Gus Dur, Dari Pesantren ke Istana

Muhammad Fakhruddin
Latest posts by Muhammad Fakhruddin (see all)

Sedari awal lagi, Prof Greg Barton mengakui bahawa biografi Gus Dur ini sebagai satu biografi yang subjektif dan cuba mempersembahkan Gus Dur sebagai tokoh, dan idea-idea liberalnya dalam konteks Indonesia dalam bentuk mudah. Pada beberapa bab awal, susunan biografi ini tidaklah sepenuhnya berdasarkan kronologi. Diselitkan di beberapa tempat huraian mengenai tatanan keagamaan masyarakat Indonesia, khususnya masyarakat Muslim dan Jawa.

Gus Dur, sebagai anak pemuka Islam yang terkenal di Pulau Jawa yakni Kiai Wahid Hasyim yang pernah menjadi menteri agama, juga merupakan cucu kepada pendiri ormas Nahdlatul Ulama’ (NU), Kiai Hasyim Asy’ari. Hal ini sangat mirip dengan seorang lagi tokoh dari ormas berseberangan dengan NU, iaitu buya HAMKA (Muhammadiyah dan Masyumi). Namun keduanya mempunyai kecenderungan serupa, ulat buku sedari kecil dan peminat karya seni dan persuratan.

Seperti buya HAMKA remaja, Gus Dur remaja sering kali mencari kesempatan untuk menonton wayang baik ketika menuntut di pesantren, di Al-Azhar hinggalah ke Baghdad. Buku dan seni membesarkannya sebagai sosok cendekiawan, namun kepintarannya dalam bidang agama turut dimanfaatkan para kiai khususnya untuk mengajarkan bidang usul fiqh dan tasawuf beberapa ketika di Jombang, sebelum beliau berhijrah ke kota Jakarta.

Membaca mengenai Gus Dur, kita dihidangkan dengan sedutan-sedutan pelbagai sisi sejarah Indonesia. Baik dari segi Islamisasi penduduk Indonesia khususnya pulau Jawa, bagaimana berdiri dan berlangsungnya Nahdlatul Ulama (NU) yang diasaskan oleh datuknya, lingkungan cendekia dan aktivis yang dekat dengannya, serta detik-detik menghampiri Reformasi dan sesudahnya.

Begitupun biografi ini ditutup langsung setelah lengsernya Gus Dur daripada kerusi Presiden, Prof Greg Barton menyatakan beberapa analisis dan kritik yang merujuk kepada tempoh kepimpinan Gus Dur sebagai presiden. Satu ketergesaan di pihak penulisnya pada pandangan saya, tanpa mengambil kira pengaruh Gus Dur pasca kehidupannya sebagai presiden. Gus Dur, seperti tokoh-tokoh politik pada zaman Reformasi Indonesia yang lain seperti pak Amien Rais, ibu Megawati serta pak B.J Habibie masih lagi dianggap tokoh dan nara sumber di mata orang banyak.

Secara peribadi, tidak adil untuk saya membentuk pandangan mengenai ‘tokoh pelbagai warna’ ini berdasarkan buku ini, melainkan ada buku yang menghimpunkan tulisan-tulisannya serta penulisan lain mengenai Gus Dur yang boleh disilang rujuk. Memang beliau disinonimkan dengan gerakan pembaharu dalam NU, atau dalam kata lebih jauh seorang liberal. Namun begitu, beliau terlalu berhati-hati, dan selalu saja terlalu jujur dalam tingkah siasahnya sebagai presiden. Di sini dapat kita melihat betapa sukar seorang aktivis cendekia untuk mejadi pemimpin sebuah organisasi massa yang dianggotai jutaan umat, apatah lagi presiden sebuah negara Muslim terbesar di dunia.

Dari Pesantren Ke Istana: Biografi Presiden ke-4 Indonesia Kiai Haji Abdurrahman Wahid Book Cover Dari Pesantren Ke Istana: Biografi Presiden ke-4 Indonesia Kiai Haji Abdurrahman Wahid
Inisiatif Buku Darul Ehsan IBDE
Greg Barton, Al-Mustaqeem Mahmod Radhi (Penterjemah)
Awal Nahdah Resources
2016
Paperback
529

Comments

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.