Tag: novel

  • Naratif Ogonshoto: Sebuah teks realisme magis

    Naratif Ogonshoto Book Cover Naratif Ogonshoto
    Anwar Ridhwan
    Arsalia
    2004

    Oleh Iman Danial Hakim

    Naratif Ogonshoto: Rangkuman Cerpen Dalam Sebuah Novel

    Perkara pertama yang saya lakukan sesudah menamatkan Naratif Ogonshonto adalah dengan membuka Google Map! Saya benar-benar penasaran untuk mengetahui adakah negara kepulauan yang terletak di lautan Pasifik ini wujud?

    Ternyata Ogonshoto, negara kepulauan yang terdiri daripada Pulau Gora-Gora, Futu-Ata dan Rai-Rapa hanyalah sebuah kawasan geografi fiksyen. Dikatakan Ogonshoto merupakan sebuah republik enam buah pulau kurang lebih 1500 batu di barat laut Pulau Easter milik Chile. Ini kehebatan Anwar Ridhwan yang pertama. Penglipur lara yang pakar menghikayatkan cerita sehingga kita tersihir untuk mempercayai yang fiksyen sebagai realiti. Yang tiada sebagai ada.

    Naratif Ogonshoto berdiri sebagai karya yang unik sekaligus kompleks. Pembaca dipaksa mengikut rentak penceritaan yang samar-samar supaya yang tersirat di sebalik yang tersurat ditafsirkan. Ia bersifat ala cerita rakyat. Pada bab Prolog: Kawai Maru kita dibawa menerusi sudat pandangan seorang kelasi dari kapal Kawai Maru untuk mengenali Ogonshoto.

    Di sana kita mendapat isyarat awal bahawa karya ini bakal bergerak dalam bab-bab yang mengandungi pelbagai kisah. Ini dikuatkan lagi dengan rangkap, ”Kisah yang kami kutip berkali-kali; kami susun-susun hingga setiap kisah – seperti seekor ikan – lengkap dari ekor hingga kepalanya”. Prolog diakhiri dengan babak seorang ibu sedang memperdengarkan naratif-naratif Ogoshonto, sebuah hikyat lisan yang epik.

    (more…)

  • Manuklon: Fiksyen Sains dan Politik

    Manuklon Book Cover Manuklon
    Rahmat Haroun
    Malay fiction
    Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
    1991
    230

    Darko Suvin sudah lama mengimpikan sai-fai yang begini. Dia Marxist, daripada prakata buku teorinya mengenai sai-fai, Metamorpheses of Science Fiction, sudah dapat kita telah hasrat ini. Dia mengimpikan sai fai yang bicara perihal realiti masyarakat lewat jargon-jargon seperti cognition, estrangement dan novum yang sulit untuk kita fahami. Sebagai pembaca, saya tak boleh marah-marah, tapi sabar mengikuti huraiannya yang berdikit-dikit mengenai istilah ini.

    Tetapi membaca Suvin dan novel-novel lama Dr. Rahmat Haroun seumpama takdir. Perkenalan dengan novel Panggil Aku Melaju membuatkan saya cuba mengenali bumbu-bumbu siasah dalam beliau. Ada dua karakter yang melambangkan karier si penulis, keterujaannya dengan teori-teori psikologi (Freud atau Jung) serta ketajaman pemerhatiannya untuk melukiskan semula peristiwa-peristiwa masyarakat, secara halus atau terus-terang.

    Dalam banyak novel Dr Rahmat Haroun, akan ada wataknya yang bermimpi, berkhayal hatta berdelusi. Di situ akan ada huraian dan sisipan yang berbaur psikologi, agakan saya kerana saya bukan peneliti bidang ini. Dalam delusi itu pun, dia membantah PPSMI seperti yang tercatat dalam Panggil Aku Melaju. Namun bukan novel ini yang menjadi maksud bicara saya.

    (more…)
  • Cinta Hari-Hari Rusuhan

    Cinta Hari-Hari Rusuhan
    Faisal Tehrani
    2000

    Saya agak lama tidak menitip di sini. Keutamaan sudah bertukar. Tetapi mengingati betapa rusuhnya pimpinan hari ini, mungkin sudah sampai seru saya membaca novel Cinta Hari-Hari Rusuhan yang pernah menginspirasikan tajuk cerpen saya. Ah, kalam itu yang masih saya simpan, dibiarkan kering sendiri.

    Saya memang ingin ‘lari’ seperti Basri, sekejap cuma dan bukan sejauh ke kota London.

    Tentang cinta yang tak kesampaian, diragut ‘ahli politik’. Faisal Tehrani mengajar kita politik itu bisa tumbuh dalam semua keadaan dan insan. Tetapi akhirnya yang dipaparkan ialah soal mahu hidup hingga idealisme yang dipegang dibiar mati. Idealisme boleh jadi belum mati dalam diri seseorang, tetapi emosi, ekonomi, dan sekali lagi politik, sentiasa ada untuk menekan atau menyuburkan cinta tersebut.

    Membaca Cinta Hari-Hari Rusuhan juga, saya teringat tentang bising-bising perihal latar pilihan penulis muda yang kononnya tidak berciri tempatan. Bagi saya, memang latar itu sentiasa berubah. Mana mungkin hendak disamakan generasi awal DEB yang asal daripada keluarga tani di kampung, berbanding generasi pasca-DEB yang rata-ratanya daripada keluarga kakitangan awam dan pekerja industri yang sudah melata di pekan dan bandar.

    Yang kekal hanyalah nilai dan rasa yang disulam oleh pengarang. Perbezaan kelas, darjat atau apa saja akan kekal. Cinta dan kasih akan kekal, walaupun tidak bermaksud untuk dimiliki.