sama seperti Antonio Gramsci yang terkenal dengan nota-nota dari penjaranya.

Kajian ini penting dalam konteks masyarakat yang pernah dijajah, kerana banyak perkembangan dunia akademik masa kini terikut-ikut dengan standard Barat. Apa pula yang istimewa mengenai idea-idea Ali Shariati? Sekali imbas, idea yang beliau bawa banyak dipengaruhi oleh latihan pendidikannya dalam bidang sosiologi dan juga keluarganya.

Ayah beliau, Muhammad Taghi Shariati ialah seorang mullah sebelum menjadi guru sekolah. Tulisan-tulisan beliau tidak lari daripada pengaruh Syiah seperti pemerihalan sahabat-sahabat Nabi sallahu ‘alaihi wasallam tertentu, seperti Saidina Ali, Ammar bin Yasir dan Abu Zar.

Pelan Tindakan Husayniah

Buku ini mengumpulkan tiga ucapan yang diterjemah, dikumpul dalam bentuk esei, iaitu:

  • Where Shall We Begin;
  • What Is To Be Done; dan
  • Surah Al-Rum: Message to Enlightened Thinkers.

Esei “Where Shall We Begin” meletakkan asas perbincangan mengenai siapakah raushanfekr berbanding intelektual secara umum. Hal ini persis perbezaan yang diletakkan oleh Dr. Syed Hussein Alatas antara golongan intelektual dan inteligensia, yang mana golongan kedua lebih berfungsi sebagai pengguna ilmu yang tidak menyumbang kepada usaha pembaikan (islah) keadaan masyarakat.

Di samping itu, beliau juga mempunyai persamaan dalam hal menekankan kepentingan mengenal pasti punca sebenar sesuatu masalah. Justeru beliau menukar soalan “Where shall we begin?” kepada “Where shall we begin in our society?”

Berbicara soal islah sangat akrab dengan hal tajdid dan tokoh yang terlibat, seperti hadith terkenal mengenai kewujudan mujaddid bagi setiap abad. Menurut Ali Shariati, seorang raushanfekr seharusnya memanfaatkan potensi agama bagi membaiki keadaan sesuatu masyarakat. Tambahnya, 6 tugas utama sekumpulan raushanfekr ini ialah:

  1. Memanfaatkan sumber-sumber dalam masyarakat;
  2. Menyebarkan kesedaran menggunakan pelbagai cara seperti kesenian, kesusasteraan, pengucapan dan lain-lain;
  3. Merapat renggang antara ‘pulau-pulau’ raushanfekr dengan ‘pantai’ masyarakat massa;
  4. Memanfaatkan agama untuk mengupayakan massa, bukan untuk mengkayakan kelompok tertentu;
  5. Projek pencerahan agama, dengan mengembalikan agama kepada keaslian; dan
  6. Menggalakkan sikap dan pemikiran kritikal sambil membuang sikap taklid buta.

Dalam hal seperti projek pencerahan dan pemikiran kritikal turut dikongsi oleh banyak tokoh-tokoh lain yang dikenal sebagai kaum muda dalam kalangan masyarakat Islam Nusantara. Saya lebih senang menggunakan istilah ‘pemikiran kritikal’ berbanding ‘ijtihad’ memandangkan istilah kedua punya konotasi agama serta mudah menimbulkan salah faham dalam beberapa situasi.

Dalam seruan bersikap kritikal, beliau tetap menyeru supaya kita menguasai ilmu-ilmu tradisi berbanding sesetengah kalangan masa kini yang mengambil jalan kritikal untuk kononnya lepas dari kongkongan tradisi. Menurutnya, kesedaran dan perubahan mesti bermula dari akar agama, iaitu Islam. Hal ini disebabkan perbezaan kebudayaan Islam dan kebudayaan agama-agama lain dari sudut keadilan dan kepimpinan.

Turut disentuh cabaran-cabaran dalaman bagi golongan raushanfekr ini, antaranya yang datang dari golongan pseudo-intelektual dan juga golongan pseudo-ulama. Dalam esei-esei berikutnya lebih banyak disentuh pelan-pelan praktikal yang ingin beliau laksanakan, antaranya menubuhkan kumpulan kajian (think tank group) beserta perpustakaan bergerak. Walaupun beliau seorang Syiah, beliau tetap menghormati beberapa tokoh Sunni antaranya Iqbal yang telah menyumbang kepada kekayaan khazanah intelektual ummah.

Dalam satu dokumentari mengenai tokoh ini, diperlihatkan ketajaman pidato dan pemikiran beliau hingga memikat ramai anak muda untuk mendengar pidato dan membaca tulisannya. Tidak hairan hingga kini Ali Shariati masih lagi menjadi rujukan khususnya bagi mereka yang bergelar aktivis.

Muhammad Fakhruddin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.