Year: 2024

  • 3 Hal dari 2024

    1. Semakin banyak ‘pesta buku’ dan pemain baharu dalam arena buku. Banyak yang mengisi tema-tema baru walaupun disebut sebagai ‘healing’. ‘Healing’ bukanlah baharu tetapi pembawaan nuansa generasi Z. Generasi lain pun ikut ‘healing’ dengan cara dan minat masing-masing. Setiap daya yang menggerak akan ada daya yang merintang menurut ilmu fizik, dan pengalaman hidup secara umumnya.

    2. Saya semakin lambat membaca, dan Imran Rasid suruh kurangkan membaca! Di persimpangan ini terasa mahu menelaah ke daerah jahil saya, ekonomi. Walaupun pernah cuba membaca almarhum Ungku Aziz dan Dr. Khalid, saya sedar ada banyak yang saya tak tahu, misalnya apakah sesuatu itu punya nilai/ value seperti kripto dan karbon?

    3. Mungkin yang saya baca tidak semestinya buku-buku umum yang dijual di kedai. Ada laporan badan antarabangsa yang perlu dicerakin intinya (biasanya ada dalam Executive Summary), atau artikel-artikel jurnal dan jargon-jargon yang perlu saya hadami.

  • Percikan dari Membakar Sastera

    Membakar Sastera
    A. Muziru Idham
    Legasi Oakheart
    2022
    Paperback
    112

    When I sit down to write a book, I do not say to myself, ‘I am going to produce a work of art.’ I write it because there is some lie that I want to expose, some fact to which I want to draw attention, and my initial concern is to get a hearing. But I could not do the work of writing a book, or even a long magazine article, if it were not also an aesthetic experience

    George Orwell (Why I Write)

    Barangkali mengambil inspirasi daripada George Orwell juga, Membakar Sastera dimulakan dengan perihal pengarang dan kepengarangan. Sekiranya Orwell terus-terang cuba mengadun hal-hal estetika dengan isu-isu politikal, Muziru pula melontar persoalan kesunyian serta kejujuran karya-karya yang dicoret oleh para pengarang.

    Sejauh mana hasil karya seseorang dapat dipastikan menjadi cerminan diri dan kehendak nurani pengarangnya? Persoalan berat tetapi menarik ini cuba dirungkai dalam satu esei ringkas tanpa mendatangkan contoh atau perbandingan. Catatan Membakar Sastera itu menjadi mukadimah kepada persoalan dasar dalam esei-esei berikutnya yang menyentuh soal kayu ukur dan penilaian karya-karya sastera.

    Agak jelas soal penilaian dan kayu ukur sastera ini dituju kepada Gagasan Persuratan Baru (GPB) janaan Mohd. Affandi Hassan, dan tanpa berselindung menggelarnya sebagai ‘algojo yang cemerlang’. ‘Algojo’ dalam erti kata pengkritik yang istiqamah dalam dunia sastera/persuratan Malaysia dan rangka penilaian Anugerah Sastera Negara yang menobatkan Sasterawan Negara.

    Saya melihat bahawa persoalan kayu ukur ini perlu disorot dari pelbagai faktor, dan berkait dengan sejarah perkembangan ‘sastera’ itu sendiri. Ada yang mengetengahkan teori pengarang atau karya utama. Ada juga yang membuat sorotan berdasarkan tempoh perkembangan.

    Mungkin akan muncul pengkritik-pengkritik baharu yang mendorong terobosan baharu dalam dunia sastera kita.

  • Iakah Malapetaka Iklim?

    Malapetaka Iklim: Memahami Fenomena Pemanasan Dunia Book Cover Malapetaka Iklim: Memahami Fenomena Pemanasan Dunia
    HISHAMUDDIN RAIS
    Eco Lestari Strategy
    2023
    Paperback
    118

    Malapetaka Iklim: Memahami Fenomena Pemanasan Dunia menyentuh secara langsung persoalan besar yang sedang kita berhadapan sekarang, yakni perubahan iklim yang memberi ancaman secara total kepada seluruh kehidupan di muka bumi. Kita sering memperagakan perubahan iklim (climate change) sebagai sebuah isu. Sebenarnya, ia tidak lagi hanya sekadar isu.

    Hishamuddin Rais memulakan buku Malapetaka Iklim ini dengan pertanyaan, Ke Mana Hilangnya Katak Hijau? Katak hijau di Jelebu yang memberi tanda bagi kaki pancing, di mana lubuk yang dihuni ikan. Peningkatan suhu bumi secara tidak langsung memberi kesan kepada habitat haiwan dan tumbuhan kita.

    Bukankah iklim dan cuaca memang sentiasa berubah-ubah sejak azali?

    Benar dan hal ini dibahaskan panjang lebar oleh ahli sains dahulu dan kini. Berdasarkan dapatan saintifik semasa, perubahan iklim atau pemanasan global zaman moden ini bukan terjadi secara alami.

    Perubahan iklim zaman moden ini adalah disebabkan aktiviti manusia yang menambah gas rumah kaca (greenhouse gases – GHG) ke atmosfera. GHG daripada bahan api yang dibakar, tanah hutan yang dibuka sebagai ladang, bahkan kentut dan sendawa haiwan ternakan.

    Mengenal Alamat dan Tanda

    Malapetaka Iklim menjalin cerita mengenai tanda-tanda perubahan iklim di sekeliling kita. Seperti contoh, kerapnya banjir berlaku tak mengira tempat dan waktu. April 2023 juga mengejutkan kita dengan gelombang haba, hingga ada warga kita yang terkorban dek strok haba.

    Gelombang haba 2023 juga mengajar, bahawa ‘pemanasan global’ tidak lagi eksklusif di negara Hemisfera Utara sahaja. Gelombang haba sudah menjalar ke Asia Tenggara.

    Justeru, rangkuman rencana dari lima penulis ingin membawa kita semua ke sebuah pemahaman yang lebih mendalam tentang isu ini, serta mendorong tindakan semua pihak untuk mengurangkan impak buruk perubahan iklim kepada manusia dan alam.

    Tindakan yang mengurangkan pelepasan GHG, itulah mitigasi.

    Tindakan yang menyesuaikan kehidupan kita dengan impak perubahan iklim, itulah adaptasi.

    Walaupun para penulis tidak menyebut istilah-istilah tersebut, tindakan individu mahupun berjemaah pasti menyumbang kepada mengurangkan kesan perubahan iklim. Hal ini mengingatkan kita kepada hadith yang bermaksud:

    Daripada Anas bin Malik radiyallahu anhu, dia berkata, Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Jika terjadi hari kiamat sementara di tangan salah seorang dari kamu ada sebiji benih tanaman, maka jika dia mampu sebelum terjadi hari kiamat untuk menanamnya maka tanamlah.”

    Hadith riwayat Imam Ahmad

    Isham Rais yang sering menulis tentang politik dan pertembungan kelas, kini berteriak “kita semua, umat bumi – anak semua bangsa dan bangsa semua agama – wajib sedar bumi kita sedang diserang oleh malapetaka iklim!”