- Iakah Malapetaka Iklim? – 21/01/2024
- Buku dan Debu Kehidupan Kota Kaherah – 06/09/2023
- Beberapa Ingatan daripada Penat – 24/01/2023
Apa yang anda lakukan sebanyak 3 kali setiap minggu? Bersukan atau…Faisal Tehrani sekali lagi mengusik pembacanya dengan kumpulan cerpen Tiga Kali Seminggu.
15 Cerita Mencabar Minda
Meletakkan 14 cerpen beliau yang mutakhir di samping satu novelet, Kegawatan, kita disajikan kerencaman nada penulisan beliau. Hal ini turut disentuh dalam kata pengantar yang beliau karang, ada yang disajikan dengan ‘inti lebih’ ada juga yang lebih ‘tepung salut yang nipis’.
Menurut beliau yang [ketika karya tersebut ditulis] memegang mazhab Gagasan Persuratan Baru(GPB), beliau ingin menunjukkan secara praktis bahawa karya berlandaskan GPB tidak membosankan dan meminggirkan langsung aspek cerita, cuma lebih mengutamakan ‘ilmu’ untuk dikongsi bersama pembaca.
Secara peribadi, saya tidak berkenan dengan kewujudan novelet Kegawatan walaupun ia memberi gambaran kepada kita mengenai zaman awal penulisan beliau. Selain tidak selari dengan pendekatan GPB itu sendiri, ia mengandungi unsur-unsur yang tidak sesuai untuk bacaan umum. Iyalah, manakan kita tahu Faisal Tehrani punya peminat cilik seperti Ain Maisarah dan masih di bangku sekolah.
Walaupun cerpen Tiga Kali Seminggu berhasrat untuk mengangkat cinta dalam karya sastera lebih daripada klise cinta kopiah-tudung labuh, saya lebih menggemari Cinta Medeni yang bersulam persoalan kesufian. Walau bagaimanapun, saya juga menggemari tulisan ringan dalam cerpen Muthupalaniappan yang bersalut sindiran pedas lagi menusuk.
Hanya kiamat yang akan memusnahkan bahasa paling romantis dalam dunia ini.
Sekiranya pembaca masih tercari-cari cerpen cinta Faisal Tehrani, anda tidak perlu pergi jauh dan tataplah cerpen Rindu Ini Luar Biasa, cerpen pertama dalam kumpulan ini. Hayatilah kisah cinta Zaharah dan Tengku Hakiman yang tidak kesampaian, lantas Zaharah memilih untuk ‘berkahwin’ dengan dunia akademik dan mendaulatkan bahasa Melayu. Cerpen ini mengulang persoalan yang sama dalam cerpen Muthupalaniappan iaitu isu PPSMI yang semakin suam-suam kuku pada masa ini.
Tidak lupa juga kepada peminat aliran oksidentalisme beliau, cerpen Setelah Diciptakan Adam wajib menjadi telaah anda. Menyelusuri ego seorang wanita Yahudi, mengenali siapa Philomela, kita akan pulang kembali ke tanah nusa untuk bermesra dengan Islam and Secularism, magnum opus Prof. Dr. Syed Naquib Al-Attas. Cerpen ini cuba merakamkan pertembungan faham Islam dan Barat berhubung isu gender di zaman rancu fitrah disebabkan kejahilan kita mengenai konsep ilmu, yang melahirkan pemimpin dan masyarakat yang jahil dan biadap.
Leave a Reply