Mencari Jalan Pulang Kassim Ahmad

Mencari Jalan Pulang daripada Sosialisme kepada Islam
Kassim Ahmad
Zi Publications SDn. Bhd.
2008
248

Autobiography of Kassim Ahmad, a Malaysian political activist.

Dr. Kassim Ahmad adalah manusia zamannya yang membesar di celah batas bendang di Kedah pada zaman penjajahan British dan Jepun. Berkat ketegasan guru besar sekolah rendahnya, juga keazaman bapa beliau sendiri akhirnya beliau berpeluang memasuki sekolah elit di Alor Setar, Kolej Sultan Abdul Hamid seterusnya menyambung pengajian di Universiti Malaya (UM) di Singapura. Memoir Mencari Jalan Pulang daripada Sosialisme kepada Islam mencatatkan sisi-sisi peribadi beliau.

Bermula daripada Buku

Sewaktu di Kolej Sultan Abdul Hamid, beliau bukan sahaja menjadi antara pelajar cemerlang di sekolah malahan aktif dalam pelbagai kegiatan pelajar, terutamanya membabitkan bidang buku dan persuratan. Peluang menjadi pustakawan sekolah digunakan sepenuhnya untuk menikmati pelbagai novel dan sajak kesusasteraan Eropah, antaranya Shakespeare, Wordsworth, Charles Dickens, Albert Camus, Jean-Paul Sartre dan George Bernard Shaw.

Kesempatan waktu menelaah karya persuratan ini diingati beliau dengan cermat, seperti waktu pengajian beliau di UM, kedua sesudah tragedi 13 Mei 1969 dan kemudiannya sewaktu beliau di ‘Universiti Kedua’ di Kamunting sebagai tahanan ISA. Berbanding zaman persekolahan, beliau lebih dekat dengan karya-karya sejarah, agama dan falsafah seperti Ibnu Khaldun, Iqbal, Bertrand Russel, Karl Marx, Frederick Engels serta Whitehead menempuhi kehidupan dewasanya.

Sosialisme: Antara Teori dan Praktis

Kehidupan Dr. Kassim Ahmad sewaktu persekolahan dan universiti banyak mencorakkan kefahaman dan aktivisme beliau. Walaupun beliau mengakui mempunyai semangat dan minat terhadap Islam terutamanya sebagai falsafah ekonomi politik sejak sekolah, beliau lebih cenderung kepada faham sosialisme menerusi Kelab Sosialis UM. Pada fikiran beliau, faham sosialisme ini lebih dekat dengan nilai kebenaran dan keadilan yang beliau percaya.

Pada usia sebegitu muda, beliau tidak segan mengakui bahawa beliau seorang yang idealis. Atas kesedaran ini, Dr. Kassim Ahmad menggabungkan diri sebagai ahli Parti Rakyat yang ketika itu diketuai oleh Ahmad Boestamam. Beliau menukilkan dalam Mencari Jalan Pulang:

Pada waktu itu, umur saya 30 tahun. Saya seorang idealis yang ingin mencari kesempurnaan dalam kehidupan politik di tanahair saya dan di seluruh dunia. Saya tidak memerlukan masa yang lama untuk membezakan antara teori politik dengan praktik politik, yang kerapkali diselimuti dengan perhitungan-perhitungan geo-politik atau kuasa kasar yang mengatasi dan menodai konsep murni keadilan dan kebenaran.

Sekembalinya beliau daripada SOAS menggantikan Pendeta Zaaba sebagai tenaga pengajar bahasa dan sastera Melayu di sana, beliau berkhidmat sebagai guru sekolah di Pulau Pinang selain bergiat aktif menggerakkan parti di sana. Pada kesempatan ini, beliau berhadapan dengan persoalan tajam berkaitan pandangan golongan kiri terhadap faham kebangsaan Melayu dan agama Islam.

