#BacaMerdeka: Merdeka dengan Darah dalam Api

Memoir Ahmad Boestamam: Merdeka dengan Darah dalam Api
Ahmad Boestamam
Penerbit UKM
2004

Memoir Ahmad Boestamam: Merdeka dengan Darah dalam Api yang diterbitkan sekitar 2004 pernah saya sikapi dengan hati-hati. Pertama, dek tebal dan harganya tak lupa juga pada penglibatan beliau dalam gerakan kiri.

Empat Buku Dalam Satu

Memoir ini mengumpulkan tiga biografi beliau, iaitu Lambaian dari Puncak, Merintis Jalan ke Puncak dan juga Tujuh Tahun Malam Memanjang. Tidak lengkap memoir ini tanpa disertakan manifesto perjuangan beliau yang terkenal, iaitu Testament Politik A.P.I: Merdeka dengan Darah yang terbit sekitar tahun 1946, yang menjadi asbab penahanan beliau kali kedua dan pengharaman gerakan kiri seperti PKMM dan API.

Memoir ini menyusun kembali biografi beliau mengikut kronologi, dimulai zaman pra-Jepun dan pentadbiran Jepun, sesudah Jepun dan British kembali mentadbir dan akhirnya penahanan beliau sesudah Undang-Undang Darurat diisytiharkan.

Tan Sri A. Samad Ismail menulis kata pengantar yang sangat baik, sama ada ia menimbulkan persoalan untuk dicari dalam memoir sahabat beliau ini mahupun menyinggung isu-isu yang tidak disentuh oleh Ahmad Boestamam, nama sebenarnya Abdullah Thani Raja Kechil. Antara yang menarik dalam kata pengantarnya adalah:

  1. Kekuatan tokoh-tokoh gerakan kiri Melayu
  2. Siapakah tokoh yang banyak mempengaruhi Abdullah Thani hinggakan memakai nama “Ahmad Boestamam”?
  3. Kewajaran PKMM keluar dari gabungan persatuan Melayu yang kini dikenali sebagai UMNO
  4. Siapakah saingan sebenar bagi PKMM?

Satu bacaan ringkas daripada memoir ini menampakkan sosok Ahmad Boestamam lebih sebagai seorang nasionalis berbanding sosialis. Ini dapat difahami dari situasi zaman itu di mana penentangan terhadap penjajah mula mendapat tempat di hati masyarakat, diinspirasi perjuangan kemerdekaan Indonesia.

Atas semangat merdeka, masing-masing menyumbang dengan cara tersendiri termasuklah perempuan-perempuan lacur yang beliau temui dalam perjalanan ke Penjara Seremban, menjadi perisik membocorkan rahsia British.

Faham politik yang beliau anuti lebih terserlah dalam Testament Politik A.P.I menunjukkan beliau sebagai seorang sosialis demokrat seperti George Orwell. Namun kekurangan ketara gerakan kiri Melayu khususnya, menurut Tan Sri A. Samad Ismail ialah mengabaikan ilmu dan teori politik. Menurut Tan Sri A. Samad Ismail lagi:

Kelemahan ini menjejaskan juga perjuangan PKMM kerana sementara idealisme begitu tinggi, sebaliknya teori perjuangan kurang ditekankan malah diabaikan. Teori perjuangan juga dipinjam dari sumber lain sedangkan teori yang paling diperlukan untuk meningkatkan perjuangan ialah teori yang dirumuskan dari tradisi, sejarah dan budaya masyarakat.

Hal ini terkesan sewaktu menggubal Perlembagaan Rakyat banyak melibatkan golongan intelek dari AMCJA daripada PKMM. Selepas beliau dan pelbagai tokoh nasionalisme kiri ditahan sewaktu darurat, kebanyakan ahli dan tokoh-tokoh lain membawa diri dalam pelbagai parti politik lain yang akhirnya melemahkan gerakan yang ketiadaan pemimpin pelapis. Mungkin, kekurangan pendedahan kepada teori politik menyebabkan rasa syak orang Melayu terhadap aliran sosialisme hingga kini.

Ini terjadi sendiri kepada beliau sendiri sehingga menimbulkan geram tak sudah kepada anak-anak bangsanya yang bersikap lebih penjajah dari penjajah itu sendiri. Pernah sewaktu beliau mengikuti latihan pegawai Jepun, beliau menggunakan kehebatan berpidatonya mensyarahkan ‘Jepun-Jepun celup’ yang cuba membulinya.

Merintis Jalan ke Puncak pula adalah rakaman aksi dan zaman gemilang PKMM yang bermula dari Ipoh dengan penerbitan akhbar Suara Rakyat. Ini mengenangkan kita kepada anaknya, allahyarham Rustam A. Sani yang menulis blog berjudul Vox Populi.

Pidato dan penulisan ialah senjatanya yang sangat berkesan, bahkan ciri ini kedapatan pada kebanyakan tokoh nasionalisme kiri seperti Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) dan Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Sewaktu mendekam dalam penjara, beliau lebih banyak mengarang karya kreatif dengan nama pena Ruhi Hayat dibantu beberapa bekas angora PKMM yang menjadi polis atau warder penjara.

Satu perkara yang pasti, memoir Ahmad Boestamam ini ditulis untuk menjelaskan sejarah perjuangannya. Beliau sangat jelas dengan perjuangannya hingga mengungkap:

…sedang baik sangka antara semua bangsa yang ditujukan oleh PKMM adalah sebaliknya. PKMM menginginkan baik sangka di antara golongan rakyat — golongan buruh dan tani — bukan golongan atasan, golongan kapitalis.

Facebook Comments
Latest posts by Muhammad Fakhruddin (see all)

2 thoughts on “#BacaMerdeka: Merdeka dengan Darah dalam Api”

  1. Pingback: Seminar Tan Sri Asri Muda, Menjernihkannya daripada Pelbagai Sisi | Oh!Buku

  2. Pingback: Mencari Jalan Pulang Kassim Ahmad | Oh!Buku

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.