Sungguh tarikh 20 Mac menjadi rebutan banyak pihak untuk menganjurkan program. PENA dengan Dialog Orang Mudanya berkaitan isu bahasa di IPT yang semakin dianaktirikan, ILuvIslam pula berforum di UKM seputar karya Ustaz Pahrol Juoi “Di Mana Dia Di Hatiku”, manakala Tuan Zamri Mohamad bersepakat dengan PKPIM untuk penganjuran Baca @ LRT bertemakan GIRANG kali ini.

Badan yang hanya ada satu tanpa ada sesiapa pun menjadi klonnya di muka bumi Allah ketika ini dibawa bernostalgia dalam LRT aliran Kelana Jaya, dari stesen Gombak hinggalah ke stesen Taman Jaya. Terkenang kembali kelana seorang diri ke bengkel dan program yang pernah dihadiri di sepanjang aliran LRT ini. Sesuai dengan tema yang diberikan, saya ditemani “Aku, Buku & Cinta” karya Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni yang sudah separuh dibaca, untuk dikhatamkan dalam perjalanan ini.

Sebagai peserta kali pertama, seribu satu gambaran memikirkan keadaan program ini berlangsung. Sekadar khusyuk membaca tanpa sebarang interaksikah? Sangkaan saya meleset sedari pertemuan kali pertama dengan Tuan Zamri dan juga Tuan Azree Hanifiah. Menunggu jam 10.15 pagi terisi dengan cerita sebalik tabir Baca @ LRT diasaskan di laman Facebook hingga kumpulan indie ini mendapat perhatian sebuah agensi kerajaan iaitu Majlis Buku Kebangsaan.

Pertemuan demi Pertemuan

Saya mula mengenalinya di blog Rohaizad.Com menerusi beberapa rencana guest posting beliau. Sejak kebelakangan ini semakin banyak guest posting beliau yang disiarkan di blog-blog IM. Hanya di bumi Gombak inilah saya bertemu dengan jejaka bernama Aqif Azizan. Beliau sendiri tidak menyangka saya mampu mengecamnya walaupun sekadar gambar profil di blog dan di MajalahNiaga.Com.

Tambah manis, seorang adik bongsu bertemu dengan ‘abang Uda’nya dalam angkatan Minggu Penulis Remaja. Siapa lagi kalau bukan Tuan Azree yang kini telah berjaya menghasilkan buku Mudahnya Bisnes dengan Forum Online bersama Tuan Zamri Mohamad. Sapaan saya kepada seorang kakak yang membaca buku Prof. Dr.Syed Naquib Al-Attas rupanya salam perkenalan dengan seorang pensyarah muda dari KUIS, Cik Puan Saadah Khair.

Namun kami begitu pasti akan bertemu dengan seorang ‘raja’. Raja yang berdarah Wales ini sanggup ‘mencemar duli’ ke aktiviti santai kami ini. ‘King’ Dr. Richard Booth, pengasas kampung @ kota buku pertama di dunia bertempat di Hay-on-Wye.