• Beberapa Ingatan daripada Penat

    PENAT: Bagaimana Mengurus Emosi, Tenaga & Tekanan Dalam Menempuhi Alam Dewasa Book Cover PENAT: Bagaimana Mengurus Emosi, Tenaga & Tekanan Dalam Menempuhi Alam Dewasa
    Dr. Alizi Alias
    Self-Help
    IMAN Publication Sdn Bhd
    2022
    204

    Rasa macam baru semalam hari Jumaat, esok dah Isnin, kena masuk kerja semula. Sekali lagi perlu menempuh minggu yang panjang. Rupanya menjadi dewasa tidak mudah. Penat, emosi kacau dan adakalanya rasa hilang arah. Tenggelam dalam rutin harian sehingga kita sendiri tidak tahu, apakah makna semuanya lagi. 

    Menjadi dewasa ada kalanya menjadikan kita terlupa cara untuk bahagia

    (Penat, muka surat 24)

    Sejak 2020 hingga kini, dunia masih lagi sedang menyembuh daripada pandemik COVID-19. Banyak cabaran yang kita tempuhi dalam tempoh itu, hinggakan kita berasa tiga tahun tersebut umpama episod kehidupan yang ‘hilang’ daripada kita. Tidak lupa juga kepada saudara-mara dan sahabat handai yang telah mendahului kita ke alam baqa’, al-Fatihah.

    Dalam tempoh yang sama juga, saya tidak terlepas daripada mengalami roller coaster tersendiri. Cukuplah untuk saya coretkan di sini bahawa dari hari ke hari, saya semakin sukar fokus untuk membaca apatah lagi menyudahkan draf-draf pos untuk blog ini.

    Penulis buku Penat, Dr. Alizi Alias cuba membawa pembaca untuk memahami keadaan languishing atau lesu. Kelesuan ini merujuk kepada keadaan mental yang tidak sihat, tetapi tidak mempunyai penyakit mental. Keadaan ini sering kali disamakan dengan kemurungan.

    Beberapa tanda kelesuan ini seperti:

    • rasa tidak bermotivasi lebih daripada kebiasaan;
    • sukar memberik fokus kepada tugasan tertentu;
    • rasa sangat penat walaupun tidak melakukan kerja berat; dan
    • hilang minat terhadap sesuatu yang digemari sebelum ini.

    Penat mengetengahkan beberapa perkara yang nampak biasa, tetapi signifikan dalam menghadapi kelesuan emosi ini.

    1. Emosi negatif perlu diraikan dan diuruskan dengan sebaiknya. Berlebihan atau membiarkan diri dalam emosi negatif terlalu lama akan menjadikan diri kita kemurungan, pemarah atau pendendam.
    2. Membaiki elemen Positive emotion, Engagement, Relationship, Meaning dan Acomplishment (PERMA) dalam kehidupan seharian kita.
    3. Celebrate small successes. The process is equally, if not more important than the outcome itself.

    Tiga perkara utama yang saya catatkan boleh dirumuskan sebagai membina kesyukuran dalam diri kita. Dalam kesibukan kita memenuhi KPI pekerjaan mahupun harapan orang tersayang, wujudkan rasa syukur atas nikmat kesihatan, nikmat rezeki, nikmat ahli keluarga dan rakan-rakan yang mendukung kita.

    Semoga kita tidak berputus asa dan terus mekar dalam kehidupan masing-masing.

  • Merenung Seni Berfikir yang Hilang #SBYH

    Seni Berfikir Yang Hilang Book Cover Seni Berfikir Yang Hilang
    Hasrizal Abdul Jamil
    Philosophy
    Iman Publication Sdn Bhd
    20/01/2020
    252

    Mungkin telah sampai masa untuk kita berpatah balik selangkah ke belakang dalam melihat semua isu ini. Mengapakah ia mencetuskan pelbagai konflik? 

    Sebagai ‘pengikut’ tulisan-tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil di blog mahupun karya-karyanya yang terdahulu, topik-topik yang disentuh dalam buku Seni Berfikir yang Hilang pada tahun 2020 bukanlah sesuatu yang terlalu asing buat saya secara peribadi.

    Adakalanya seolah-olah mengimbau beberapa kuliah beliau yang sempat diikuti, terutamanya di Khalifah Model School Ampang.

    Apa yang cuba disampaikan oleh penulis kepada pembaca adalah beberapa huraian beliau mengenai kitab kecil yang dikarang oleh Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi bertajuk Thaqafah Al-Da’iyah. Karya ini boleh dikatakan kurang menjadi perhatian dalam konteks masyarakat Malaysia. Namun begitu, masih terdapat penerbit yang telah menterjemahkan kitab ini ke bahasa Melayu dengan judul Tazkirah Para Pendakwah, yang pada hematnya kurang menjelaskan makna thaqafah dalam judul asalnya.

    Agama merupakan salah satu inti kepada masyarakat kita, terutamanya bangsa Melayu. Persoalan-persoalan kehidupan baik dari sudut kebersihan, makan minum, jual beli, bahkan prosedur perubatan masa kini tidak pernah lari dari perbahasan agama yang kuat. Halal atau haram, patuh syariah atau tidak.

    ‘Seni Berfikir’ atau ‘Berfikir’ yang hilang?

    Dari satu sudut pandangan, hal ini menunjukkan peningkatan kesedaran beragama dalam masyarakat. Alhamdulillah.

    Namun dengan derasnya perbahasan isu-isu tersebut dalam medan maya, isu dan komentar tersebut hanya diabadikan sebagai salah satu jejak dalam arkib Internet. Tiada dorongan untuk mengubah cara fikir atau cara kerja kita sebagai orang yang mengaku kuat berpegang dengan agama. 

    (more…)
  • Dilema Pembangunan dalam Sains untuk Manusia

    SAINS UNTUK MANUSIA
    Dzulkifli Abdul Razak
    IIUM Press & Majalah Sains
    2020
    154

    Dalam sejarah pembangunan negara, pelbagai idea dan wacana pembangunan telah dirancang dan diterapkan dengan matlamat untuk melonjakkan taraf kehidupan rakyat dan kesejahteraan negara. Sebagai contoh, strategi pembangunan luar bandar menerusi kegiatan pertanian komoditi masih relevan dengan potensi geografi dan demografi beberapa negeri di Malaysia.

    Beberapa perancangan pembangunan jangka panjang telah dirangka bagi mencapai hasrat tersebut seperti Wawasan 2020 yang digagaskan oleh YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad. Wawasan tersebut meletakkan sembilan cabaran strategik yang perlu ditangani sebelum Malaysia mencapai negara yang maju, salah satunya adalah:

    mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan.

    Sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik, secara ringkasnya STEM menjadi salah satu mangkin utama dalam pembangunan negara. Pelbagai dasar dan usaha digembleng bagi mencapai hasrat Cabaran Keenam Wawasan 2020 tersebut. Mengambil sudut pandang seorang pendidik dan pemimpin institusi pendidikan, Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Dzulkifli Abdul Razak mengupas perubahan wacana dan hala tuju STEM semasa dalam himpunan tulisannya yang diterbitkan sebagai Sains untuk Manusia, terbitan Bersama IIUM Press dan MajalahSains.Com.

    Memilih IR4.0 atau Agenda Kemampanan?

    Seiring dengan perubahan zaman, salah satu gagasan yang kerap menjadi tumpuan dan perhatian baik penggubal dasar mahupun pendidik adalah Revolusi Industri Keempat (IR4.0). IR4.0 merupakan tema utama yang menjadi perbahasan sewaktu persidangan World Economic Forum pada tahun 2016.

    (more…)