Aku Kafir, Kau Siapa?

Muhammad Fakhruddin
Latest posts by Muhammad Fakhruddin (see all)

Membaca tajuknya sahaja sudah kita ketahui Ooi Kok Hin benar-benar ingin menyentuh soal identiti yang mendarah daging dalam persoalan harian kita.

Sayangnya persoalan identiti ini diungkap apabila timbul kepentingan tertentu di waktu tertentu, bukan dengan maksud mahu meraikan dan saling memahami seperti yang dituntut Al-Quran, li ta’arafu (Surah Hujurat 49: ayat 13).

Di samping beberapa anekdot peribadi dan satira pendek, beberapa rencana dalam Aku Kafir, Kau Siapa? (Jangan Jawab) menyentuh tentang isu pendidikan. Hanya beberapa tahun kebelakangan ini sahaja saya kira isu pendidikan mula disikapi melebihi bilangan pelajar cemerlang dalam peperiksaan awam, terima kasih kepada pendedahan masyarakat kita kepada data-data yang antarabangsa seperti tinjauan TIMSS, PISA dan kedudukan universiti sedunia.

Sikap dan pendirian kita dalam hal ini turut dicorakkan oleh latar pendidikan dan masyarakat masing-masing. Kebanyakan daripada kita menempuhi alam sekolah rendah di sekolah kebangsaan, sebelum memilih atau “dipilih oleh sistem” untuk ke sekolah menengah yang pelbagai. Ada yang kekal di sekolah kebangsaan, ada yang ke sekolah elit (SBP, MRSM, sekolah premier), tak kurang juga yang memilih sekolah seperti sekolah vernakular (jenis kebangsaan) dan sekolah agama.

Lingkungan yang kita hadapi dalam usia pembentukan identiti ini akan kukuh, jarang sekali akan berubah pada peringkat usia seterusnya. Lingkungan inilah yang mempengaruhi sikap dan cara pandang kita, seperti kritik Fathi Aris Omar terhadap gerakan Islam yang disebutnya 3M (Melayu, Muslim, Malaysia).

Sebagai pelajar sains politik, hal yang sama juga cuba ditinjau Kok Hin dari perspektif seorang Cina dan warga Malaysia. Yang berbeza, beliau menempuhi sekolah kebangsaan dari UPSR hingga SPM, sebelum berpeluang menuntut ilmu ke US sebagai pemegang biasiswa.

Untuk itu, anekdot-anekdot peribadinya yang ditulis sebagai “Riwayat” dijadikan mukadimah bagi setiap bahagian. Bahagian yang dinamakan sebagai “Kemelut Pendidikan”, “Agama dan Kebebasan” serta “Politik” itu saya kira dibuat secara longgar. Ini bukanlah kelemahan yang ketara memandangkan buku inipun sekadar menghimpunkan rencana dan cerita, sudah tentu ada perulangan di sini sana.

Pendidikan, Siapa Yang Masih Bicara Soal Pendidikan?

Ramai yang berminat mengenai soal pendidikan. Tetapi setakat manakah “minat” yang dimaksudkan? Adakah minat kita agar kita dan kaum keluarga mendapat deretan A untuk biasiswa dan sijil? Atau sekolah dan universiti kita dianugerahi peruntukan selayaknya dengan ranking yang dikejar?

Dalam membicarakan model sekolah yang diimpikan, Kok Hin masih menimbangkan cadangan dan keupayaan untuk melaksanakan sekolah satu aliran dalam konteks Malaysia. Saya sedar betapa model sekolah pelbagai aliran yang kita amalkan hingga kini akhirnya membawa kesan herotan, hatta universiti pun terpaksa ditubuhkan berdasarkan pengasingan kaum. Mengharapkan perubahan pada aspek ini, sungguh pun sukar, namun masih boleh diusahakan dalam lapangan lain menerusi inisiatif organisasi tertentu.

Kok Hin nampaknya lebih berminat pada soal mahasiswa dan bagaimana siswa melihat dirinya dan universiti. Sampai dua kali jugalah “Socrates” jumpa mahasiswa Malaysia. Tetapi persoalan mengenai mahasiswa ini tidak diujar panjang lebar melainkan pada rencana Mengasingkan Universiti daripada Politik Ibarat Memisahkan Pelajar daripada Masyarakat. Banyak yang disentuh berdasarkan isu-isu semasa mahasiswa dan sering pula secara sinis.

Untuk berlaku adil, Ooi Kok Hin merupakan kolumnis dalam beberapa portal dalam talian. Justeru, pandangannya yang lebih rinci dan serius boleh diakses secara percuma. Buku ini hanyalah rakaman awal daripada dunia penulis muda ini. Mungkin akan ada buku yang lebih serius, atau himpunan rencana sekali lagi dari Kok Hin.

Aku Kafir, Kau Siapa
Ooi Kok Hin
Dubook Press
2015
189

Posted

in

by

Comments

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.