- Iakah Malapetaka Iklim? – 21/01/2024
- Buku dan Debu Kehidupan Kota Kaherah – 06/09/2023
- Beberapa Ingatan daripada Penat – 24/01/2023
Hishamuddin Rais memulakan buku Malapetaka Iklim ini dengan pertanyaan, Ke Mana Hilangnya Katak Hijau? Katak hijau di Jelebu yang memberi tanda bagi kaki pancing, di mana lubuk yang dihuni ikan. Peningkatan suhu bumi secara tidak langsung memberi kesan kepada habitat haiwan dan tumbuhan kita.
Bukankah iklim dan cuaca memang sentiasa berubah-ubah sejak azali?
Benar dan hal ini dibahaskan panjang lebar oleh ahli sains dahulu dan kini. Berdasarkan dapatan saintifik semasa, perubahan iklim atau pemanasan global zaman moden ini bukan terjadi secara alami.
Perubahan iklim zaman moden ini adalah disebabkan aktiviti manusia yang menambah gas rumah kaca (greenhouse gases – GHG) ke atmosfera. GHG daripada bahan api yang dibakar, tanah hutan yang dibuka sebagai ladang, bahkan kentut dan sendawa haiwan ternakan.
Mengenal Alamat dan Tanda
Malapetaka Iklim menjalin cerita mengenai tanda-tanda perubahan iklim di sekeliling kita. Seperti contoh, kerapnya banjir berlaku tak mengira tempat dan waktu. April 2023 juga mengejutkan kita dengan gelombang haba, hingga ada warga kita yang terkorban dek strok haba.
Gelombang haba 2023 juga mengajar, bahawa ‘pemanasan global’ tidak lagi eksklusif di negara Hemisfera Utara sahaja. Gelombang haba sudah menjalar ke Asia Tenggara.
Justeru, rangkuman rencana dari lima penulis ingin membawa kita semua ke sebuah pemahaman yang lebih mendalam tentang isu ini, serta mendorong tindakan semua pihak untuk mengurangkan impak buruk perubahan iklim kepada manusia dan alam.
Tindakan yang mengurangkan pelepasan GHG, itulah mitigasi.
Tindakan yang menyesuaikan kehidupan kita dengan impak perubahan iklim, itulah adaptasi.
Walaupun para penulis tidak menyebut istilah-istilah tersebut, tindakan individu mahupun berjemaah pasti menyumbang kepada mengurangkan kesan perubahan iklim. Hal ini mengingatkan kita kepada hadith yang bermaksud:
Daripada Anas bin Malik radiyallahu anhu, dia berkata, Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Jika terjadi hari kiamat sementara di tangan salah seorang dari kamu ada sebiji benih tanaman, maka jika dia mampu sebelum terjadi hari kiamat untuk menanamnya maka tanamlah.”
Hadith riwayat Imam Ahmad
Isham Rais yang sering menulis tentang politik dan pertembungan kelas, kini berteriak “kita semua, umat bumi – anak semua bangsa dan bangsa semua agama – wajib sedar bumi kita sedang diserang oleh malapetaka iklim!”
Eco Lestari Strategy
2023
Paperback
118
Malapetaka Iklim: Memahami Fenomena Pemanasan Dunia menyentuh secara langsung persoalan besar yang sedang kita berhadapan sekarang, yakni perubahan iklim yang memberi ancaman secara total kepada seluruh kehidupan di muka bumi. Kita sering memperagakan perubahan iklim (climate change) sebagai sebuah isu. Sebenarnya, ia tidak lagi hanya sekadar isu.
Leave a Reply