Skip to content →

Biblioholisme, Sakit Yang Bukan Penyakit

Biblioholisme: Menelusuri Pesona Dunia Buku dan Pencintanya Book Cover Biblioholisme: Menelusuri Pesona Dunia Buku dan Pencintanya
Shaharom T.M. Sulaiman
Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM)
2012
Paperback
106

Di luar perancangan, saya rupanya sedang menatap dua buah buku seputar dunia buku dan pembacaan. Pertama, buku How To Read A Book dan kedua Biblioholisme buah tangan tuan Shaharom TM Sulaiman. Buku yang hanya setebal 106 muka surat ini merupakan rangkuman 26 tulisannya sebagai kolumnis di pelbagai majalah dan akhbar seperti Massa, KOSMO dan Utusan. Sejumlah esei ini kemudiannya dibahagikan kepada empat bahagian, iaitu Buku dan Daya Pikatnya; Biblioholisme: Mengenal Dunia Pencinta Buku; Travelog Pencinta Buku; serta Sisi Aneh Dunia Buku.

Secara peribadi, saya membahagikan buku ini kepada dua, satu bercerita mengenai sosok pencinta buku manakala seterusnya mengenai dunia buku dan perpustakaan. Tuan Shaharom yang berpengalaman luas sebagai pustakawan di Perpustakaan Negara Malaysia berjaya merakamkan pencinta buku yang tak didendang, the unsung bibliophile seperti Jaafar Abd. Rahim dan Allahyarham Wan Mohd. Shaghir. Insan seperti ini, menurut beliau tidaklah berpendidikan tinggi namun kecintaan kepada buku dan ilmu menjadikan mereka terpandang di mata penyelidik bahkan orientalis!

Disebabkan batasan panjang sebuah kolum, sayang saya tidak dapat menikmati sepenuhnya tulisan-tulisannya terutama sekitar dunia buku dan perpustakaan. Berbeza sekali dengan bacaan saya terhadap himpunan esei HAMKA dari kolum di majalah Panji Masyarakat, mungkin sahaja lebih panjang atas kapasiti buya HAMKA selaku editor di majalah berkenaan. Ada satu dua coretannya yang menarik mengenai pandangannya terhadap buku berbentuk memoir dan juga catatan pengalamannya di lautan manuskrip di Iran. Suatu pelajaran buat kita mengenai cumulative spirit, menurut Prof. Syed Hussein Alatas dalam kalangan orang Syiah memelihara tradisi keilmuan mereka zaman-berzaman.

Walaupun esei-esei pendek beliau ini ada ketikanya kurang nikmat bagi saya, buku ini begitu baik sebagai hadiah dari seorang bibliofil kepada rakan-rakannya yang baru berjinak dalam dunia membaca.

Published in Resensi

Comments

Leave a Reply