Versi asal rencana ini telah disiarkan dalam laman sesawang Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM)
Tidak sahaja ibunya, bapanya pun hairan melihat kelakuan anaknya yang ganjil itu. Pada suatu hari dengan diam-diam ia mengintip kelakuan anaknya. Alangkah kagumnya demi ia melihat pada tiap-tiap pelepah itu penuh dengan ayat-ayat Qur’an bekas tangan anaknya.
Tan Sri Dr. Zainal Abidin bin Ahmad yang lebih dikenali sebagai Pendeta Za’ba bukan sahaja ahli bahasa dan persuratan Melayu, bahkan mencatat buah fikirnya dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, agama serta kemajuan sosioekonomi bangsa khususnya kaum Melayu pada ketika itu.
Minatnya kepada bidang persuratan berputik sejak kecil lagi, ditambah galakan dan tunjuk ajar oleh bapa dan saudaranya sendiri. Berdasarkan temu bual bersama penyusun biografinya Pendeta Za’ba dalam Kenangan, beliau mengakui kurang meminati penulisan cerita yang menjadi medan penulis-penulis kreatif.
Sejak mengenal huruf-huruf jawi dan rumi, bertambah pula minat beliau membaca kitab dan buku berbahasa Melayu kepunyaan ayahnya, sebelum mampu membeli buku sendiri. Betapa sayangnya pendeta dengan buku-buku miliknya, sanggup diatur untuk dibawa berpindah dari Singapura ketika perang melawan Jepun semakin marak.
Membaca Dunia, Membaca Kata
Paulo Freire, seorang lagi tokoh pendidikan dari Brazil menegaskan peri penting aksi membaca dunia (reading the world) berhubung kait dengan aksi membaca kata (reading the word). Justeru masyarakat kampung yang berpendidikan agama, daun pisang yang menjadi lembaran Za’ba kecil belajar menulis, serta halangan bapa dan herdikan guru agama terhadapnya yang bersekolah Inggeris membentuk pandangan seorang Za’ba pada masa muda.
(more…)