• John Adair Menyingkap Kepimpinan Rasulullah

    KEPEMIMPINAN MUHAMMAD Book Cover KEPEMIMPINAN MUHAMMAD
    John Adair
    ITBM
    2014
    132

    Tidak sedikit yang menulis dan meneliti pelbagai aspek kehidupan baginda Rasulullah, Muhammad S.A.W. Antara karya yang dikenali mengungkap tentang keperibadian baginda adalah karya Michael H. Hart yang meletakkan Rasulullah S.A.W sebagai orang yang paling berpengaruh dalam sejarah kemanusiaan.

    John Adair mungkin agak jarang dikenali berbanding sifu dan guru kepimpinan (leadership) barat yang lain. Beliau memperkenalkan model kepimpinan yang mudah namun amat berkesan, iaitu Action-Centered Leadership. Secara ringkasnya, model ini menekankan fungsi pemimpin untuk memastikan (1) sesebuah kumpulan itu berupaya menyelesaikan tugasan; (2) mengekalkan semangat kekitaan dalam sebuah kumpulan; dan (3) menguruskan keperluan individu dalam kumpulan tersebut seperti rumusan gambar rajah di bawah.

    Sumber foto

    Justeru itu, beliau menulis kepimpinan Rasulullah S.A.W tidak mengikut tempoh masa atau secara kronologi, sebaliknya memilih peristiwa-peristiwa signifikan seperti masa kecil Rasulullah S.A.W yang dibesarkan dalam kalangan masyarakat Badwi dan pekerjaan awal baginda S.A.W sebagai seorang gembala. Diturunkan beberapa isi penting daripada karangan John Adair ini:

    1. Adat keluarga kaum Quraisy memberikan anak mereka kepada keluarga angkat Badwi bagi mengupayakan bakal pemimpin dan ketua kaum ini untuk memahami budaya dan kebiasaan rakyat biasa. Hal ini melahirkan pemimpin yang memahami pelbagai keperluan individu dalam kumpulan yang dipimpin olehnya;
    2. Pemimpin yang baik berperanan seumpama gembala yang memastikan kawanannya sentiasa bergerak bersama dan mendapat keperluan yang mencukupi. Gembala perlu berfungsi untuk memastikan ‘perpaduan’ sesebuah kumpulan. Allah juga telah mentakdirkan bahawa para nabi terdahulu seperti Nabi Musa A.S pernah menjadi gembala;
    3. Menjadi pemimpin memerlukan pertimbangan dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan, seperti para ketua kaum Quraisy yang bermesyuarat dalam majlis untuk memutuskan urusan dan pembahagian tugasan antara kaum di Makkah;
    4. Rasulullah S.A.W dikenali sebagai seorang yang amanah dan dipercayai dalam kalangan pedagang Makkah. Integriti dan amanah merupakan kunci kepercayaan yang mengikat dalam segala bentuk perhubungan manusia, sama ada hubungan peribadi mahupun secara profesional;
    5. Pemimpin yang rendah diri sedar akan keterbatasan diri mereka dan sentiasa bersedia mendengar nasihat. Sifat rendah diri juga membentuk peribadi yang sederhana dan berhikmah turut diikuti para sahabat seperti Saidina Umar, yang terbukti berkesan membentuk bangsa Arab pasca kewafatan Rasulullah S.A.W.

    John Adair sendiri bukanlah seorang yang asing dengan tanah Arab, bahkan beliau pernah berkhidmat sebagai tentera selama beberapa tahun di Mesir sebelum kembali di United Kingdom bagi menyambung pelajaran. Karya ini walaupun bukan dalam bentuk karangan sirah atau sejarah yang biasa kita tekuni, memberikan kesimpulan dan rumus pelajaran kepimpinan yang dapat kita teladani dari sebaik-baik manusia, Muhammad S.A.W.

