Sesudah meninggalnya Rustam Abdullah Sani, atau dikenal sebagai pak Rustam, ada beberapa buku terbit mengumpulkan esei-esei eceran yang tersiar di akhbar. Salah satunya ialah Ketemu di Alur Zaman terbitan Media Icon. Mungkin kini tidak ramai mengenali sosok ini yang juga waris kepada Ahmad Boestamam.
Seperti yang dicatat pada pendahuluan penerbit, buku ini menfokuskan tulisan beliau mengenai sebelas orang tokoh yang beliau kenali — tidak semesti diketahui umum.
Walau bagaimanapun boleh dikatakan setiap tokoh punyai sumbangan tersendiri kepada masyarakat, dan secara tidak langsung mencerminkan lingkungan hidup dan pergaulan pak Rustam.
Tokoh-tokoh yang beliau ulas pula boleh kita amati daripada dua golongan, sama ada teman-teman intelektual atau pemain politik semasa. Cuma sedikit ralat apabila penerbit tidak menyertakan sumber asal dan tarikh tulisan-tulisan beliau ini, yang dapat memberi konteks kepada pembaca. Namun dapat ditebak bahawa tulisan ini berlegar sekitar awal 2000-an, sewaktu peralihan kepimpinan negara daripada Tun Dr. Mahathir kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Lingkungan Intelektual dan Perjuangan
Daripada tulisan mengenai sebelas tokoh ini, hampir separuh daripadanya mewakili lingkungan perjuangan yang beliau geluti. H. M Dahlan mewakili zaman akademiknya di UKM; Usman Awang dan Kassim Ahmad — intelektual yang beliau hormati; Abdul Razak Ahmad dan Syed Husin Ali ialah teman seperjuangan dalam parti.
Satu hal yang kita dapati dalam kupasan tokoh-tokoh ini ialah kekagumannya kepada istiqamah pada sikap dan prinsip, bermula daripada memahami asas perjuangan menegakkan keadilan. Perjuangan yang ditempuhi tokoh-tokoh ini termasuk Rustam A. Sani tidak menjamin pulangan dunia yang segera, malahan banyak yang menghadapi tentangan.
Pada masa yang sama, ada nada gusar seorang pemikir mengenai keadaan sosial dan intelektual masyarakat. Dalam belasungkawa kepada Usman Awang, beliau melontarkan persoalan siapakah pelapis kepada sasterawan dan cendekiawan yang telah meninggalkan kita ini.
Tidak lengkap membicarakan hal ini tanpa mengupas catatan terhadap ayahandanya, Ahmad Boestamam. Catatan pendek itu disepuh anekdot peribadi mengenai dugaan seorang tahanan politik sehingga bapa beliau tidak mengenali dirinya yang masih kecil itu; namun diakhiri dengan pemikiran yang kemas.
Beliau mengakui bahawa kekaguman pada ayahandanya datang daripada kajian dan pembacaan, bukan pergaulan peribadi seperti kebiasaan anak-anak yang lain. Menurutnya, gagasan-gagasan yang dijana oleh nasionalis berhaluan kiri ini perlu dikaji dengan lebih mendalam, sambil menegaskan:
Kebanyakan gerakan tersebut merupakan gerakan anti-kolonial dalam erti kata yang visionary (berwawasan). Penolakan mereka terhadap kuasa penjajahan itu tidaklah didorong oleh rasa benci yang bersifat perkauman, tetapi didorong oleh fahaman tentang keadilan, demokrasi dan kesamarataan yang amat kuat.
Melayu dan Kuasa, Berpisah Tiada
Rencana mengenai tokoh-tokoh ini ditutup dengan sebuah rencana mengenai kepimpinan Melayu Wujudkah ‘pasukan impian’ dalam kepimpinan politik Melayu?. Rencana tersebut umpama icing on the cake bagi kumpulan esei ini, sekali gus menjalinkan beberapa kupasan terhadap tokoh-tokoh politik.
Beliau skeptik terhadap idea ‘pasukan impian’ begini kerana realiti politik Melayu lebih sanggup menjadi pencium tangan untuk mendaki tangga kuasa berbanding mengkritik kelemahan gagasan yang dianjurkan pemimpin atasan. Beliau berpendapat bahawa secara umum orang Melayu lebih menghormati kuasa berbanding idea.
Satu analisis yang pesimis sengaja untuk menutup sebuah catatan mengenai kebanyakan politikus Melayu ini. Pasukan impian kepimpinan Melayu menurut beliau hanyalah:
…sekadar merupakan mimpi ngeri mereka yang sebenarnya sedang mengigau pada waktu hari siang!
Sesudah beliau, siapakah intelektual yang berani menukilkan alur zamannya sebegini rupa?
- Edible Economics – When You’re Hungry, but You’re an Economic Professor… – 02/01/2025
- 3 Hal dari 2024 – 31/12/2024
- Percikan dari Membakar Sastera – 30/12/2024
Leave a Reply