Tag: puisi

  • Sasterawanara Keraton: Kembara Menganyam Kata

    Sasterawanara Keraton Book Cover Sasterawanara Keraton
    Hazwan Ariff Hakimi
    Karyawan Publishing House
    2012
    57

    Diterbitkan dalam Utusan Malaysia bertarikh 13 Oktober 2013

    Kembara ialah pergerakan dan penjelajahan, baik yang berlaku secara jasmani – bergerak dari satu tempat ke tempat lain – mahupun secara maknawi membabitkan anjakan kefahaman intelek dan peningkatan makam kerohanian. Semacam trend masa kini, pelbagai pihak ghairah menghasilkan travelog hasil daripada kembara yang dilalui. Sebaliknya, saudara Hazwan Ariff Hakimi memilih untuk merakam kembaranya dalam dunia penulisan puisi menerusi kumpulan puisi 33 Puisi Kembara: Sasterawanara Keraton.

    Susunan puisi mengikut tahun puisi-puisi ini ditulis dari tahun 2003 hingga 2011, menyerlahkan unsur kembara seorang penulis muda. Sebagai arkitek yang baru sahaja menyelesaikan pengajiannya di Nottingham, sebahagian besar puisi-puisi yang dimuatkan dalam kumpulan ini lahir di tanah Inggeris kecuali puisi-puisi awal dan beberapa puisi lewat kembaranya ke beberapa tempat seperti Paris, Istanbul dan Ljubljana. Kumpulan puisi ini mengandungi rakaman pandangan penulis seputar pelbagai isu-isu kemanusiaan, siasah, sastera dan puisi-puisi yang berunsur Islam.

    (more…)
  • #GandingBacaGoodreadsMy: Yang Nakal-Nakal

    YANG NAKAL-NAKAL Book Cover YANG NAKAL-NAKAL
    Usman Awang
    Buku Fixi
    2013
    220

    Gara-gara aktiviti Ganding Baca grup Goodreads Malaysia (GRMY) untuk bulan Julai 2013, saya terjebak membaca buku terbitan syarikat Buku Fixi yang dikenali menerusi genre pulp fiction. 17 cerpen dan lapan puisi disusun dalam kumpulan karya Yang Nakal-Nakal. Kebanyakan cerpen ini ditulis sekitar dekad 50-an dan 60-an (ada yang seawal tahun 1949) manakala puisi pula diambil sekitar tahun 70-an dan 80-an. Menurut Hafiz Hamzah, penyunting buku ini dalam prakatanya:

    Tidak ada hal-hal patriotisme seperti yang sedia dimaklumi di sini. Perkara itu sangat cliche ketika membicarakan sosoknya. Tetapi, yang ada untuk ditemukan adalah satu sisi lain; nuansa sensual yang dikait ke dalam setiap pemerhatiannya.

    Fokus kumpulan karya Sasterawan Negara (SN) Usman Awang ini lebih kepada cerpen berbanding puisi.

    (more…)
  • Ziarah Tanah Kudup KEMALA

    Mungkin itulah bunga harapan yang mekar di hati Dato’ Dr. Ahmad Khamal Abdullah, karyawan tamu UPM kini Sasterawan Negara yang ke-11 menyambut kedatangan kami berenam (pastinya kami bukan peneroka daerah Sabak Bernam).

    Tambah menggamit kenangan, apabila saya dan saudara Shahkang memilih untuk duduk bersila berhadapannya persis murid sekolah pondok menadah ilmu dari tok guru.

    Dari taaruf ringkas bersama beliau, sedikit sebanyak menjawab persoalan yang terbuku di hati mengenai pemilihan kosa kata bahasa Jawa dalam beberapa puisi beliau. Beliau berdarah Minang dan Jawa, dan terserlah menerusi tutur kata beliau yang lemah lembut dan halus. Antara sajak beliau yang dikenali ramai ialah Jangan Berduka Malaysiaku

    Kubebat tanganku yang luka
    kubebat dadamu yang luka
    kubebat bahumu yang luka
    kubebat pipimu yang luka
    kugiring matamu yang duka
    kuiring lagumu yang duka
    kusaring cumbumu yang duka

    Ada tembang pilu sang nelayan
    ada tempang lagu petani kemarau
    mencari kasih di sudut hati
    suaranya serak dan parau.

    Tak lengkap rasanya tanpa melihat-lihat koleksi kutub khanah di pejabat beliau ini. Di atasnya terdapat beberapa hasil seni karya Dato’ KEMALA sendiri. Bukan sahaja menempatkan beberapa karya beliau, bahkan puisi-puisi seantero dunia dalam beberapa bahasa termasuklah sebuah antologi puisi mengenai Palestin dalam bahasa Arab.

    Terlanjur berbicara mengenai puisi, beliau meluahkan kegusaran terhadap nasib puisi dan penyair tempatan apabila tiada lagi penganjuran acara Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur.

    Berbicara seputar isu semasa pula, beliau berhasrat untuk menghidupkan gagasan NUMERA (Nusantara Melayu Raya) dari semangat Melayu Raya cetusan Ibrahim Yaacob bagi mendepani cabaran zaman yang begitu menghakis jati diri kita.

    Sesekali beliau bercerita mengenai pengalaman peribadi, antaranya kenangan bersama allahyarham bondanya yang kerap bercerita kepada beliau saban malam. Beliau banyak menitipkan nasihat kepada kami, yang bakal memimpin masyarakat dan negara kelak.

    Terima kasih Dato’ KEMALA kerana sudi menerima kami sebagai tamu, bahkan membayar belanja makan kami sedang Dato’ masih berpuasa. Terima kasih sekali juga atas buah tangan, antologi puisi Dampak 70 yang Dato’ hadiahkan.