Menonton Sinema Spiritual di Aidilfitri

Sinema spiritual Book Cover Sinema spiritual
Faisal Tehrani
Film criticism
Unit Buku Harakah
2012
144

Film criticism from Islamic perspectives; collected articles.

Apabila kita menonton sebuah filem atau drama, sebenarnya kita sedang membaca. Justeru esei-esei seputar filem dan budaya dalam Sinema Spiritual ini boleh ‘ditonton’, dalam erti kata ia membaca teks dan subteks yang terkandung dalam filem-filem yang beliau kupas sekitar 2008-2010.

Aidilfitri dalam dekad mutakhir ini pula sinonim dengan telemovie dan ulang tayang filem-filem Malaysia di kaca televisyen. Sinema Spiritual mengajak kita agar menjadi penonton yang celik lagi cerdik, bahkan besar harapannya agar gagasan Islam tsaqafi ini disambut seniman dan karyawan kelak.

Perihal apakah teks dan subteks turut beliau sentuh pada menghuraikan teater beliau sendiri Kopitiam Ghadir. Tidak sukar untuk mencari titik mula dan asas gagasan Islam tsaqafi ini yang disusun cantik pada kata pendahuluan Faisal Tehrani dan lima esei pertama dalam buku ini. Filem yang baik menurut coretan beliau dalam Nota awal Sinema Spiritual:

  1. Punya kekuatan naratif yang berpaksikan tauhid.
  2. Skrip yang mendorong renungan dan berupaya menjana keilmuan, lantas menolak ghaflah atau kelalaian.

Barang diingat filem yang beliau ulas tidak hanya berkitar filem tempatan, malahan menyinggung filem blockbuster Avatar (2009). Selain produk seni Hollywood dan Iran, turut dikupas filem bersangkut Yahudi, Israel dan sudah tentunya Palestina. Kebanyakan filem yang beliau sentuh banyak bersifat politik, dan tidak kurang juga yang masuk ke daerah agama.

Kritik Keras Kepada Filem Tempatan

Kumpulan esei ini menyerlahkan daya kepengarangan Faisal Tehrani, esei yang saya kira ringkas tetapi membawa mesej padu, seumpama ‘teriak‘ kepada seniman dan karyawan tempatan. Antara yang menjadi sasaran Gubra (2006), Anak (2008) dan Budak Kelantan (2008).

Persamaan ketiga-tiga filem ini ialah pada memenangkan maksiat atas makruf, satu propaganda yang senyap-senyap ditanam dalam kepala kita sebagai penonton. Propaganda yang akhirnya diterjemah ke dalam masyarakat dalam bentuk gejala sosial yang berleluasa kala ini.

Satu ingatan sebagai pembaca, esei ini ditulis lima tahun lalu dan mungkin pengarangnya mempunyai sikap yang berbeza pada beberapa isu yang dikupas dalam kumpulan esei ini. Dalam kerasnya retorik beliau terhadap karya-karya tempatan, terselit filem Pensil (2008) yang dipuji atas cubaan membawa tema ‘profetik’ dengan lakonan watak yang baik dan menarik.

Mungkin, suatu yang patut kita renungi di saat menonton drama dan filem di Aidilfitri ini, ialah kesimpulan beliau dalam mengulas filem Yahudi Hofshat Kaits (2007) :

Mengapa tidak pembikin filem Islam menggali makna al-Quran (kanun kita dari langit) dan mempersembahkannya kembali sebagai interteksualiti dalam filem mereka? Mengapa pembikin filem Islam membuang masa mengarang dan mengarah filem mengenai sekumpulan anak-anak sekolah gila berhibur disulam jenaka sia-sia? Mengapa pembikin filem kita masih terperangkap merakam realiti yang hanyir dan kotor sehingga membuatkan kita jengkel. Mengapa mereka tidak boleh menjadi “pandai” walaupun sekali?

Muhammad Fakhruddin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.