Buku dan Debu Kehidupan Kota Kaherah

Muhammad Fakhruddin
Latest posts by Muhammad Fakhruddin (see all)

Salah satu ‘fenomena’ sewaktu zaman persekolahan saya adalah fenomena novel/filem Ayat-Ayat Cinta, seterusnya Ketika Cinta Bertasbih karya Habiburrahman El Shirazy atau Kang Abik. Hangat dibahaskan dalam kalangan penggiat sastera sebagai fenomena novel cinta Islamik.

Dari sudut pandang lain, fenomena yang ‘dicipta’ daripada karya-karya Kang Abik ini sebenarnya memaparkan sisi kehidupan siswa siswi al-Azhar di Mesir. Ada watak pelajar yang mempunyai segala kecukupan untuk menyempurnakan pengajian hingga ke peringkat sarjana, ada watak yang perlu mendahului keperluan keluarga hingga terpaksa memanjangkan tempoh pengajian sambil bekerja keras sehari-hari.

Begitu juga memoir Aku, Buku & Kota Kaherah karya Ustaz Shahriman Jamalullayl yang menyingkap sedikit sebanyak realiti sebagai penuntut ilmu di al-Azhar. Keistimewaan memoir ini adalah kisah penulis ‘memburu’ buku-buku dari penjual di kaki jalan sehingga ke pameran utama, iaitu Ma’rad Kutub ala Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Titik mula ‘percintaan’ Ustaz Shahriman dengan buku adalah menerusi majalah Dewan Pelajar dan buku-buku cerita sewaktu sekolah rendah. Ramai pembaca yang serius, hatta yang berstatus penyelidik juga mengakui, buku-buku cerita yang bersifat ringan inilah yang menjadi bahan bacaan permulaan mereka.

Ilmu dan kematangan seterusnya akan memandu pembaca untuk mencari bahan bacaan yang lebih baik.

Tambah istimewa adalah persahabatan Ustaz Shahriman dengan teman sekuliah, Abdul Rahman yang mempunyai ‘kegilaan’ yang serupa sesuai dengan judul Aku, Buku & Kota Kaherah. Perburuan buku di kota Kaherah ini tidak terhad kepada cetakan buku yang nadir dan langka, bahkan edisi majalah tertentu juga boleh menjadi koleksi yang berharga. Apatah lagi yang berstatus diharamkan penerbitan dan penjualannya.

Latar Mesir di penghujung tahun 90-an tidak memungkinkan wujudnya pasaran maya seperti masa kini, dan buku-buku terpakai adalah salah satu alternatif yang mesra saku siswa pada ketika itu. Pada masa yang sama, wujud kelompok siswa yang menghidupkan penerbitan majalah mengikut rumah negeri. Jika ditelusuri perjalanan Kang Abik, beliau juga telah giat berkarya sejak pengajiannya di al-Azhar lagi.

Di samping perburuan buku dan penerbitan majalah, Ustaz Shahriman sempat menceritakan serba sedikit pengalaman bertalaqqi dengan ulama seperti Sheikh Dr. Ali Jumaah dan Syeikh Nuruddin al-Banjari. Bagi penulis, sesi talaqqi terutamanya bersama Syeikh Dr. Ali Jumaah adalah satu pengalaman intelektual yang tidak ternilai.

Ada beberapa sisi lain yang kurang kita hargai mengenai sejarah keilmuan kita sendiri. Misalnya, karya-karya Syeikh Idris al-Marbawi cetakan awal yang dijumpai penulis tidak terjaga dalam perpustakaan di sebuah kediaman pelajar di sana.

Pengkisahan memoir ini disusun dengan baik dan lancar, santai namun tegas menyampaikan pandangan penulis mengenai buku dan budaya ilmu.

AKU, BUKU & KOTA KAHERAH Book Cover AKU, BUKU & KOTA KAHERAH
SHAHRIMAN JAMALULLAYL
Travel
JT Books
01/02/2022
328

Comments

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.