  • I, Khoo Kay Kim : Perjalanan Sejarawan

    I, KKK Book Cover I, KKK
    Kay Kim Khoo
    Historians
    Kala Publishers
    2017
    Paperback
    137

    Sejarah sebagai salah satu cabang sains sosial dan kemanusiaan, masih berdiri sebagai disiplin yang mempunyai kaedah pembuktian dan bersandarkan fakta. Sebaliknya, sebagai sejarawan yang dirakam atau merakam kenang-kenangan hidupnya, tidak dapat lari daripada paparan kecenderungan dan pandangan peribadi yang masih belum teruji secara ilmi.

    Memories comes in impressions, history in facts.

    Sumber foto: optionstheedge.com

    Prof. Khoo Kay Kim sendiri mengakui bahawa beliau membayangkan autobiografinya I, KKK ini disajikan dalam bentuk pelbagai gambar dan potret tempat-tempat beliau membesar dan mendewasa seperti rumah nenek yang menjadi tempat lahirnya di Kampar, Perak. Beliau memulakan autobiografi ini dengan pengkisahan susur galur keluarganya yang merupakan keluarga keturunan Peranakan-Hokkien, berdasarkan kisah-kisah nenek beliau.

    Hubungan yang rapat dengan nenek beliaulah yang menyemai minat awal terhadap sejarah.

    Penceritaan susur-galur keluarga beliau tidak terhad kepada mengenali who’s who dalam keluarganya, bahkan merakam latar sosioekonomi etnik Peranakan pada ketika itu. Mereka yang giat dalam bidang perniagaan ini tidak hanya tertumpu di Pulau Pinang, malah diaspora mereka mencapah sehingga ke Teluk Anson, Klang, Singapura, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.

    (more…)
  • Jejak-Jejak di Pantai Zaman: Visi Kemasyarakatan Pendeta Za’ba

    Jejak-jejak di Pantai Zaman Book Cover Jejak-jejak di Pantai Zaman
    Ungku A. Aziz
    UM Press
    2008

    Fenomena kemiskinan khususnya dalam kalangan orang Melayu sering diperkatakan ramai orang, namun sedikit yang cuba meneliti isu ini dengan lebih mendalam dan menawarkan penyelesaian yang tuntas. Betapa seriusnya isu kemiskinan ini sehingga agenda membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum menjadi salah satu strategi utama dalam Dasar Ekonomi Baru yang menjadi dasar kerajaan sejak tahun 1970.

    Kepentingan membicarakan perihal kemiskinan orang Melayu ini telah disedari oleh seorang guru dalam lingkungan akhir 20-an. Guru tersebut mula menghantar rencana ke akhbar The Malay Mail bertajuk The Poverty of the Malays yang disiarkan pada Disember 1923, diikuti dengan siri respon, balasan dan akhirnya rencana kesimpulan, iaitu The Salvation of the Malays daripada guru tersebut.

    Beberapa tahun kemudian, beliau menyiarkan semula rencana tersebut dalam bahasa Melayu dengan tajuk Kemiskinan Orang Melayu dan Jalan Keselamatan bagi Orang Melayu dalam akhbar Al-Ikhwan. Guru tersebut ialah Pendeta Za’ba, yang lebih dikenali dalam lapangan bahasa dan persuratan Melayu. Buku Jejak-Jejak di Pantai Zaman karya Prof. Diraja Ungku A. Aziz cuba mengetengahkan idea Pendeta Za’ba mengenai isu kemasyarakatan yang tidak dipedulikan sewaktu hayatnya.

    Permata yang Terpendam

    Pendeta Za’ba sedari muda merupakan pengarang yang kritikal dan mempunyai pandangan yang tajam. Penulisan awal beliau baik dalam akhbar berbahasa Melayu mahupun berbahasa Inggeris sangat kritikal terhadap dasar-dasar yang dilaksanakan oleh pentadbiran British ketika itu, terutamanya berkaitan dengan dasar pelajaran.

    (more…)