Zi Publications SDn. Bhd.
2008
248
Autobiography of Kassim Ahmad, a Malaysian political activist.
Dr. Kassim Ahmad adalah manusia zamannya yang membesar di celah batas bendang di Kedah pada zaman penjajahan British dan Jepun. Berkat ketegasan guru besar sekolah rendahnya, juga keazaman bapa beliau sendiri akhirnya beliau berpeluang memasuki sekolah elit di Alor Setar, Kolej Sultan Abdul Hamid seterusnya menyambung pengajian di Universiti Malaya (UM) di Singapura. Memoir Mencari Jalan Pulang daripada Sosialisme kepada Islam mencatatkan sisi-sisi peribadi beliau.
Bermula daripada Buku
Sewaktu di Kolej Sultan Abdul Hamid, beliau bukan sahaja menjadi antara pelajar cemerlang di sekolah malahan aktif dalam pelbagai kegiatan pelajar, terutamanya membabitkan bidang buku dan persuratan.
Peluang menjadi pustakawan sekolah digunakan sepenuhnya untuk menikmati pelbagai novel dan sajak kesusasteraan Eropah, antaranya Shakespeare, Wordsworth, Charles Dickens, Albert Camus, Jean-Paul Sartre dan George Bernard Shaw.
Kesempatan waktu menelaah karya persuratan ini diingati beliau dengan cermat, seperti waktu pengajian beliau di UM, kedua sesudah tragedi 13 Mei 1969 dan kemudiannya sewaktu beliau di ‘Universiti Kedua’ di Kamunting sebagai tahanan ISA. Berbanding zaman persekolahan, beliau lebih dekat dengan karya-karya sejarah, agama dan falsafah seperti Ibnu Khaldun, Iqbal, Bertrand Russel, Karl Marx, Frederick Engels serta Whitehead menempuhi kehidupan dewasanya.
Sosialisme: Antara Teori dan Praktis
Kehidupan Dr. Kassim Ahmad sewaktu persekolahan dan universiti banyak mencorakkan kefahaman dan aktivisme beliau. Walaupun beliau mengakui mempunyai semangat dan minat terhadap Islam terutamanya sebagai falsafah ekonomi politik sejak sekolah, beliau lebih cenderung kepada faham sosialisme menerusi Kelab Sosialis UM. Pada fikiran beliau, faham sosialisme ini lebih dekat dengan nilai kebenaran dan keadilan yang beliau percaya.
(more…)