Menikmati Karya-Karya Terjemahan

Makalah Penentu Tentang Hubungan Antara Syariah Dengan Falsafah
Ibn Rushd
2006
66

Pada takah usia ini, saya mula membaca berdasarkan tema-tema tertentu. Antara yang baru saya sedari, iaitu tema pendidikan dan universiti serta tema siasah. Sesekali melepaskan lelah daripada tema-tema berat itu dengan travelog menjadi pilihan, bukan lagi buku sastera/fiksyen seperti satu masa dahulu.

Antara buku-buku berkaitan tema pendidikan ialah tulisan Imam Burhanuddin Az-Zarnuji Ta’lim al-Muta’allim Tariq at-Ta’allum (Instruction of the Student: The Method of Learning) dan karya Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali Ayyuhal Walad (Letter to A Disciple). Walaupun kedua-dua teks klasik keilmuan Islam ini dalam bahasa Arab, saya begitu menghormati kesungguhan pengkaji Barat untuk menterjemah bahkan menulis ruangan pendahuluan yang memandu kefahaman pembaca.

Secara peribadi, saya jarang menemui penerbit tempatan yang berusaha mencari ilmuwan bagi menulis pendahuluan atau prakata yang baik untuk buku-buku terjemahan, khususnya buku-buku agama dalam bahasa Arab yang diterjemah ke bahasa Melayu.

Mengambil contoh Tobias Mayer yang menterjemah Ayyuhal Walad, begini rincinya pendahuluan yang disusun:

  1. Diperkenalkan kepada pembaca siapakah sosok Imam Al-Ghazali, bermazhab fiqh Syafie bermanhaj Asyairah dalam aqidah.
  2. Diterangkan ‘keresahan’ Imam Al-Ghazali yang memandu beliau kepada dunia sufi.
  3. Dijelaskan bilakah buku ini ditulis, iaitu di hujung usia Imam Al-Ghazali seperti mana buku Munqidh min ad-Dhalal (Deliverance from Error).

Penerangan-penerangan sebegini, walaupun kelihatan remeh melengkapkan proses pra-pembacaan atau systematic skimming sesebuah buku seperti yang dijelaskan oleh Mortimer J. Adler. Pra-pembacaan ialah salah satu kemahiran dalam takah inspectional reading, memberi perhatian kepada perkara seperti (1) tajuk dan prakata, (2) isi kandungan, (3) indeks, (4) blurb penerbit, (5) tajuk-tajuk bab yang menjadi tema utama buku dan (6) membaca beberapa perenggan atau muka surat daripada bab berkenaan.

Uniknya Fasl al-Maqal

Makalah ringkas karangan Ibn Rusyd ini Fasl al-Maqal wa Taqrir ma baina al-Shari’ah wa al-Hikmah min al-Ittisal (Makalah Penentu tentang Hubungan antara Syariah dengan Falsafah) terjemahan Al-Mustaqeem Mahmod Radhi menampilkan kata pengantar oleh Lutfie Assyaukanie. Beliau antara tokoh pendiri Jaringan Islam Liberal (JIL) Indonesia yang punya latar belakang pendidikan pesantren.

Dalam pengantarnya beliau menjelaskan tiga jalur ulama mengenai hubungan falsafah dan Islam:

  1. Model Imam Al-Ghazali, menurut beliau bersifat kesufian dan tujuan falsafah disempitkan untuk membela ilmu-ilmu agama (khususnya perbahasan ilmi kalam/teologi);
  2. Model Syeikhul Islam Ibn Taimiyah, untuk mengembalikan kemurnian Islam dan bersikap skeptikal kepada ilmu falsafah; dan
  3. Model Ibn Rusyd (dikenali Averrois di Barat), seorang qadi Cordoba yang sudah tentu menguasai ilmu-ilmu asas dan tradisional Islam yang turut mengiktiraf dan menghargai ilmu falsafah.

Kata pengantar sebegini membantu pembaca memahami makalah ringkas tetapi padat berkenaan falsafah ini. Menariknya, Ibn Rusyd menggunakan istilah HIKMAH berbanding FALSAFAH pada tajuk asal makalah.

Ini dapat difahami penerimaan skeptikal waktu itu terhadap ilmu falsafah yang mana penduduk Cordova waktu itu rata-rata bermazhab Maliki dari manhaj ahlu hadis. Inti perbahasan buku ini ialah:

  1. Apakah pengetahuan dengan jalan falsafah (al-maqayis al-burhaniyah) sesuai atau bertentangan dengan syariah?
  2. Jawapan kepada ‘tuduhan’ Imam Al-Ghazali terhadap failasuf Aristotelian (termasuk beliau dan Ibn Sina) dalam beberapa isu.
  3. Menegaskan syarat-syarat yang ketat sebelum seseorang terlibat dalam perbahasan falsafah.

Sudah tentu mereka yang dapat membaca teks dalam bahasa asal mempunyai kefahaman yang lebih jitu berbanding teks terjemahan. Oleh itu, kata pengantar atau pendahuluan yang baik membantu memelihara konteks asal pengarang kepada pembaca teks terjemahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.