- Iakah Malapetaka Iklim? – 21/01/2024
- Buku dan Debu Kehidupan Kota Kaherah – 06/09/2023
- Beberapa Ingatan daripada Penat – 24/01/2023
Musyawarah Buku, Menyelusuri Keindahan Islam dari Kitab ke Kitab ini merupakan terjemahan bahasa Indonesia edisi pertama buku Conference of the Books, The Search for Beauty in Islam, kumpulan esei oleh Dr. Khaled Abou El Fadl yang merupakan pakar perundangan Islam di UCLA.
Edisi awal ini diterbitkan pada tahun 2001, justeru tidak menyinggung perkembangan pasca 911 dan beberapa pandangannya yang lebih kontroversi, antaranya menyentuh isu hijab dalam edisi kemas kini beberapa tahun kemudiannya. Oleh itu, kita bisa membaca esei-esei ini atau setepatnya catatan harian beliau dari tahun 1994 hingga tahun 2000, dengan lebih nyaman tanpa diusik kontroversi yang mendatang itu. Sekiranya masih berminat, ada satu-dua bab daripada edisi kemas kini yang dimuatkan dalam blog Dr. Khaled, di samping beberapa komentar yang berlegar di alam maya.
Secara peribadi, membaca untuk menjatuhkan hukum bukanlah kegemaran saya. Kita boleh membaca karya pelbagai pengarang, tokoh dan ilmuwan secara sedar akan kecenderungan mereka, tetapi tidaklah mudah terikut-ikut dengan apa yang cuba dicadangkan, didendangkan atau diajarkan dalam kitab-kitab itu. Maka saya menghargai keamanan fikir untuk mengenali seorang Khaled Abou El-Fadl, daripada tajuk buku ini, juga seorang pencinta, kalau pun tidak seorang penggila buku.
Pemilihan tajuk asalnya saya kira disengajakan, diinspirasikan daripada tajuk puisi Parsi yang terkenal, iaitu Mantiq at-Tayr atau Conference of the Birds karangan Farid al-Din Attar. Tajuk itu selayaknya bagi buku ini yang tidak berminat untuk menunjuk-nunjukkan hukum atau menayangkan apa-apa fatwa.
Dalam banyak tempat, Musyawarah Buku diselitkan kisah-kisah ulama’ silam memperdalam ilmu masing-masing sambil mengajar dan membimbing umat terbanyak. Ulama’ ini tidak kurang menghadapi fitnah dan cercaan, bahkan daripada manusia paling dekat dengannya semisal anak murid atau rakan sepengajian sendiri. Ibnu Rushd dari al-Andalus, Ibnu ‘Aqil dari Baghdad, Al-Jahiz yang Mu’tazilah dan beberapa ulama’ lain turut disinggungnya, baik secara rinci atau menyebut sepintas lalu.
Bahagian kedua buku ini pula lebih sarat dengan nada autobiografi. Lewat beberapa esei seperti Catatan tentang Keputusan yang Ditunda dan Tipuan Kabut yang panjang lebar menghuraikan kecamuk pemikiran yang dihadapi Dr. Khaled Abou El Fadl sendiri. Bukanlah bermaksud kata-kata ini tercabutnya iman daripada diri, tetapi kecamuk seorang pemikir menghuraikan dan mendamaikan banyak pertentangan-pertentangan yang dirasakannya, ketika dia masih lagi murid dan dibimbing para masyaikh khususnya sewaktu beliau di Mesir.
Di beberapa tempat, Musyawarah Buku bersidang lewat keluh-kesahnya tentang umat Islam yang dekat dengan dirinya. Tentang sikap keras dan sempit dalam beragama serta sikap tidak peduli ilmu, walhal tamadun Islam dibangunkan atas dasar ilmu, melahirkan jutaan ulama dan kitab. Musyawarah ini diselenggarakan atas dasar keindahan Kitab Tuhan, dan peradaban kita adalah peradaban buku.
Jalan kita menuju Tuhan dibimbing oleh Kitab, dan kita menemukan nilai kita hanya dalam buku-buku. Tuhan kita termanifestasikan melalui Kitab, dan identiti kita didefinisikan oleh buku-buku. Jadi, bagaimana kita dapat menjadi penyeleweng Kitab dan pengkhianat buku-buku? Kalau soal mendekatkan diri dengan Tuhan sahaja dibimbing dengan kitab, bagaimana soal membangunkan diri, keluarga, masyarakat dan lingkungan kita kita pantas menghindar dari musyawarah buku sehari-hari?
Persoalan antara turath (klasik) dan mu’asirah (kontemporari) ini disinggungnya singkat. Apa yang boleh disimpulkan bahawa banyaknya perbahasan yang berlaku kini, keras atau halus, hasil daripada sikap kita yang gagal memahami konteks dan keperluan semasa. Antara yang dicatatkannya:
Sekiranya kalian (buku karangan ulama’ terdahulu, tambahan saya) telah ketinggalan zaman atau tidak relevan dengan waktu dan tempat ini, ini terjadi hanya karena kami, diri kami, ketinggalan zaman dan tidak relevan. Kalian bukan titisan kebenaran — tidak ada yang berfungsi demikian. Akan tetapi, kalian adalah bukti nyata kebenaran itu — kebenaran pengetahuan, kebenaran proses dan metode. Proses dan kebenaran yang dilandaskan pada kebaikan, toleransi, dan kesabaran adalah relevan pada setiap zaman.
Inilah yang dikeluh-kesahkan Dr. Khaled Abou El Fadl sebagai seorang ilmuwan. Islam dan umatnya menjadi pokok perbahasan di seluruh dunia, namun tidak mampu menjadi peserta perbahasan yang proaktif. Kajian mengenai Islam tumbuh dari universiti-universiti Barat seperti yang diingatkan Prof. Wan dalam Rihlahnya, namun universiti umat Islam belum tuntas menjawab, membalas dan menghasilkan kajian-kajian yang setanding dengan Barat.
Melihat pembahagian bawah sedar yang wujud dalam Musyawarah Buku, Dr. Khaled Abou El Fadl cuba mengusulkan bahawa pembulian ilmu dalam bentuk pembakaran buku, menutup mulut ulama tertentu wujud dalam rentetan sejarah umat Islam. Walau bagaimanapun, kes-kes ini dilihat sebagai terpencil kerana institusi politik masih menaungi banyak kegiatan ilmu, di samping inisiatif umat mengimarahkan aktiviti keilmuan setempat. Hal ini sudah tentu dirasakan hilang, dan ramai mengaitkannya dengan jatuhnya institusi bernama khalifah walaupun ia tidak menjadi perhatian Dr. Khaled dalam buku ini.
Namun apakah sebenarnya yang berlaku sehingga inisiatif-inisiatif ilmiah yang digerakkan oleh umat dan ulama’ yang dekat dengan masyarakat turut hilang ditelan zaman? Persoalan-persoalan yang saya catatkan ini, menuntut telaah dan kajian baru, yang mungkin telah ada orang yang menuliskannya.
Leave a Reply