Rihlah Ilmiah: Seorang Penuntut Ilmu Kepada Sang Guru

Rihlah Ilmiah: dari Neomodernisme ke Islamisasi Ilmu Kontemporer
Wan Mohd Nor Wan Daud, Adian Husaini
Center for Advanced Studies on Islam, Science and Civilisation (CASIS)
2012
474

Ternyata menulis memoir bukanlah sesuatu yang sukar. Lihat sahaja rak kedai buku dapat kita lihat pelbagai memoir dan biografi khususnya tokoh-tokoh politik, tidak kurang juga tokoh korporat, seniman dan sasterawan. Namun jarang sekali kita dapati biografi seorang sarjana atau ilmuan seperti Rihlah Ilmiah ini, mengungkap pengalaman ilmiahnya untuk dicontohi masyarakat umum.

Pengalaman berguru dengan dua sarjana Muslim kontemporari — Prof. Fazlur Rahman dan Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas — menjadikan memoir Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud ini menarik untuk ditatapi masyarakat Malaysia.

Memoir ini disusun berdasarkan soalan-soalan tertentu yang mencakupi aspek kehidupan dan perjalanan ilmiah beliau di United States (US), turut menyentuh beberapa perkara seperti  perihal International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) dan bersangkut-paut budaya ilmu. Tambah menarik ialah persoalan-persoalan berat ini ditangani secara santai oleh Prof. Wan, ditambah dengan sisipan surat, kertas kerja bahkan puisi-puisi yang beliau karang.

Seperti kebanyakan pelajar Malaysia di luar negara dekad 70-an dan 80-an, Prof. Wan pernah terlibat dalam aktivisme pelajar baik dalam lingkungan pelajar Malaysia hingga tertubuhnya MISG US & Canada, mahupun antarabangsa dalam organisasi MSA US & Canada.

Usai menyambung pelajarannya ke peringkat sarjana dan doktor falsafah, beliau bersikap lebih kritikal dan mempunyai pandangan tersendiri terhadap gerakan aktivisme yang diajukan dalam kertas kerja Beberapa Masalah dan Cabaran Inteligensia Muslim Malaysia Kini: Satu Analisa untuk Tindakan.

Dalam menjawab soal apakah dampak belajar di University of Chicago yang dikenali sebagai sarang orientalis dan Muslim modernis, beliau menggariskan lima perkara:

  1. Sedar bahawa Islam sangat berpengaruh, tidak putus-putus kajian dibuat oleh pelbagai sarjana mengenai Islam hingga masa kini.
  2. Agenda golongan aktivis untuk mengembalikan Islam dalam seluruh sistem kehidupan perlu diasaskan pada kajian dan pemahaman mendalam tentang aspek keilmuan dan peradaban yang dibangunkan para ulama’ terdahulu.
  3. Kesungguhan dan perancangan teliti orang Barat mengukuhkan pandangan alam, penguasaan ekonomi dan politik mereka dengan kajian rinci mengenai tamadun sendiri dan tamadun-tamadun lain yang menjadi tentangan mereka.
  4. Mengenali cendekiawan dari pelbagai latar belakang dan negara.
  5. Waspada dan berfikir mengenai anasir keagamaan, kebudayaan dan keilmuan yang dibawa oleh tokoh-tokoh terutamanya dari aliran modernis dan orientalis.

Menyentuh dunia intelektualisme Muslim, beliau berpandangan pentingnya untuk kita sentiasa bersikap sederhana dan tidak memilih pandangan atau aliran yang ekstrem. Gurunya, Prof. Fazlur Rahman  berpesan bahawa intelektual Muslim wajib gigih bekerja dan menulis, untuk mencerahkan pemahaman masyarakat umum. Begitu juga Prof. Al-Attas sering mengingatkan mengenai tanggungjawab menguasai ilmu, bersikap kritis, dan memikirkan kekeliruan ilmu yang dihadapi umat Islam.

Pengalaman peribadi Prof. Wan berguru dengan dua orang sarjana besar Muslim, mengajar kita erti sabar dan suhbatul ustaz yang diajar Imam Syafie lewat sebuah syair.

Beliau dengan jujur mengakui belum pernah membaca atau mengenali sosok pelbagai intelektual sebelum ini, melainkan setelah diperkenalkan oleh sahabat atau guru beliau.

Rihlah Ilmiah ini sekaligus bertujuan untuk menjawab kemusykilan ramai: “Bagaimana anak murid seorang sarjana yang dikaitkan dengan faham modernis dan liberal, boleh terlibat dengan gerakan Islamisasi ilmu kontemporari?”

Di samping rentetan pengalaman, tiga bab terakhir memoir ini dikhususkan untuk menjawab soalan seputar gagasan Islamisasi ilmu . Pertama menyentuh projek Islamisasi ilmu dan peranan ulama’, seterusnya berkisar peranan institusi pengajian tinggi (IPT). Pandangan beliau sangat sesuai menjawab beberapa isu semasa yang timbul, antaranya penggunaan kalimah Allah, penglibatan ulama’ dalam politik dan terkini kontroversi pengajaran subjek TITAS di IPT swasta.

Rihlah Ilmiah, walaupun ditulis Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud untuk menjawab soalan-soalan besar dan penting dapat dibaca secara santai. Karya ini antara pengenalan yang baik bagi sesiapa yang berminat dengan gagasan Prof. Al-Attas, sebelum meneliti monograf, buku tulisannya atau karya anak murid beliau. Di samping sisipan beberapa puisi beliau yang bermakna, beliau turut menegaskan bahawa:

Tanpa gerakan intelektualisme yang mendalam, kebangkitan Islam akan gagal dan kecewa.

Facebook Comments
Latest posts by Muhammad Fakhruddin (see all)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.