Category: Acara

  • Bagaimana A Fuadi Menulis?

    “Best betul jadi macam kak Ain Maisarah,” bisik seorang remaja perempuan yang beratur di belakang saya kepada rakannya, menanti giliran bertemu dengan penulis pujaan hati mereka.

    “Hmm…aku tulis cerpen pun tak pernah siap!” balas rakannya bernada kecewa.

    Itu hanyalah borak-borak remaja perempuan yang sudah masak benar dengan pelbagai novel dan penulis yang dibaca.

    Bayangkan sekiranya anda seorang yang selama ini begitu alergi terhadap novel, mendapat ‘ilham dari Tuhan’  untuk menulis kisah zaman sekolah dahulu. Tentunya kerja yang sulit bukan.

    Hal ini berbeza buat mas A Fuadi, umpama keajaibannya meraih 8 biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di luar negara. Kisah dirinya bermula dari dorongan isteri yang tertarik dengan kisah suaminya yang merupakan lepasan pondok. Beliau seumpama ditunjukkan jalan yang mudah untuk menulis novel pertama. Katanya, isteri beliaulah editor pertama dan penyusun jalan cerita bagi novel-novel beliau. Dengan latar belakang sebagai bekas wartawan Tempo, ia sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada beliau.

    Kiat-Kiat Menulis
    Terima kasih kepada Puan Ainon Mohd. dan warga kerja PTS yang membawakan mas Fuadi dari Jakarta. Beliau hadir di PBAKL 2011 untuk membicarakan novel Negeri 5 Menara dan melancarkan novel terbarunya, Ranah 3 Warna untuk pasaran Malaysia. Antara tips penulisan yang beliau kongsi:

    • Menulis sesuatu yang berkaitan peribadi, hal ini memudahkan kerja menulis. Walaupun sekadar bercerita perihal kehidupan di sekolah pondok, beliau menyisipkan gagasan Man Jadda Wajada yang begitu berguna menghadapi cabaran hari esok.
    • “Kenapa aku menulis?” ialah persoalan penting untuk dijawab oleh setiap calon penulis. Jawapannya boleh jadi pelbagai, namun ia adalah kunci yang menjaga momentum penulisan kita. Apatah lagi jika jawapannya untuk mensyukuri bakat kurniaan Tuhan ini.
    • Selain menulis perihal yang dekat dengan diri penulis, tulislah mengenai perkara yang kita tahu dan kita kuasai. Misalnya seorang blogger boleh sahaja menyisipkan atau menjadikan satu cerita sempurna mengenai kehidupan seorang blogger, seperti novel Diari Mat Kilang Tuan Fairoz @ Nuaeman.
    • Sentiasa menyimpan bahan-bahan yang boleh menyokong penulisan kita, seperti diari, buku catatan, surat, gambar, rencana dan lain-lain. Untungnya mas Fuadi yang begitu menjaga buku-buku sekolah beliau dan gambar-gambar kenangan, di samping ibunya menyimpan koleksi surat yang beliau utuskan semasa menuntut di Pondok Moden Gontor.
    • Disiplin, menulis novel memerlukan stamina seumpama pelari maraton. Justeru PAKSA DIRI untuk menulis sekurang-kurangnya satu muka surat setiap hari setelah segala bahan dan rangka tulisan tersedia dan fokus untuk terus menulis.
  • Siaran Tertunda Baca @ LRT

    Sungguh tarikh 20 Mac menjadi rebutan banyak pihak untuk menganjurkan program. PENA dengan Dialog Orang Mudanya berkaitan isu bahasa di IPT yang semakin dianaktirikan, ILuvIslam pula berforum di UKM seputar karya Ustaz Pahrol Juoi “Di Mana Dia Di Hatiku”, manakala Tuan Zamri Mohamad bersepakat dengan PKPIM untuk penganjuran Baca @ LRT bertemakan GIRANG kali ini.

    Badan yang hanya ada satu tanpa ada sesiapa pun menjadi klonnya di muka bumi Allah ketika ini dibawa bernostalgia dalam LRT aliran Kelana Jaya, dari stesen Gombak hinggalah ke stesen Taman Jaya. Terkenang kembali kelana seorang diri ke bengkel dan program yang pernah dihadiri di sepanjang aliran LRT ini. Sesuai dengan tema yang diberikan, saya ditemani “Aku, Buku & Cinta” karya Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni yang sudah separuh dibaca, untuk dikhatamkan dalam perjalanan ini.

    Sebagai peserta kali pertama, seribu satu gambaran memikirkan keadaan program ini berlangsung. Sekadar khusyuk membaca tanpa sebarang interaksikah? Sangkaan saya meleset sedari pertemuan kali pertama dengan Tuan Zamri dan juga Tuan Azree Hanifiah. Menunggu jam 10.15 pagi terisi dengan cerita sebalik tabir Baca @ LRT diasaskan di laman Facebook hingga kumpulan indie ini mendapat perhatian sebuah agensi kerajaan iaitu Majlis Buku Kebangsaan.

    Pertemuan demi Pertemuan

    Saya mula mengenalinya di blog Rohaizad.Com menerusi beberapa rencana guest posting beliau. Sejak kebelakangan ini semakin banyak guest posting beliau yang disiarkan di blog-blog IM. Hanya di bumi Gombak inilah saya bertemu dengan jejaka bernama Aqif Azizan. Beliau sendiri tidak menyangka saya mampu mengecamnya walaupun sekadar gambar profil di blog dan di MajalahNiaga.Com.

    Tambah manis, seorang adik bongsu bertemu dengan ‘abang Uda’nya dalam angkatan Minggu Penulis Remaja. Siapa lagi kalau bukan Tuan Azree yang kini telah berjaya menghasilkan buku Mudahnya Bisnes dengan Forum Online bersama Tuan Zamri Mohamad. Sapaan saya kepada seorang kakak yang membaca buku Prof. Dr.Syed Naquib Al-Attas rupanya salam perkenalan dengan seorang pensyarah muda dari KUIS, Cik Puan Saadah Khair.

    Namun kami begitu pasti akan bertemu dengan seorang ‘raja’. Raja yang berdarah Wales ini sanggup ‘mencemar duli’ ke aktiviti santai kami ini. ‘King’ Dr. Richard Booth, pengasas kampung @ kota buku pertama di dunia bertempat di Hay-on-Wye.