Category: Acara

  • Al-Fateh Alaf Baru

    Sultan Muhammad Bin Murad Al-Fateh hanyalah manusia biasa. Secara sederhana, beliau hanyalah pelengkap impian moyangnya, Uthman Ertughul…

    Conquer Constantinople and turn it into a rose garden.

    Ustaz Syaari Abdul Rahman telah menulis buku baru bertajuk Berfikir Gaya Al-Fateh terbitan PTS, menunjukkan minat mendalam seputar tokoh berkenaan. Jauh langkah saya ke bumi Ireland untuk menjiwai Al-Fateh menerusi modul beliau, Akademi Mahasiswa Al-Fateh. Menerusi bantuan pihak penganjur dan para fasilitator, modul tersebut dicanai menjadi tema-tema IQ, EQ, SQ, dan dakwah sebagai output kepada bekal 3Q tersebut.

    Adakah kita sudah berinteraksi dengan sejarah dengan cara yang BETUL?

    Soalan menggugat itu ditujukan kepada kami di Perhimpunan Ukhuwwah Insaniyyah Seluruh Ireland (PUISI). Soalan yang tidak menuntut huraian jawapan berkajang-kajang kertas seperti S.P.M tetapi perlu direalisasikan dalam kehidupan.

    Mengapa Al-Fateh, bukan tokoh pemuda lain?

    Istimewanya sosok Al-Fateh kerana beliau berbangsa Turki, bukan Arab seperti Nabi S.A.W namun memenuhi ciri-ciri hadis baginda mengenai sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera yang membebaskan Konstantinopel. Beliau dan tenteranya begitu menjaga amalan ibadah seperti solat fardu berjemaah di samping amalan sunat seperti puasa dan solat-solat sunat yang lain. Beliau hidup pada zaman umat mula bangkit setelah khalifah Abbasiyah dibantai hebat oleh Monggol di Baghdad.

    Membaca sejarah yang tercatat dalam Al-Quran dan hadis tidak terhad kepada pemahaman secara literal. Acapkali qissatul Quran tidak mencatatkan butiran rinci mengenai masa, tempat dan manusia-manusia yang terlibat antaranya kisah Ashabul Kahfi dan kisah Ashabul Ukhdud yang dihurai lanjut dalam sebuah hadis Nabi. Meskipun Konstantinopel telah dibuka oleh Al-Fateh, masih wujud jutaan ‘Konstantinopel’ yang membelenggu umat masa kini untuk dibuka generasi Al-Fateh masa depan.

    Membaca semula sejarah tokoh dan mengikuti program sebegini bukanlah untuk menyemarakkan rasa hero-worshipping. Uthmaniyah dengan segala kemegahan yang mereka capai tidak suci dari sisi hitam mereka sendiri.

    Yang penting kita ambil dari sejarah Uthmaniyah ialah keberkesanan sistem pendidikan dan pentadbiran yang didukung oleh ulama’ berwibawa menghasilkan generasi berkualiti.

    Beruntung benar dapat bertemu dengan Ustaz Syaari Abdul Rahman walaupun datang dan pulang terpaksa membayar harga mahal masa cuti musim sejuk dan tenaga yang terkorban bertarung dengan demam.

    Kafarah 2011, menuju 2012 yang lebih segar.

  • Ziarah Tanah Kudup KEMALA

    Mungkin itulah bunga harapan yang mekar di hati Dato’ Dr. Ahmad Khamal Abdullah, karyawan tamu UPM kini Sasterawan Negara yang ke-11 menyambut kedatangan kami berenam (pastinya kami bukan peneroka daerah Sabak Bernam).

    Tambah menggamit kenangan, apabila saya dan saudara Shahkang memilih untuk duduk bersila berhadapannya persis murid sekolah pondok menadah ilmu dari tok guru.

    Dari taaruf ringkas bersama beliau, sedikit sebanyak menjawab persoalan yang terbuku di hati mengenai pemilihan kosa kata bahasa Jawa dalam beberapa puisi beliau. Beliau berdarah Minang dan Jawa, dan terserlah menerusi tutur kata beliau yang lemah lembut dan halus. Antara sajak beliau yang dikenali ramai ialah Jangan Berduka Malaysiaku…

    Kubebat tanganku yang luka
    kubebat dadamu yang luka
    kubebat bahumu yang luka
    kubebat pipimu yang luka
    kugiring matamu yang duka
    kuiring lagumu yang duka
    kusaring cumbumu yang duka

    …

    Ada tembang pilu sang nelayan
    ada tempang lagu petani kemarau
    mencari kasih di sudut hati
    suaranya serak dan parau.

    Tak lengkap rasanya tanpa melihat-lihat koleksi kutub khanah di pejabat beliau ini. Di atasnya terdapat beberapa hasil seni karya Dato’ KEMALA sendiri. Bukan sahaja menempatkan beberapa karya beliau, bahkan puisi-puisi seantero dunia dalam beberapa bahasa termasuklah sebuah antologi puisi mengenai Palestin dalam bahasa Arab.

    Terlanjur berbicara mengenai puisi, beliau meluahkan kegusaran terhadap nasib puisi dan penyair tempatan apabila tiada lagi penganjuran acara Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur.

    Berbicara seputar isu semasa pula, beliau berhasrat untuk menghidupkan gagasan NUMERA (Nusantara Melayu Raya) dari semangat Melayu Raya cetusan Ibrahim Yaacob bagi mendepani cabaran zaman yang begitu menghakis jati diri kita.

    Sesekali beliau bercerita mengenai pengalaman peribadi, antaranya kenangan bersama allahyarham bondanya yang kerap bercerita kepada beliau saban malam. Beliau banyak menitipkan nasihat kepada kami, yang bakal memimpin masyarakat dan negara kelak.

    Terima kasih Dato’ KEMALA kerana sudi menerima kami sebagai tamu, bahkan membayar belanja makan kami sedang Dato’ masih berpuasa. Terima kasih sekali juga atas buah tangan, antologi puisi Dampak 70 yang Dato’ hadiahkan.