Bahlut dan Boikot

Muhammad Fakhruddin
Latest posts by Muhammad Fakhruddin (see all)

Apabila membaca novel kepunyaan rakan saya ini, saya terkenang zaman mengenali Faisal Tehrani di sekolah dahulu. Ya, saling meminjam koleksi buku-buku beliau menerusi seorang rakan. Kalau ada karya beliau yang menghubungkan sarwa pandangnya yang terkini dengan tulisan-tulisan masa lalu, saya kira novel Bahlut ini ialah jambatannya.

Apa yang menarik, dan masih lagi menarik pembaca kepada Faisal Tehrani? Pada saya, mungkin pada gaya kepengarangannya. Susunan kata-katanya bukan semata-mata untuk menghibur, tetapi untuk mendidik pembaca dengan pelbagai isu dan mengambil pendirian. Oleh itu, tulisannya sering menyinggung daerah kontroversi. Liberalisme, feminisme dan Syiah, hak asasi manusia, Bahlut juga tidak ketinggalan dengan isu alam sekitar dan Orang Asal.

Dalam bahagian pendahuluan, Faisal Tehrani menulis mengenai bagaimana kisah Orang Asal dan kehidupan atlet olahraga diadun bersama. Yang pertama bermula kisah-kisah keluarga beliau sendiri yang diceritakan oleh moyang beliau.

Kehidupan atlet pula beliau olah daripada perkenalan bersama beberapa orang atlet negara. Nama Bahlut itu sendiri diangkat daripada mitos masyarakat Orang Asli sendiri mengenai seorang wira yang menyelamatkan masyarakat daripada gangguan raksasa.

Maka kita mengenali seorang budak bernama Bahlut, tinggal bersama ibunya sesudah ‘kematian’ ayah. Ibunya juga hilang secara misteri tidak berapa lama kemudian. Berkat kehadiran seorang guru yang prihatin, Cikgu Zaiful, Bahlut dihantar ke kota tinggal bersama abang Cikgu Zaiful.

Dalam diam rupanya dia berbakat dalam acara lari pecut. Sejak itu beliau memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil, dengan liku-liku hidup bersama pelbagai atlet muda. Sedikit demi sedikit, diuji pelbagai perkara beliau menempa nama sebagai atlet berprestasi dan terkenal. Semua ini hanyalah permulaan bagi perjuangannya yang sebenar.

Apabila kita membaca Bahlut, kita merasai kekurangan yang ada dalam masyarakat kita, iaitu ketiadaan kelompok yang boleh disandarkan harapan. Tiada kelompok di luar lingkungan kuasa yang memainkan peranan sewajarnya, seperti kelompok ulama’ yang wujud dalam sejarah ketamadunan Islam. Pada titik ini beliau tonjolkan Bahlut, atlet harapan negara daripada kelompok minoriti walaupun berstatus bumiputera di negara sendiri.

Apakah saya dan anda sedar dan peka dengan lingkungan sebegini? Saya juga tidak dapat memberi jawapan pasti, atas keterbatasan diri untuk menyantuni pelbagai kelompok dalam masyarakat. Namun apa yang mereka harapkan bukanlah wang dan rumah batu. Mereka senang dengan persekitaran mereka sekarang, dan alamlah yang menjadi punca rezeki mereka.

Dari situ Bahlut dilahirkan. “Nama eng, Bahlut…Bahlut takkan mengalah begitu sahaja” menjadi slogan. Masyarakat kita begitu miskin jurucakap kelompok-kelompok sebegini. Menurut Edward Said, jurucakap bagi golongan mustadh’afin ini tidak terikat dengan profesion tertentu, justeru golongan selebriti seni dan sukan turut memainkan peranan. Itulah harapan Faisal Tehrani.

Doalah. Hari tak sentiasa hujan. Pagi tak sentiasa berkabut.

Mereka boleh menjadi trendsetter seperti mana rakan-rakan di Hollywood dan negara-negara Barat yang lain. Mungkin sahaja Azizulhasni Awang pernah membaca Bahlut, melihat pada sepasang sarung tangan SAVE GAZA yang diacung sewaktu temasya Komanwel. Kita bukan pemula, bahkan bukan yang terakhir pada perjuangan yang ditunjukkan para Nabi ini.

Bahlut
Faisal Tehrani
Al-Ameen Serve Holdings
2010
400

Posted

in

by

Comments

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.