Why I Write: Membaca Orwell Di Kala Pilihan Raya

Tidak sukar mencari tulisan George Orwell, nama pena Eric Arthur Blair. Namun saya tidak upaya menahan ‘godaan’ untuk memiliki beberapa buku dari koleksi Penguin Great Ideas, antara kumpulan esei beliau Why I Write dan Books vs. Cigarettes.

Semacam ironi apabila kulit muka buku ini meletakkan cuplikan esei terakhir dalam kumpulan ini Politics and the English Language. Hal ini sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa inti esei yang dimuatkan dalam buku senipis 120 halaman ini  menyentuh hal politik terutamanya empayar Inggeris sekitar Perang Dunia Kedua. Terdapat empat esei disusun kemas dalam kumpulan ini, iaitu:

1.   Why I Write

2.   The Lion and the Unicorn: Socialism and the English Genius

3.   A Hanging

4.   Politics and the English Language

Why I Write dimula dan ditutup dengan raison d’etre seorang George Orwell berkecimpung dalam penulisan politik. Esei pertama bersifat autobiografi, bagaimana beliau tertarik untuk menjadi pengarang dan latar belakangnya yang mempengaruhi corak penulisan.

Menurutnya, empat faktor yang menggerakkan seorang pengarang ialah ego, minat estetika, dorongan sejarah dan motif politik. Manifesto tulisan beliau dirakam dalam satu rangkap padu:

What I have most wanted to do throughout the past ten years is to make political writing into an art. […] I write it because there is some lie that I want to expose, some fact to which I want to draw attention, and my initial concern is to get a hearing. But I could not do the work of writing a book, or even a long magazine article, if it were not also an aesthetic experience.

Dua esei berikutnya pula berfokus kepada keadaan politik empayar British sekitar Perang Dunia Kedua, yang tak lepas dari rakaman memori George Orwell mengenai tugasnya sebagai pegawai polis di Burma.

Latar belakang beliau ini, sedikit sebanyak mengingatkan kita kepada Sasterawan Negara Usman Awang. Memori zaman perang banyak dilukiskan dalam karya seperti Tulang-tulang Berserakan sedikit sebanyak tertumpah dalam esei A Hanging yang menjadikan Burma sebagai latar belakang.

Satu hal yang menarik untuk direnungi pembaca ialah esei panjang The Lion and the Unicorn: Socialism and the English Genius. Beberapa idea dalam esei ini seperti identiti nasional dan peranan intelektual sekali lagi mengingatkan kita pada sosok intelektual tempatan, Prof. Dr. Syed Hussein Alatas. Dalam konteks esei ini, beliau sebagai sosialis demokrat mengajukan  jawapan kepada krisis-krisis yang dialami empayar British pada saat kejatuhannya.

Usaha jerih ini membuatkan beliau menulis panjang mengenai perbezaan antara sosialisme dan fasisme yang menurutnya, diamalkan Jerman di bawah Hitler, begitu juga dengan perbezaan patriotisme dan konservatisme. Tidak menghairankan apabila beliau menyimpulkan esei beliau dengan menulis perihal Revolusi Inggeris. Revolusi yang beliau impikan ialah:

By revolution we become more ourselves, not less. There is no question of stopping short, striking a compromise, salvaging ‘democracy’, stand still. Nothing ever stands still. We must add to our heritage or lose it, we must grow greater or grow less, we must go forward or backward. I believe in England, and I believe that we shall go forward.

Seperti George Orwell, kita turut mengimpikan Malaysia yang sejahtera.

Muhammad Fakhruddin

One response

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.