Seri Buku TEMPO: Bapak Bangsa
Kepustakaan Populer Gramedia
2011
Paperback
160
Ada banyak cara kreatif bagi mengenang sumbangan sesuatu tokoh, menurut kebiasaan lapangan masing-masing. Misalnya, penghargaan kepada sosok ilmuwan dijelmakan menerusi penghasilan festschrift dalam bentuk kumpulan esei oleh rakan sejawat dan juga anak-anak murid tokoh terbabit.
Dalam hal ini, kita wajib belajar daripada jiran kita Indonesia. Rancangan bual bicara mingguan membahaskan pelbagai sisi sesuatu tokoh, filem-filem mengenai riwayat hidup tokoh-tokoh bangsa makin banyak dihasilkan. Tidak ketinggalan, buku-buku baik yang berbentuk akademik mahupun naratif banyak ditulis.
Buku Tjokroaminoto: Guru Para Pendiri Bangsa tidak lain adalah satu hasil daripada kewartawanan siasatan (investigative journalism) oleh tim wartawan Tempo terhadap beberapa tokoh nasional, lalu dijadikan beberapa siri buku. Tidak sedikit kritik atas usaha ini, antaranya daripada wartawan senior Tempo sendiri, Goenawan Mohamad. Usaha ini dilihat sebagai mengagungkan masa lalu ketimbang tokoh dan pencapaian yang lebih semasa.
Insaf atas kekurangan itu, lalu buku-buku yang dihasilkan sememangnya bukanlah satu rakaman yang sempurna. Tim tersebut mengakui mereka bukan sejarawan, yang punya autoriti ke atas terhasilnya biografi ringkas Tjokroaminoto ini. Justeru kita dipersembahkan dengan sebuah ‘sketsa’ sejarah, daripada beberapa detik hidup seorang Tjokroaminoto.
Pengembang Sarekat Islam
Lahir sebagai Raden Oemar Said Tjokroaminoto, beliau akhirnya sanggup membuang gelar Raden dan berhenti daripada menjadi jurutulis bagi birokrat. Perkara ini mencetuskan kemarahan sang mertuanya, dan hampir sahaja perkahwinan beliau putus disebabkan sikap berontaknya. Menerusi tulisannya juga, beliau dikenal pendiri Sarekat Islam iaitu Haji Samanhoedi.
Di bawah perancangan Tjokroaminoto, Sarekat Islam menjadi tersusun dan meluas keanggotaannya. Pengaruh Sarekat Islam tidak terhad kepada wilayah-wilayah di Indonesia, bahkan organisasi ini pernah membuka cawangan di Terengganu pada tahun 1920-an sebelum dihentikan pergerakannya. Kekuatan pengaruhnya membuatkan beliau cepat naik ke tangga kepimpinan Sarekat Islam, hingga digelar Belanda sebagai ‘Raja tanpa Mahkota’.
Yang naik tak lepas daripada ujian dan merasai zaman kemunduran. Sarekat Islam (SI) mulai bergoyah apabila terdapat dua fraksi, iaitu SI Merah yang condong ke arah sosialisme dan komunisme, serta SI putih yang dipertahankan oleh Tjokro sendiri.
Sedikit sebanyak kita memahami asal usul pertentangan dan juga banyaknya penulisan sekitar ‘Islam dan sosialisme’ oleh tokoh-tokoh pemikir dan ulama awal abad ke-20. Tjokroaminoto sendiri pernah menghasilkan buku mengenai topik ini bagi menangkis pengaruh SI Merah yang diketuai oleh anak muridnya, Semaoen dan Alimin.
Sekolah Politik di Rumah Sendiri
Pelbagai tokoh dari pelbagai aliran yang mencorakkan zaman-zaman awal Indonesia terdidik di rumah Tjokroaminoto. Anak muridnya kemudian berkiprah menurut jalan fikiran yang dipilih masing-masing. Sukarno dengan nasionalisme, Semaoen dan Alimin dengan sosialisme/komunisme, tidak kurang juga yang mengembangkan faham Islam tersendiri seperti Kartosoewirjo.
Umum mengetahui bahawa beliau merupakan ‘guru pidato’ kepada Sukarno. Yang dimaksudkan sebagai guru bukanlah pengajaran secara formal, sebaliknya cara gaya beliau sering ditiru oleh Sukarno muda yang turut menumpang di rumahnya. Untuk beberapa ketika, Sukarno pernah mengahwini anak Tjokro iaitu Oetari sebelum diceraikan atas persetujuan mereka berdua.
Meningkat naiknya Tjokroaminoto dan juga gerakan Sarekat Islam bukan hanya satu kebetulan. Buku ini memerihalkan kebijakan siasah seorang ‘Raja tanpa Mahkota’ ini dalam mengembangkan sebuah gerakan massa. Namun begitu, beberapa perancangan politiknya, seperti bekerjasama dengan Belanda dicurigai oleh kalangan ahli SI sendiri terutamanya daripada jalur SI Merah.
Walaupun persembahan buku ini bersifat sketchy, namun sedikit sebanyak mendedahkan kita kepada asal pergolakan idea antara Islam dan sosialisme yang bernuansa Nusantara, selain mengenal gerakan politik Islam awal yang wujud di sini.
- Edible Economics – When You’re Hungry, but You’re an Economic Professor… – 02/01/2025
- 3 Hal dari 2024 – 31/12/2024
- Percikan dari Membakar Sastera – 30/12/2024
Leave a Reply