• Pengakuan Perempuan Nan Bercinta

    Perempuan Nan Bercinta
    Faisal Tehrani
    Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)
    2012
    410

    Perempuan Nan Bercinta adalah pengakuan Faisal Tehrani, bukan label provokatif yang over-rated baginya. Karya inilah yang mencerminkan sarwa pandangnya terkini.

    Pembaca yang baik tidak terburu-buru untuk menyimpulkan karya ini sebagai sekuel kepada Tuhan Manusia berdasarkan nama watak seperti Dr. Ali Taqi dan keluarganya, Khadijah si isteri, Hussein, Zainab, dan Siti Fatimah anak-anaknya. 

    Seperti Tuhan Manusia, Ali Taqi meneruskan jihad terhadap jalur-jalur pemikiran barat. Liberalisme sebagai tunjang, dan kini feminisme menjadi sasaran.

    Kebijaksanaan Faisal Tehrani terserlah apabila kelangsungan persoalan dari Tuhan Manusia dijawab dalam novel ini yang menjadi titik utama menjadikan Perempuan Nan Bercinta sebagai sekuel kepada Tuhan Manusia. Selepas Zehra dan meninggalnya Talha, Tengku Idora pula menjadi mad’u (orang yang didakwahkan) beliau.

    Maka berlangsunglah bahagian pertama novel ini dengan ‘lembut’ berputar kepada pergulatan watak masing-masing dalam pencarian secara imbas kembali. Tidak mengejutkan, pencarian mereka berjejak kepada Dr. Ali Taqi. Bab 18 inilah bermulanya bahagian kedua novel ini, dan Siti Fatimah binti Ali Taqi muncul dengan cintanya yang penuh dengan penantian.

    Dari sini, ‘pertempuran’ menjadi berjela-jela dan lebih dahsyat terserlah dalam temu ramah bersama Dr. Ali Taqi dalam bab 29. Dr. Ali Taqi tidak mampu menahan dirinya, mungkin emosinya terganggu disebabkan tuduhan sebagai agen Iran oleh WikiLeaks hingga terpacul kalimah kasar dan angkuh seperti  “Untuk menjawab soalan dangkal saudara…” dan “… saya tidak menulis untuk ditujukan kepada tuan-tuan. Saya mengarang untuk masa hadapan.” 

    (more…)
  • Andai Van Der Wijck Tidak Tenggelam

    Tenggelamnya kapal Van der Wijck Book Cover Tenggelamnya kapal Van der Wijck
    HAMKA
    1987
    280

    Pada usia 31 tahun, buya HAMKA telah menghasilkan karya yang mencarik adat. Masakan tidak, beliau seorang alim dalam bidang agama menulis novel cinta atau roman.

    Secara zahir, tema cinta ialah satu klise dalam karya sastera melainkan penulisnya secara bijaksana mengangkat persoalan lain seperti Shakespeare dan Sasterawan Negara Usman Awang. Mereka mengangkat persoalan perbezaan darjat yang menyekat hubungan cinta antara dua insan. Itulah yang menyebabkan Romeo and Juliet, serta Uda dan Dara terus dikenali sehingga hari ini.

    Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck juga mengikut jalan cerita yang hampir serupa dengan Uda dan Dara, iaitu cinta yang tidak kesampaian dek perbezaan darjat. Cuma inti kritikan sosial karya ini lebih berbisa, adat-adat lama yang bukan sahaja mengekang kemajuan bahkan menjurus kepada ketidakadilan. Hal ini begitu sinonim dengan beliau yang tergolong dalam kelompok Kaum Muda.

    Bab pertama “Anak Orang Terbuang” telah menonjolkan mesej utama yang ingin buya HAMKA sampaikan menerusi novel ini. Ia mengisahkan Pendekar Sutan, ayah Zainuddin dan bagaimana beliau boleh terbuang ke Mengkasar gara-gara membunuh ayah saudaranya:

    “Itu jangan disebut,” kata Datuk Mantari Labih. “Itu kuasaku, saya mamak di sini, menghitamkan dan memutihkan kalian semuanya dan menggantung tinggi membuang jauh.”

    “Meskipun begitu, hukum zalim tak boleh dilakukan,”

    Setelah ibu bapanya tiada dan Zainuddin sudah dewasa, belia meninggalkan tanah Mengkasar dan Mak Basenya balik ke kampung asalnya. Walaupun tidak juga diterima di ranah Minang, namun hatinya telah dipikat gadis yang bernama Hayati. Bermulalah episod-episod cinta bersulam bahasa indah susunan buya. Zainuddin bekerja keras ingin menikahi Hayati secara sah, namun terhalang dek adat yang mengekang.

    Dia membawa hatinya yang lara ke Padang Panjang. Begitulah dia diperlakukan oleh orang yang seagama, padahal yang dituntut agama agar bermuamalah dengan baik sesama insan tanpa mengira bangsa dan keturunan.

    Terasa hampir padamlah cahaya hidupnya, namun muncul seorang Perewa bernama Abang Muluk yang menasihatinya agar memanfaatkan ilmu dan bakatnya, daripada menanggung cinta yang tidak kesampaian.

    Setelah beberapa tahun kemudian, mereka bertemu semula dan Zainuddin telah terkenal sebagai seorang pengarang. Adakah mereka masih menaruh hati lagi, atau saling menyimpan dendam?

  • Kontroversi Sebongkah Batu di Kuala Berang

    Sebongkah Batu di Kuala Berang
    Faisal Tehrani
    2011

    Saya hampir tidak menyangka ia novel karya Faisal Tehrani. Seingat saya, antara novel-novel yang pernah dihasilkannya inilah yang paling nipis. Namun karya pertama beliau bersama penerbit  PTS tidak mengecewakan bahkan punya makna tersendiri. (Ulasan ini ditulis sebelum keputusan JAKIM mengharamkan penjualan novel ini)

    Faisal Tehrani tak jemu-jemu berkhutbah kepada pembaca dengan 1001 fakta dan maklumat  buat mengenalkan kita akan sejarah agama dan bangsa. Walaupun berfokus kepada Batu Bersurat Kuala Berang yang mencatatkan tarikh kedatangan Islam ke Alam Melayu ini, kita dihiburkan dengan watak-watak budaya popular seperti Sharifah Ezzati atau Nono dan Seeta Adeeni yang tergila-gilakan hero Malaya Azhan Kaya.

    Tugasan akhir sekumpulan pelajar Akademi Seni Islam untuk menyiapkan doku-drama mengenai kedatangan Islam ke Tanah Melayu akhirnya gagal, tetapi diberi penamat yang tidak mudah ditelah pembaca.

    Kontroversi  Faisal Tehrani

    Saya kurang pasti mengapa beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia blog. Adakah ditekan dek isu penahanan pengikut Syiah Malaysia 10 Muharam yang lalu atau kesibukannya sebagai pensyarah di Akademi Seni & Warisan Kebangsaan(ASWARA)?

    (more…)