Skip to content →

Berkenalan dengan Sejarawan

27 Mac 2012
Beberapa hari menjelang acara Spring Moment with IluvIslam UK-Eire (S.M.I.L.E) Sabtu ini. Satu salinan makalah saya terima, sesuai dengan peranan moderator bagi sesi Malaysia dan Islam: Ini Sejarah Kita.

“Siapa Prof. Ahmat Adam ini?” monolog naïf seorang pelajar tahun satu.

Saat itu komuniti Malaysia di United Kingdom bertuah menerima kehadiran Dr. Asri Zainal Abidin  yang bercuti sabatikal di Oxford. Pelbagai program diatur dan dipromosi atas nama beliau sebagai penarik pengunjung.

Daripada carian Internet saya menjumpai beberapa maklumat mengenai Prof. Ahmat Adam. Beliau ialah seorang profesor sejarah, bermula di UKM kemudian berpindah ke UMS sebelum bersara dan dikurniakan gelar Prof. Emeritus.  Beliau bersama Dr. Asri dan Ustaz Marwazi (Timbalan Mufti Kedah) merupakan felo pelawat di Oxford Centre for Islamic Studies, yang turut dianggotai oleh Dr. Afifi Al-Akiti.

31 Mac 2012
Berbekal maklumat yang sangat asas ini, saya tersilap ketika memperkenalkan beliau kepada hadirin. Gugup mungkin, kerana bas kami dari Nottingham tiba agak lewat di Warwick padahal saya perlu mengendalikan sesi pertama. Langsung sahaja saya ditegur sepintas lalu ketika sharahannya, dan beliau menyampaikan sharahannya tepat mengikuti waktu yang ditetapkan penganjur.

Saya kagum, walaupun tajuk yang diperkatakan ialah topik yang sulit.

Sejarah, yang biasa membuatkan kita tidur, menjadi menarik dengan sharahan beliau. Ada beberapa fakta misalnya yang terkandung dalam Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin, beliau bentangkan dan mencabar kami untuk menilainya dari perspektif berbeza. Peristiwa pertanyaan persoalan agama oleh Sultan Melaka ke Pasai membuatkan kami berfikir bagaimanakah sebenarnya perkembangan ilmu pada zaman kesultananan Melaka itu.

Mempelajari sejarah menurut beliau, menuntut kita supaya berfikir dan bersikap kritikal. Peluang mengiringi beliau sepanjang program mendedahkan saya pada pelbagai persoalan yang dilontarkan beliau. Sekurang-kurang kami belajar sesuatu mengenai sejarah, sejarah perlu difahami tasawwurnya  bukan sekadar menghafaz rangkaian fakta.
Jun 2012
Usai peperiksaan akhir tahun satu , saya membawa diri ke Oxford. Sekejap cuma, menziarahi Prof. Ahmat Adam dan isteri. Sedikit kesempatan itu juga saya menjenguk perpustakaan utama di Oxford, Bodleian Library.
Memandangkan kebanyakan rumah di UK mempunyai ruang terhad, Prof. mengajak saya berbual di kedai kopi berdekat. Di kesempatan ini juga saya berpeluang bertanya lanjut mengenai kajian yang beliau sedang lakukan. Menurutnya, beliau sedang mengkaji salah satu naskhah salinan Sulalatus Salatin daripada 32 salinan yang wujud pada masa ini. Kajian manuskrip lama sebegini bukan sekadar merakam fakta, ia juga bertujuan untuk kajian mengenai kemajuan idea dan teknologi sesuatu tamadun. Seperti yang pernah beliau sebut, beliau sangat berminat dengan perkembangan idea  yang terakam menerusi pelbagai medium antaranya dalam bentuk penulisan.
Saya sempat bertanya kepada beliau perihal kedatangan Islam ke Nusantara, yang dikocakkan semula oleh novel Faisal Tehrani. Dapatan beliau mendapati terdapat banyak unsur Syiah yang terkandung dalam manuskrip Melayu, namun tiada rekod menunjukkan kewujudan kerajaan Syiah seperti yang didakwa dalam novel tersebut.

Tidak sah berbual tanpa berbicara mengenai isu-isu semasa tanah air. Saya menyebut mengenai golongan elit dominan dalam masyarakat seperti yang ditulis oleh Prof. Syed Hussein Alatas (salah seorang guru beliau) yang menjadi punca masalah. Beliau menyatakan bahawa tidak berdosa menjadi golongan elit sama ada elit politik, elit ekonomi mahupun elit intelek, tetapi kita mestilah bersikap jujur dan telus.
Elit dan masyarakat yang jujur dan telus memungkinkan sistem yang ada dapat beroperasi tanpa penyelewangan, yang menurut beliau berkembang biak sejak tahun 1970 dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan. Dasar ini, katanya jalan bagi menguntungkan Bumiputera ‘terpilih’ yang disukai pimpinan dan sangat menepati kritikan Prof. Syed Hussein Alatas terhadap DEB. Saya hanya mampu tersenyum mendengar kata-katanya yang juga seorang aktivis mahasiswa dekad 70-an yang terserlah pada gaya provokatifnya.
Mendampingi ilmuan seperti Prof. Ahmat Adam mengajar kita erti kerendahan hati dan kejujuran sebagai penuntut ilmu. Walaupun beliau tidak popular di media massa dan semakin dimamah usia, beliau masih gigih menekuni dan menguasai ilmu sejarah yang banyak dipandang sepi oleh pemuda. Molek juga direnung pesan-pesannya yang provokatif ini:

Jangan selalu berbangga menjadi Melayu, tetapi ambillah sifat-sifat yang baik dari amalan orang Melayu.

Published in Acara Cendekia

Comments

Leave a Reply