Pasca tragedi 13 Mei, Tun Abdul Razak selaku Perdana Menteri ketika itu berhasrat untuk memperluaskan gabungan parti-parti pemerintah sedia ada yang kini dikenali sebagai Barisan Nasional. Pada mulanya, Tun Abdul Razak berhasrat untuk menggabungkan Parti Rakyat dalam gabungan tersebut, namun perancangan itu tidak diketahui oleh Dr. Kassim Ahmad dan terhenti dengan pemergian mengejut Tun Abdul Razak sendiri.

Mencari Islam

Beliau membesar dalam lingkungan keluarga beragama, yang mana bapa beliau sendiri merupakan lepasan pondok dan menjadi guru agama di kampung. Bahkan beliau mengakui mengkagumi pengajaran agama yang diajar oleh guru agamanya sewaktu di Kolej Sultan Abdul Hamid. Apa yang menjadi kekurangan menurut beliau, apabila beliau sendiri tidak berupaya menjawab persoalan-persoalan yang didebatkan oleh rakan sekolejnya seputar perhambaan, poligami dan hukum jenayah dalam Islam.

Menurut Dr. Kassim Ahmad, Islam yang diajar dan diterima oleh masyarakat kita pada umumnya adalah ‘Islam baka’ yang diterima tanpa kefahaman yang mendalam dan kritikal. Walaupun kekurangan bimbingan yang formal, beliau tidak putus asa menjawab persoalan-persoalan mengenai Islam menerusi bahan bacaannya seperti majalah Islamic Review, tafsir Quran oleh Maulana Muhammad Ali serta pelbagai karya tokoh-tokoh Islam yang telah disebutkan. Dalam memahami Quran, selain daripada rujukan terhadap pelbagai tafsir miliknya, beliau lebih cenderung kepada pandangan Mahmoud Mohamed Taha dalam karya The Second Message of Islam.

Tidak Apologetik

Perubahan pandangan dan sikap seseorang merupakan lumrah kehidupan manusia, termasuklah kehidupan seorang tokoh. Dalam Mencari Jalan Pulang, kisah kehidupan beliau tidak disusun mengikut kronologi yang rigid bagi beliau menyulamkan renungan peribadinya terhadap peristiwa-peristiwa yang dialaminya. Beliau mengakui turun naik semangat dan ideologinya secara jujur tanpa peru bersikap apologetik.

Sewaktu merenung semula faham sosialisme yang pernah dipegangnya, Dr. Kassim Ahmad mengakui keterbatasan teori dan upayanya untuk menguji keutuhan dan kejayaan ideologi tersebut dalam konteks tempatan. Hal ini juga pernah disinggung oleh Tan Sri A. Samad Ismail mengenai kelemahan gerakan kiri di Malaysia secara umum.

Sebagai seorang pemikir dan guru, beliau menaruh harapan kepada perkembangan bahasa, sastera dan kebudayaan Melayu sebagai wadah bagi mengisi kemerdekaan kita. Beliau sedar bahawa cita-cita ini dipandang enteng oleh para pemimpin yang lebih berminat terhadap pembangunan infrastruktur ketimbang pembangunan intelektual dan budaya.

Walaupun memoir Mencari Jalan Pulang ini mengabsahkan kata pengantar oleh Tun Dr. Mahathir mengenai perubahan peribadi seseorang daripada orang muda yang radikal kepada orang tua yang konservatif, beliau sempat menutup tulisannya dengan petikan:

Selamat tinggal kepada dunia lama, dan selamat datang kepada dunia baru! Dunia baru, sebuah dunia yang adil, selamat, dan bahagia untuk semua, pasti akan lahir. Ini sunnatullah. Tetapi ia mesti berlaku dengan aktiviti kita. Kitalah yang perlu bertindak, mengikut ajaran Tuhan dalam Quran, untuk membina dunia baru ini.

Facebook Comments
Latest posts by Muhammad Fakhruddin (see all)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.