Gajah Melawan Gajah

Raja-raja Melayu
Syed Husin Ali
2014
92

History of Kings and rulers also politics and governance in Malaysia.

Masyarakat Melayu kaya dengan pantang-larang, sesuatu yang dikongsi oleh bangsa-bangsa Asia lain seperti yang wujud dalam masyarakat Cina dan India juga. Pantang-larang ada kalanya boleh difahami tujuannya, tetapi sering terjadi ia diterima tanpa banyak soal oleh masyarakat.

Penerimaan begini mengekang perbincangan dan analisis lanjut sesuatu kebiasaan masyarakat, walaupun ia sangat berguna dari sudut pandangan ilmiah. Justeru para penulis dan penganalisis akan lebih berhati-hati dalam memperkatakannya.

Salah satu yang penting untuk dikaji dan difahami oleh bangsa Malaysia ialah institusi raja; nilai-nilai yang dibawa dan peranan yang dimainkan oleh institusi ini. Baik pemakai kaca mata akademik apatah lagi pemain politik, komentar terhadap institusi ini boleh dianggap ‘kerja membunuh diri’.

Kebanyakan penulis, termasuk Dr. Syed Husin Ali dalam buku Raja-raja Melayu, Kemajuan atau Kemunduran? bermula dengan pendirian tidak mempersoalkan kewujudan institusi ini dalam bangsa Malaysia, mungkin disebabkan ianya diterima sebagai sebahagian perkembangan sejarah tanah air ini.

Apa yang cuba dikupas olehnya ialah perspektif sejarah, semasa dan perbandingan mengenai institusi raja di Malaysia. Buku ini merupakan kemas kini terhadap naskah asal Isu Raja dan Pindaan Perlembagaan yang lahir dalam kancah krisis perlembagaan 1993. Menurut Dr. Syed Husin Ali, sesetengah ulasan yang ditulis pada ketika itu lebih dahsyat daripada tulisannya dan berpotensi didakwa di bawah Akta Hasutan.

Sejarah dan Pembentukan Sikap
Dalam membicarakan sesuatu yang berakar umbi dalam sejarah, sudah tentu kita perlu mengunjungi semula karya persuratan yang merakam semangat zaman tersebut.

Berbekal naskah Sulalatus Salatin atau terkenal sebagai Sejarah Melayu, beliau memetik beberapa peristiwa dalamnya untuk memahami fenomena seperti sistem feudal dalam sejarah Malaysia, perbezaan darjat, derhaka dan jiwa hamba. Namun, beliau tidak merujuk silang beberapa karya lain seperti Bustanus Salatin atau Thammarat al-Muhimmah yang turut merakam kehidupan dan sikap raja-raja pada abad berkenaan((Siddiq Fadzil, 2012. Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat. Kajang: Akademi Kajian Ketamadunan Kolej Dar al-Hikmah.)).

Apa yang lebih ditekankan ialah penglibatan golongan ini dalam kegiatan ekonomi yang turut memberi kesan sewaktu kedatangan penjajah Belanda dan Inggeris. Campur tangan penjajah banyak memberi kesan kepada golongan raja yang kini tidak lagi dapat memungut cukai secara terus daripada rakyat, yang majoritinya mengusahakan pertanian (Shaharuddin Maaruf, 2014. Malay Ideas on Development: From Feudal Lord to Capitalist. Petaling Jaya: Strategic Information and Research Development Centre (SIRD)).

Satu lagi masalah yang diwarisi daripada sistem ini ialah jiwa hamba dalam kalangan masyarakat. Psikologi takut dan merendah diri ini sesudah kemerdekaan, berpindah kepada golongan elit baru yang diberi pelbagai gelar.

Gajah Melawan Gajah
Kewujudan pembesar-pembesar negara pasca kemerdekaan, ditambah perkembangan kelompok hartawan mewujudkan satu kelas elit yang baru dalam masyarakat Malaysia. Sejak daripada kemerdekaan lagi sudah wujud pergeseran antara sultan beberapa negeri dengan menteri besar masing-masing seperti di Perak, Terengganu dan Pahang.

Faktor penyumbang utama pergeseran ini selain daripada sikap yang sudah terbentuk, ialah perebutan sumber politik dan ekonomi. Kumpulan elit baru ini pada satu tahap berasa cukup kuat untuk mencabar kelompok elit lama (raja) sehinggalah membawa kepada peristiwa krisis perlembagaan pada tahun 1993.

Sedekad sebelum krisis ini tercetus, satu pindaan perlembagaan berkaitan kelulusan automatik rang undang-undang yang telah diluluskan Parlimen tanpa perlu perkenan Yang di-Pertuan Agong. Hal ini telah dibantah pihak pembangkang termasuk beberapa NGO termasuk ALIRAN memandangkan Barisan Nasional mempunyai majoriti ⅔ daripada Dewan Rakyat.

Ini memudahkan kerajaan yang memerintah meluluskan pelbagai undang-undang menurut kehendaknya. Hal ini menunjukkan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja mempunyai sarana semak dan imbang terhadap kerajaan yang memerintah.

Apa yang mencetuskan kontroversi pada tahun 1993 ialah semakan terhadap apa yang dikatakan sebagai imuniti raja-raja dari segi undang-undang. Pada dasarnya Dr. Syed Husin Ali bersetuju terhadap semakan ini atas dasar semua orang sepatutnya dilayan sama rata di sisi undang-undang.

Namun secara realiti, sesetengah ahli politik dan pegawai kerajaan secara tidak langsung dilindungi daripada tindakan undang-undang sedia ada. Beliau juga mempersoalkan kaedah pindaan tersebut dijalankan dengan kehadiran dewan lebih sedikit daripada separuh ahli dewan, di samping tidak merujuk terlebih dahulu kepada Majlis Raja-Raja.

Konsisten dalam bersikap
Dr. Syed Husin Ali menulis buku ini bukan untuk mempersoalkan kewujudan institusi raja di Malaysia. Huraian dan perbandingan yang beliau gunakan untuk pembaca merenung, adakah haluan yang diambil negara kita masa kini menuju kemajuan atau kemunduran.

Lebih penting bangsa ini mempunyai nilai-nilai baik yang memangkin kemajuan dan mengekang kemunduran masyarakat. Antara nilai yang penting ialah menegakkan keadilan dan perjuangan menentang kezaliman.

Apalah ertinya sekiranya penindasan dan kezaliman masih berleluasa walaupun golongan elit masyarakat ini silih berganti.

Facebook Comments
Latest posts by Muhammad Fakhruddin (see all)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.